Masjid Kg Pasir Putih Putatan

Khatib : Tuan Haji Matin Datuk Pandin

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu…” (al-Baqarah : 143)

Islam adalah agama rahmat kepada manusia dan seluruh alam ini. Begitu juga Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW bukanlah kepada suku kaumnya – Quraisyh – semata-mata, bukan juga kepada bangsa Arab sahaja, malahan baginda menjadi rahmat kepada seluruh alam, meliputi seluruh manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan, jin dan lain-lain makhluk Allah. Bahkan rahmat terutusnya Rasulullah SAW berterusan bukan hanya pada zaman hayat baginda sahaja.

Antara rahmat yang dibawa oleh Rasulullah SAW ialah anjuran bersatu padu dan mentauwhidkan Allah SWT. Perpaduan terjalin melalui dua perkara, pertama kesatuan sesama anggota masyarakat tanpa mengira agama dan kedua kesatuan umat Islam.

Perpaduan juga dilihat dari dua dimensi : perpaduan luaran yang tergambar sebagai kerukunan muafakat, memperteguh suasana sosiopolitik demi kepentingan bersama. Kedua, kesatuan dalaman yang jauh lebih asasi, iaitu kesatuan dalam setiap individu, yang terzahir daripada persefahaman antara pautan kejiwaan dan keruhanian.