Khatib : Ustaz Zamirul Mat Reseh
Lokasi : Masjid IPK Kepayan
Ramai manusia yang diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik, tidak buta, mata boleh melihat dengan sempurna, boleh melihat ciptaan Allah SWT, boleh makan dan minum, berjalan dan lain-lain lagi. Tetapi di hari akhirat nanti mereka yang celik di dunia ini dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan menjadi buta. Persoalan besar timbul di sini kenapakah mereka ini dibangkitkan dalam keadaan sedemikian?
Jawapannya ialah kerana mereka ini berpaling daripada ajaran Allah yang sebenar, tidak melakukan aturan-aturan Allah, melakukan maksiat dan membuat dosa-dosa besar serta menzalimi orang lain, matanya tidak digunakan untuk melihat kebenaran, sebaliknya digunakan untuk melihat kebatilan akibatnya hidup di dunia akan disempitkan, tidak tenang, menderita dan ditimpa musibah. Malahan di akhirat pula, mereka menjadi buta sebagai balasan keengkaran semasa di dunia. Firman Allah SWT di dalam Surah Taha ayat 124-125;
Maksudnya: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celik?.”
Bayangkan betapa azabnya golongan ahli neraka yang diseksa fizikalnya dengan seksaan yang dahsyat, ditambah pula dengan mata yang dibutakan, tidak melihat kawasan sekeliling. Ini adalah satu bentuk seksaan spritual yang amat dahsyat daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang ingkar. Firman Allah SWT di dalam Surah al Hud ayat 106-107:
Maksudnya: “Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (sepaerti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi, kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.”