Archive for 23 Februari 2013


Tarikh : 22 Februari 2013 

Masa : 10-11.30 pagi

Tempat : Dewan Datuk Haji Asmali, Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah

 

Setiap sesi di penghujung semester sebelum peperiksaan bermula, biasanya Maahad akan mengadakan Majlis Ridha Mu’allim, khususnya memohon redha dan restu para pensyarah. Sepanjang bertugas di maahad ini sejak November 2011, ini kali kedua saya hadir (walaupun sudah tiga kali diadakan).

Barangkali perasaan kasih kepada anak didik kami semakin mendalam, ia menjadi sesi yang sangat hening, kerana tumpahnya air mata apabila mereka terutama siswa siswi semester 6 bakal menamatkan pengajian dengan peperiksaan akhir diploma berlangsung. Siswa siswi semester 6 meluahkan perasaan suka duka mereka, mengakui salah silap serta memohon keampunan kepada para guru.

Bagi saya pula, setiap kali sukatan pengajian di setiap kelas semester saya tamatkan, saya sendiri meminta maaf kepada pelajar kerana kelemahan diri serta keterbatasan ilmu dalam mengajar mereka, mungkin saja ada sesuatu yang salah semasa ilmu disampaikan atau tersilap ungkapan dan sebagainya.

Insya Allah dunia ciptaan Allah SWT begitu luas, peluang mencipta kejayaan ada di mana-mana asal sahaja kita berusaha dan bertawakkal kepada Allah SWT. Semoga anak didik kami mencapai kejayaan di dalam peperiksaan yang mendatang. Saya ridha terhadap mereka semua, mudah-mudahan mereka juga ridha terhadap saya dan ilmu yang dicurahkan.

Ridha Muallim (1) Ridha Muallim (2) Ridha Muallim (3) Ridha Muallim (4) Ridha Muallim (5) Ridha Muallim (6) Ridha Muallim (7) Ridha Muallim (8) Ridha Muallim (9) Ridha Muallim (10) Ridha Muallim (11) Ridha Muallim (12) Ridha Muallim (13) Ridha Muallim (14) Ridha Muallim (15) Ridha Muallim (16) Ridha Muallim (17) Ridha Muallim (18)

Tarikh : 22 Februari 2013 (Jumaat)

Masa : 8.30 – 9.30 pagi

Tempat : Dewan SMAN Pantai Manis Papar

Sesuatu yang tidak dapat saya lupakan apabila di peringkat awal pengambilan pelajar pertama Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat Negeri Sabah, seorang senior kami sebagai pimpinan pelajar tampil ke kelas kami tingkatan 3 SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah untuk mengambil nama, siapa di kalangan kami yang berminat untuk menyambung pengajian ke Maahad Tahfiz. Ketika itu tiada siapa pun di kelas kami yang respon, sama ada tampil ke hadapan atau mengangkat tangan.

Di asrama putera, pengawas asrama bercerita elok tentang kelebihan menghafaz al-Quran dari segi dunia ataupun akhirat. Elok-elok pula selepas itu, ramai di kalangan kami yang tiba-tiba berminat untuk ke maahad. Borang yang sedikit terpaksa difotokopi semula kerana permintaan yang banyak. Saya akan mengenang babak itu dan individu yang menasihati kami agar belajar ke Maahad Tahfiz. Terima kasih Ustaz Hamdani Omar yang kini berkhidmat sebagai Tuan Pengetua di SMAN Pantai Manis Papar.

Saya kira beliau memegang saham pahala yang tidak sedikit kerana dengan nasihat beliau kepada kami, sehingga kini Maahad sudah melahirkan lebih 60 orang penghafaz al-Quran bermula dengan kami yang dinasihati beliau yang seramai 6 orang itu – Rahim Yahya, Nadzri Mustakim, Yakob Jilun, Razali Abd Rahman, Hafidz Ahmad dan saya.  Justeru nostalgia itu saya ungkapkan di hadapan para pelajar tingkatan 4-6 di sekolah beliau bertugas kini.

Alhamdulillah, kami berinteraksi dengan baik dengan beberapa soalan yang diutarakan. Semoga Allah SWT membuka hati beberapa pelajar di sini untuk menyertai dunia tahfiz bersama kami, menyertai Ummu Afifah – senior mereka yang kini sudah menghafaz 11 juzu’ dalam semester 2. Mohon maaf tidak dapat berceloteh lebih lama kerana kami terpaksa patah balik ke Kota Kinabalu, mengejar majlis seterusnya di Maahad Tahfiz. Terima kasih Ustaz Hamdani dan pihak sekolah yang memberi kami peluang bertawajjuh di sini.

Promosi Maahad @ SMAN Papar (2) Promosi Maahad @ SMAN Papar (10) Promosi Maahad @ SMAN Papar (9) Promosi Maahad @ SMAN Papar (8) Promosi Maahad @ SMAN Papar (7) Promosi Maahad @ SMAN Papar (6) Promosi Maahad @ SMAN Papar (5) Promosi Maahad @ SMAN Papar (4) Promosi Maahad @ SMAN Papar (3) Promosi Maahad @ SMAN Papar (11) Promosi Maahad @ SMAN Papar (12)

%d bloggers like this: