Archive for 13 Februari 2013


DSAI

Wawancara akhbar Sinar Harian bersama DSAI diterbitkan dalam dua siri.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/wawancara/anwar-jawatan-pm-bukan-isu-yang-penting-rakyat-1.124927

Siri 1 : Anwar: ‘Jawatan PM bukan isu, yang penting rakyat’

DR G MANIMARAN, SITI SALMI DRAHSIN DAN NOOR AZURA SAHRIL 

FOTO: SAFWAN MANSOR

25 Januari 2013

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah nama besar dunia politik Malaysia, malah namanya terkenal di seluruh dunia. Dikenali sebagai seorang reformis, beliau sering menggegarkan negara sejak beliau di bangku universiti lagi.  Malah karier politiknya cerah apabila dalam tempoh yang singkat, Anwar diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Namun, pada 1998, segalanya berubah, Anwar dipecat dan kemudian mengetuai barisan pembangkang. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Pakatan Rakyat (PR) yang diketuainya berjaya memecah dominan dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat, malah Anwar terus mengorak langkah untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).Ikuti wawancara eksklusif bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan DR G MANIMARAN, SITI SALMI DRAHSIN dan NOOR AZURA SAHRIL dengan jurugambar SAFWAN MANSOR di pejabatnya kelmarin.

SINAR HARIAN: Selepas lima tahun PRU pada 2008, bagaimana perasaan Datuk Seri melihat suasana politik dan perkembangan dilalui Pakatan Rakyat?

ANWAR: Alhamdulillah, kerana tahap kesedaran rakyat itu meningkat walaupun iklim politik masih tidak terbuka dan demokratik, ruang media itu sangat terbatas tetapi wujud kesedaran sehingga membawa kepada kebangkitan rakyat. Itu pada saya sangat meyakinkan.

SINAR HARIAN: Pilihan raya semakin hampir, adakah  Datuk Seri berasa gementar untuk hadapi PRU13 kali ini?

ANWAR: Sudah lama kita tunggu jadi dah tiba waktunya, sudah tentu kita bekerja dengan suasana yang lebih tertekan dan juga  dalam beberapa aspek melelahkan. Tetapi PRU ruang berdamping secara langsung dengan rakyat dan memberikan kesempatan untuk mengungkap dasar dan menjelaskannya. Saya rasa itu suatu yang positif.

SINAR HARIAN:  Apakah perkara menggembirakan yang Datuk Seri rasakan sejak lima tahun lalu. Adakah gembira dengan pencapaian PR setakat ini?

ANWAR: Walaupun perjalanannya penuh dengan onak dan getir, peristiwa di Perak, tekanan di negeri-negeri yang diperintah, pendakwaan baru terhadap saya, tetapi saya syukur Alhamdulillah, itu tidak sedikitpun mengalihkan fokus kita yang utama untuk memenuhi agenda. Tahun ini, kita nampak prestasi dengan negeri-negeri makin mantap, kerjasama dalam Pakatan dengan pelbagai serangan, jauh lebih kukuh dan muafakat dalam isu-isu besar.

Saya lihat ini perkembangan yang menggalakkan termasuk tahap dan keupayaan kita menerobos ke rantau dan daerah baru yang dahulunya sukar diterima. Jadi itu permulaan yang sangat baik dan saya dapat kesan baik di Lahad Datu, Baram, Hulu Kelantan dan Johor. Sambutan itu sangat meyakinkan.

SINAR HARIAN : Di sebalik kelebihan itu, pastinya ada kekurangan dengan PR atau kerajaan Negeri, bolehkah  Datuk Seri kongsikan bersama?

ANWAR : Kalau Kerajaan Negeri, sementara langkah yang diambil itu baik, menghindar rompakan khazanah negeri, beberapa kemudahan merakyatkan ekonomi, tetapi mungkin kerana ada yang kurang pengalaman daripada segi pentadbiran, maka penyampaiannya kurang menyeluruh sehinggakan media Umno dapat menyerang hal-hal negatif dan kita tidak dapat menyampaikannya.

