Dewan Datuk Haji Asmali

Bukan sedikit sumbangan guru kami Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi dalam memartabatkan ilmu tahfiz al-Quran di bumi Sabah ini khususnya. Kepada saya beliau pernah menceritakan usaha-usaha penubuhan Maahad Tahfiz ini sudah diusahakan sejak pertengahan 80an lagi. Kertas kerja dan bertemu pihak-pihak berkenaan sudah diusahakan sejak itu lagi.

Akhirnya maahad yang dicita-citakan berjaya beroperasi bermula 13 Jun 1995 di sebuah bilik kuliah di Masjid Negeri Sabah dengan Allahyarham sendiri adalah pengetuanya yang pertama. Kami berlapan selaku penuntut sulung, mula menghafaz dengan bimbingan beliau sendiri yang juga mengambil peranan sebagai guru tasmik al-Quran sebelum diambil alih oleh Ustaz Pajuddin Nordin dan Ustaz Zaidi Edward yang ditempatkan bertugas di maahad ini, sebelum Allahyarham mengambil alih semula pada tahun terakhir kami di maahad.

Tidak sesiapa menduga, maahad ini terus berkembang sehingga kini berusia hampir 18 tahun usia penubuhannya. Maahad ini sudah beralih lokasi operasinya buat kali ketiga. Selepas Masjid Negeri Sabah, sebuah bangunan rumah putih di Jalan Sembulan Lama dan kini di Jalan Bunga Raya, Kepayan. Amanah pengetua juga sudah beralih kepada beberapa orang. Sesudah beliau, Ustaz Adam Abdul Hai dan Tuan Haji Khamis (sebentar sahaja) serta kini Ustazah Hiryanti Haji Tabin menerima tanggungjawab besar.

Banyak pihak berperanan menjadikan maahad berada di kedudukan sekarang tetapi tiada siapa dapat menafikan sumbangan besar Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi yang membuka jalan penubuhan maahad ini demi cintanya kepada al-Quran agar dimartabatkan setingkat demi setingkat. Semoga Allah memberikan kasih sayangnya kepada Allahyarham, mengurniakan rahmat serta pahala yang berterusan, kerana hafazan kami ini bermula di tangan beliau.

Dengan beliau yang merintis, memerah idea dan keringat bagi penubuhan maahad, kini lepasannya sudah melebihi 60 orang. Insya Allah pahala hasil tilawah dan hafazan al-Quran mudah-mudahan menyinari alam yang beliau berada sekarang. Pentadbiran maahad amat menghargai dan sesudah setahun pemergiannya, kami turut mengabadikan namanya di Dewan Datuk Haji Asmali, Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah yang boleh memuatkan sekitar 150-200 orang pada satu-satu masa.