Masjid Kg Bangka-Bangka Likas

Khatib : Imam Adilah Usop

Lokasi : Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka Likas

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa zaman jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara…”. (S. AliImran: 103).

Berdasarkan kepada mafhum firman Allah SWT ini, faktor penunjang kepada kesatuan ummah ialah akidah islamiah. Pertalian keimanan inilah yang memperkukuh hubungan sesama individu dalam masyarakat, dan yang menjadikan masyarakat satu unit sosial yang tersusun rapi dan utuh. Maka, perpaduan di kalangan umat Islam akan terus utuh dan terpelihara selagi masyarakat Islam yang berbilang kaum dan etnik mengamalkan ajaran islam yang sebenar secara berterusan dan istiqamah.

Justeru, jangan sekali-kali melanggar perintah Allah ini jika benar-benar sayangkan agama, bangsa dan negara yang tercinta ini. Ambillah pengajaran dari sebab dan akibat perpecahan yang dialami oleh umat Islam di beberapa buah negara Islam di rantau Asia Barat. Mereka bukan sahaja bertelagah sesama sendiri dan berpecah belah, malahan turut menganggkat senjata membunuh saudara seagama mereka lantaran perselisihan faham dan perbalahan berpunca daripada kerencaman fahaman politik dan agama.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu berkenalkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (S. Al-Hujurat: 13).