Bagi saya, kekalahan kita di Hulu Selangor itu ada hikmahnya, iaitu sementara kita berkuasa di negeri, tetapi ada sebahagian penduduk yang tidak mengikuti perkembangan sebenarnya dan masih bergantung kepada media Umno. Maka kejutan itu telah menyebabkan kerajaan negeri umpamanya mengambil langkah-langkah segera untuk turun secara langsung. Ini bagi saya cara kita respons positif terhadap apa yang kita kesan sebagai hal yang negatif.

Dari sudut PR, kerjasama antara pimpinan itu jauh lebih mantap dan muafakat dan berjalan baik, tetapi kita  mengambil sedikit masa untuk kerjasama dan muafakat itu difahami di peringkat bawahan dan akar umbi. Itu dianggap sedikit kelemahan. Keduanya, tanpa pendedahan daripada media utama, maka beberapa program kita dan kenyataan kita tidak dihadam oleh penyokong parti. Ini merupakan sedikit hambatan yang perlu diperbaiki.

SINAR HARIAN:  Pada pandangan Datuk Seri, adakah PR memainkan peranan sebagai pembangkang yang baik sepanjang   5 tahun lalu?

ANWAR: Pada saya, prestasi pembangkang jauh lebih baik daripada ahli Parlimen BN. Ada satu dua yang dulunya terlalu lembap mengemukakan pandangan, tetapi telah lompat. Jadi kita telah selesai bab itu, tetapi saya tekankan ahli Parlimen itu harus menjalankan tugas mampu membahaskan dasar dan menilai projek-projek program pemerintah selain bahaskan rang undang-undang. Tetapi kalau dilihat secara keseluruhan  prestasi kita, ahli Parlimen kita jauh lebih baik. Ini diakui lebih baik oleh Speaker, walaupun tidak secara umum.

SINAR HARIAN:  Berdasarkan prestasi sedemikian, adakah Datuk Seri yakin PR boleh menguasai Putrajaya?

ANWAR: Saya yakin sebab pertamanya kerana dukungan rakyat dan keduanya kerana prestasi barisan pimpinan PR, termasuk prestasi di kalangan  pemimpin muda DAP, Pas dan PKR. Jauh keupayaannya berbanding Umno dan BN. Itu kenyataan dan tidak dipertikai. Kita lihat pengolahan mereka di Parlimen dan luar Parlimen, penglibatan mereka dalam perbincangan isu dasar itu banyak membantu.

SINAR HARIAN:  Datuk Seri dilihat menjadi formula pengikat kepada parti komponen PR. Adakah Datuk Seri melihat peranan yang dimainkan Datuk Seri sendiri?

ANWAR: Bukan sebab Anwar, saya cuma membantu menyelaraskan mesyuarat, tetapi agenda dasar bersama itu yang mengikat. Sebab itu saya mempunyai keyakinan, PR boleh kekal. Lebih menyakinkan, kerana kita setuju formula, dasar  dan perkara asas. Ada beberapa perkara kecil yang kita tidak setuju, orang kata, ini akan menyebabkan (PR) pecah. Saya tidak nampak kita akan pecah kerana ada perbezaan pendapat sama ada Beyonce patut menyanyi atau tidak. PR akan pecah sebab itu? Tidak!

Tetapi soal yang fundamental, soal peruntukan perlembagaan, soal dasar media yang bebas, profesionalisme polis, kebebasan badan kehakiman, dasar ekonomi, pasaran tetapi dengan penekanan kepedulian terhadap rakyat, hentikan rasuah dan penyelewengan dan ini sikap rasis dan menggunakan agama untuk menakutkan.Ini bagi saya hal-hal dasar yang jauh lebih sukar dipersetujui daripada isu-isu yang kecil, mungkin berbangkit dari semasa ke semasa. Ini kita hadam bersama dan bahas dengan panjang dan kita bersetuju.

SINAR HARIAN:  Apa cita-cita Datuk Seri dalam ikatan bernama PR? Nak jadi Perdana Menteri atau…?

ANWAR: Ya, kalau ada sokongan Insya-ALLAH. Tetapi yang lebih penting itu apakah yang kita mampu lakukan berbeza daripada keupayaan Perdana Menteri pimpinan Umno-BN. Ini bagi saya ukuran keupayaan kita.

SINAR HARIAN:  Jawatan bukan isu?  

ANWAR: Ya, kerana jawatan itu membolehkan kita melaksanakan pelbagai program umpamanya. Bolehkah kita pastikan bahawa menyandang jawatan perdana menteri itu bukan ruang untuk memperkayakan keluarga atau pun kesempatan untuk merubah sistem dengan menjamin rakyat hidupnya lebih selesa? Ya, kenyataan orang politik itu mungkin dipertikai. Tetapi kalau kita ada keupayaan membuktikan isu-isu pendidikan percuma, meringankan beban rakyat, meningkat mutu kesihatan, hal-hal itu bagi saya, impian saya.

Kita boleh laksanakan dan kita boleh buktikan. Tidak ada masalah. Kalau orang miskin Melayu yang banyak terlantar, tidak terbela, tapi mereka rasa selesa kerana dasar Melayu itu memang diungkapkan. Jadi rasa selesa. Walaupun dia berada dalam keadaan paling miskin, rumah paling robek, bendera BN paling besar. Itu kerana dia tidak dapat menangkap isu-isu yang kita bangkitkan. Jadi kita hendak beri ruang kepada orang-orang ini supaya tidak diabaikan dan tidak dikhianati amanahnya.

SINAR HARIAN: Salah satu serangan ke atas Datuk Seri sejak lima tahun lalu dan lebih kuat tiga tahun ini, mereka kata PR kerana seorang yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercita-cita hendak jadi perdana menteri dan ia berterusan, apa pandangan Datuk Seri?

ANWAR: Ya lah kerana dia rasa mengikut tafsirannya itu, kehadiran Anwar itu membantu PR, membantu melemahkan Umno-BN. Orang sudah tak nak dengar, nak buat macam mana. Jadi kutuklah saya. Bukan tiga tahun, 15 tahun lalu pun begitu. Apakah saya tidak punya maruah, (Presiden PKR, Datin Seri) Wan Azizah (Wan Ismail), anak-anak tidak merasa sedih? Ya, kami ada. Tapi kita kena terima dengan sabar apa yang kita lalui kerana apa yang kita lawan ini, siapa? Perasuah besar.

Bila kita bercakap tentang dasar elektrik IPP, yang kita kritik siapa? digabungkan kekayaannya puluhan bilion ringgit. Gabung lagi dengan kekuatan Umno, dengan kerajaan, saudara, gabung ini, tak terlawan kita dalam keadaan biasa. Ini cerita David and Goliath. Tetapi kita harus dedahkan. Kalau kita tidak hebohkan begini, siapa tahu? Bahawa perjanjiannya sekian, mereka untung berbilion, kadar elektrik naik orang tak tahu. AES kalau kita tak bangkitkan, siapa (tahu). Semua apabila kita bangkitkan ialah subahat kaitan kepentingan di antara penguasa iaitu ahli politik dengan konglomerat yang kaya. Ia merentas kaum. PRU13, rakyat akan mengundi untuk menentukan kerajaan.

SINAR HARIAN : Tapi menurut Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin, PRU13 pertarungan personaliti antara Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ANWAR : Saya tidak hendak komen tentang beliau, tetapi kalau beliau profesor, beliau patut baca agenda kami. Mana-mana pertarungan tentunya orang akan tengok pimpinan, tetapi orang tengok juga dasar. Orang tengok harga minyak, orang tengok harga barang, dasar ekonomi, orang tengok isu konflik yang berlaku, tak akan ada sebahagian orang Cina yang tidak menyokong BN sebab Anwar, orang Melayu sokong Pas sebab Anwar, tak betul. Logika itu tidak terpakai dalam teori dan politik. Kalau dia kata bahawa faktor pimpinan itu boleh mempengaruhi, adalah kemunasabahannya.

SINAR HARIAN:  Bagaimana peluang PR? Rafizi sudah bercakap, Saifuddin sudah, Pas pun sudah, Datuk Seri punya ukuran peluang kemenangan macam mana?

ANWAR: Ya, ia sukar. Kita belum beres tentang pilihan raya yang bersih. Masih jadi isu dan sidang Parlimen terakhir, saya kemukakan bukti penipuan angka berdasarkan buku terakhir nama pengundi SPR. Jadi ada masalah. Kemudian, Selangor lakukan tinjauan umum menemui 138,000 yang tidak dapat dikenal pasti berdasarkan alamat yang diberikan kerana orang itu tidak ada di alamat yang berkenaan. Jadi maknanya langkah penipuan itu akan diteruskan.

Tapi saya masih yakin dan media masih belum berubah walaupun menteri penerangan ada menyebut bahawa akan ada ruang untuk menerangkan manifesto, bebas apa? Lepas ini syarat itu, syarat ini, maknanya kebebasan media bagi menteri penerangan ini adalah peluang mengungkapkan sedikit tentang manifesto.

Kita ini di zaman apa? Jadi itu menunjukkan sikap keangkuhan. Ini “listen, listen, listen”, gejala peraturan autoritarian baik di universiti, baik di media, itu dia yang kamu dengar dan dalam istilah Inggerisnya “condescending” (meninggikan diri), memberi arahan dan tidak memberikan ruang tapi dengan semua keterbatasan ini, 2008 kita di Semenanjung, kita sudah capai majoriti mudah. Kita tewas teruk di Sabah Sarawak.

Saya yakin Insya-ALLAH, kita bukan sahaja dapat memperkukuh kawasan yang kita kuasai sebelum ini termasuk Perak, di Kuala Lumpur 10 daripada 11 dan kita boleh terus menawan Negeri Sembilan, boleh bertapak kuat di pantai barat Johor dan beberapa kawasan Sabah Sarawak itu tidak ada yang menyangkal kita menembusi beberapa kawasan menewaskan apa yang dahulunya kubu-kubu Umno-BN. Maknanya ada kebebasan dan Sinar Harian adalah satu media yang memberi kebebasan penuh tanpa dipanggil pegawai Kementerian Dalam Negeri setiap kali Anwar muncul di muka depan akhbar.

Ataupun dalam hal ini setiap kali Ketua Pembangkang yang baru, Datuk Seri Najib keluar di muka depan Sinar kemudian, Kementerian Dalam Negeri yang baru tidak mungkin memanggil dan memberi amaran. Itu petanda PR akan berada di Putrajaya pada 2013? Insya-ALLAH. Sekurang-kurangnya untuk media ini, kita mesti bebas.

Ini yang kita kena dapat melihat, batalkan lesen, batalkan gangguan, undang-undang ada, kalau anda fitnah, ikut proses mahkamah. Apa urusan politik untuk menahan?Kadang-kadang pegawai, saya tahu pegawai-pegawai ini, editor beritahu saya, hari ini berita keluar, pegawai ini akan panggil akan panggil dan tanya, “Kenapa dengan u ni, kenapa kamu sokong pembangkang?”.

SINAR HARIAN:  Kalau PR menang, berapa kerusi yang selesa dan yakin?

ANWAR: Saya tak buat kiraan ikut kerusi. Asalkan menang, Alhamdulillah.

SINAR HARIAN: Ada yang kata tipis?

ANWAR: Tak terlalu tipis. Insya-ALLAH. Satu lagi yang sering disebut ialah apabila PR menang dalam pilihan raya, kuasa Melayu akan terhakis. Kuasa pemimpin Umno, kuasa rasuah, bukan sahaja terhakis, tapi akan hilang. Tapi kuasa Melayu umum tidak akan terjejas. Kita tidak akan bertolak ansur. Malah kalau pendapat saya, saya jelaskan dalam pimpinan Pakatan Rakyat secara umum, saya mahu tahap penguasaan orang Melayu itu jauh lebih baik daripada di bawah pencapaian Umno selama lebih 50 tahun dan ini terpakai kepada semua jenis persekolahan Melayu, Inggeris, Cina, Tamil, tanpa syarat kerana inilah bahasa kebangsaan yang telah pun disepakati dalam Perlembagaan.

Kemudian yang lain-lain seperti soalnya pendidikan bahasa Inggeris, saya tidak ada masalah. Soal Islam, penghayatan Islam, mengimarahkan masjid, memastikan undang-undang dan peraturan itu dikemaskan, soal membanteras rasuah yang patut, soal kepedulian terhadap masyarakat yang dihina, terpinggir dan miskin, Muslim atau bukan Islam, ini penghayatan Islam yang patut kita ketengahkan bahawa pimpinan itu adanya amanah untuk tidak merompak kekayaan negara. Apa sebab kita umpamanya selain daripada Nabi Muhammad SAW sebagai contoh terbaik, apa sebabnya kita selalu hebahkan sumbangan Umar Abd Aziz sebagai sebagai khalifah utama dari segi tatakelola yang adil dan bijak?

Justeru, kerana ia tidak menyalah guna kuasa. Kalau ini dilakukan siapa yang akan mendapat manfaatnya paling banyak? Orang Melayu. Kalau saya katakan pendidikan percuma, siapa yang paling banyak dapat? Siapa yang paling miskin dari segi jumlah? Orang Melayu.

Golongan mana yang dapat meningkat keupayaan mereka daripada tahap hidup yang rendah di rumah asal mereka kepada peningkatan yang lebih baik? Itu dengan sosial mobiliti, dengan pendidikan bermutu dan juga dengan pendidikan percuma.Tetapi apakah dengan membantu mengangkat martabat Melayu majoriti ini hanya dengan menafikan kemudahan kepada individu India miskin atau Cina miskin? Saya jawab tidak. Saya boleh angkat bersama, kita tolong semua.Walaupun di kalangan masyarakat India itu memang tahap sosioekonomi itu amat parah.

Tetapi jumlah mereka masih kecil berbanding dengan Melayu dan Bumiputera di Sabah Sarawak. Jadi kita berfaedah. Saya kalau ada RM10 bilion yang digunakan sekarang untuk Dasar Ekonomi Baru, memperkayakan kroni, caj elektrik lebih, caj AES, pelbagailah. Gula naik semua. Untung berapa syarikat? Kalau saya ada RM10 bilion itu, saya akan agihkan kepada yang di bawah.Bagaimana pendidikan percuma? Bagaimana kos barangan yang lebih rendah? Bagaimana pendapat gaji yang minimum? Ini soal kita, ini tuduhan Pas akan khianati Islam, Anwar akan khianat Melayu, ini hanya slogan murahan sahaja.

Betapa pun Pas itu sebagai parti politik dengan kerjasama bersama-sama Keadilan dan DAP, soal Islam mereka konsisten. Saya tahu dalam mesyuarat Pakatan Rakyat, mereka sentiasa mengingatkan dasar akhlak dan Islam yang harus difahami dan disepakati dalam program-program dan kerangka besar Pakatan Rakyat.DAP tentunya ada pendirian tentang demokratik, prinsip meritokrasi. Dan saya dalam Keadilan, apatah lagi sebagai seorang Muslim, saya tidak berganjak dalam soal ini.

Jadi kalau soal Melayu ini kalau dikatakan Umno itu berjaya, hanya dari sudut slogan politik, kuasa tetapi dari sudut program, kepedulian di bawah, kita kena ingat berdasarkan fakta berapa jumlah saham Bumiputera? RM22 bilion. Berapa yang dapat melepas bil akhir sekarang, RM2 bilion. Berapa yang diambil oleh keluarga menteri, keluarga pimpinan Umno? Berapa permit teksi yang diberikan? Berapa yang diperolehi oleh orang Melayu di bawah dan berapa yang diberikan kepada pemimpin di atas?

Berapa permit AP yang diberikan untuk kelapa sawit? Siapa yang dapat? Kita boleh teruskan “ad nauseam” dan ia akan membuktikan bahawa apa yang disebut sebagai program Melayu itu memberi manfaat kepada kelompok kecil.Saya tidak pernah menafikan ada program yang memberi manfaat kepada masyarakat Felda, pembangunan luar bandar,UiTM, ada. Saya tidak nafikan. Kita tidak semestinya ganggu.Kita tidak akan ganggu Felda melainkan perjalanannya supaya jangan ada rasuah. Kita tidak akan ganggu UiTM melainkan mengangkat kedudukan dan mutu pendidikan UiTM dan tidak menjadikannya sebagai bahan propaganda murahan untuk merendahkan keupayaan anak-anak seperti “listen,listen,listen”.

SIRI 2 : http://www.sinarharian.com.my/sinar-tv/wawancara/anwar-asas-islam-melayu-pakatan-kuat-1.125280

 

SINAR HARIAN: Baru-baru ini Tan Sri Muhyiddin kata, Datuk Seri apabila bangkit isu Felda, dia kata sabotaj ekonomi negara, sabotaj negara dan minta Bursa Saham siasat?

ANWAR: Tak apalah. Tan Sri Muhyiddin itu kawan lama saya. Jadi kalau dia berucap tu, dia tidak teliti.

SINAR HARIAN: Termasuk kata Datuk Seri sebagai seorang pembohong? 

ANWAR: Saya belum pernah jawab dia menggunakan bahasa yang dia gunakan terhadap saya dan saya pernah beritahu dia di Parlimen. Bezakan. Saya belum pernah. Saya cuma hendak tumpukan kepada isu dasar. Apakah dia sudah baca kenyataan kita tentang kelapa sawit dan tentang Felda? Saya katakan, mengapa saham Felda untuk semua peneroka itu dengan had, tak boleh jual sehingga pasaran itu turun, mengapa diberikan lebih kepada yang bukan peneroka? Siapa yang khianat?

Peneroka 30, 40 tahun dapat jumlah kecil dan yang bukan peneroka, ahli lembaga, ketua-ketua Umno, itu diagih sikit-sikit. Tak setuju? Dedahkan siapa yang dapat. Mustahil hendak didedahkan. Permit teksi, siapa yang khianat? Apalah salahnya bagi pemandu yang bawa sendiri. Bagi sahajalah permit. Kamu carilah. Saya gunakan istilah ‘mentekedarah’, maknanya nak kaya ambillah dari syarikat-syarikat besar. Apa makna ‘mentekedarah’ istilah Kedah. Muntah sampai ke darah. Ini rompakan. Jadi tak payahlah nak marah saya lebih-lebih sangat.

Khianatlah, khianat Melayu, pembohong, apa yang saya bohong, patutnya Sinar tanya pada dia, apa saudara Anwar bohong? Apa kenyataan dia kata yang kata bohong. Kalau tak betul, kalau saya silap, saya boleh betulkan. Tak ada masalah. Berbalik kepada aspek Melayu dan agama, apa satu jaminan konkrit yang Datuk Seri boleh berikan kepada orang Melayu dan beragama Islam? Perkara ini sangat penting dalam pilihan raya.

Saya bukan anak orang kayangan. Saya orang desa. Walaupun saya bukan dari keluarga yang miskin, ayah saya pembantu hospital, ada yang kata dia atendan hospital, saya tak rasa hina, orang Umno kempen dia atendan hospital tak ada pendidikan. Tak ada masalah. Tetapi saya dibesarkan oleh ibu bapa saya dengan asas agama dan sebagainya.

Alhamdulillah, pergi ke Kolej Melayu (Kuala Kangsar), sekolah yang sangat bagus, giat dalam kegiatan mahasiswa, menambah kesedaran saya tentang kebimbangan rakyat, dhamir derita rakyat, kemudian saya dalam belia Islam, ABIM dan ini satu episod yang sangat penting dalam hidup saya kerana ia memberikan asas Islam yang kukuh, usrah mingguan, agama, pengajian daripada kitab klasik, kitab al-Quran sehingga buku-buku semasa, ini membantu saya dalam membentuk pemikiran saya tentang apa erti perjuangan hidup dan perjuangan.

Kita dalam Pakatan, apatah lagi dengan Pas, soal asas Islam, Melayu itu kuat. Tetapi bukan Melayu yang difahami oleh Umno. Walaupun mereka cakap tentang Melayu, hidup Melayu, 200 ekar tanah beri Ketua Wanita, hidup Melayu, duit NFC lembu terlepas pula, hidup Melayu, duit teksi habis. Hidup Melayu, AES RM400,000 disaman. Ada beda.

Saya tidak mengatakan dalam Umno tidak ada langsung sumbangan kepada Melayu. Ada. Saya tidak mewakili pendapat itu. Sebab itu dalam ucapan-ucapan saya tidak menyerang orang-orang Umno biasa yang masuk kerana mereka meyakini ia sebagai wadah untuk membantu orang Melayu. Kita harus faham mengapa diizinkan pemimpin-pemimpin menggondol kekayaan berlebihan, tidak boleh. Ini pegang amanah. Gaji sudah tinggi. Kita tidak boleh jadi pemimpin politik, peniaga, nak istana paling baik, subang yang paling mahal dan pada masa yang sama, anda hendak jadi pemimpin yang sederhana, ia bercanggah.

Betul anda mesin propaganda, ada sebahagian orang akan terpukau dengan janji-janji itu. Tapi tak akan kekal. Dan kalau kita bercakap soal Islam, akhirnya apa? Akhirnya kita kena ingat kuasa, amanah, pengucapan, tindakan, kita bertanggungjawab kepada rakyat dan akhirnya kepada ALLAH SWT.

Melayu begitu juga tadi, saya sebutkan soal bahasa. Soal keistimewaan orang Melayu, kita tidak pertikai.SINAR HARIAN: Kebelakangan ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad nampak aktif berpolitik. Turun ke padang hampir setiap hari. Adakah itu satu faktor yang boleh menjejaskan perjalanan Pakatan ke Putrajaya? 

ANWAR: Tak apa. Itu hak dia. Walaupun dia bekas perdana menteri, doakan dia sihat. Dia bantu kempen, tak apa. Tapi kena ingat, tahun 1999 masa kempen, waktu itu Mahathir Perdana Menteri dan pimpin pilihan raya, dia tewas di kawasan-kawasan Melayu. Jangan lupa, dia menang dengan dokongan bukan Melayu.

2013 sokongan Melayunya tambah merosot, dokongan bukan Melayu, merempat ke bawah. Sudah tidak ada.Jadi tak perlu risaulah. Biarlah dia kerja. Tapi selalu saya sebut kepada dia, tak perlu dia kasar sangat sebab orang akan tanya, kamu ini hendak pertahankan apa? Kalau nak pertahankan Melayu-Islam, kamu ada 20 tahun untuk lakukan.

Kedua kalau betul kamu hendak pertahankan soal pemerintahan yang wibawa, yang telus, yang baik, kenapa kontrak Petronas dimonopoli oleh syarikat anak kamu sementara kamu masih jadi penasihat Petronas? Kalau kamu nak pertahankan Islam, kenapa kepentingan keluarga kamu masih dalam San Miguel. Bukan sahaja kepentingan, menguasai San Miguel. Ini yang penting. Saya tak fikir ustaz Umno atau imam Umno akan jawab kerana dia tak nampak, San Miguel itu mereka tak nampak. Yang dia nampak mungkin gadis 18 tahun miskin yang ditangkap minum bir. Itu bagi dia salah besar.

Bagi orang yang memiliki syarikat dan kilang bercambah, dia tak nampak sebab hukum ikut kelas. Kena ingatkan bahawa, kekuatan syariat Islam itu ialah kerana, ia berteraskan hukum dan hukum tidak mengenal warna kulit, pangkat atau darjat. Maka sebab itu Rasulullah SAW dalam hadisnya menjelaskan, untuk memberi mesej kepada semua, demi ALLAH, kalau Fatimah itu pun ditangkap mencuri, hukum yang sama iaitu potong tangan. Nak berikan mesej apa? Ini kalau nampak orang Pakatan Rakyat, dari mufti, amboi heboh. Muka hadapan besar tapi kalau orang itu pemimpin besar dan syarikat araknya besar mana pun, dia tak nampak.

SINAR HARIAN: Datuk Seri akan tanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13?

ANWAR: Insya-ALLAH.

SINAR HARIAN: Di Permatang Pauh?

ANWAR: Kemungkinan besar tetapi saya masih diminta untuk pertimbangkan satu dua kawasan lain.

SINAR HARIAN: Lembah Pantai?

ANWAR: Kenapa pula Lembah Pantai? Nurul Izzah marah nanti, sebab saya pergi ke Lembah Pantai baru-baru ini? Itu sebab Ponggal.

SINAR HARIAN: Tadi Datuk Seri ada menekankan tentang sistem pilihan raya, daftar pemilih. Kenapa tidak boikot pilihan raya?

ANWAR: Itu yang Umno hendak. Itu yang Umno mahu.

SINAR HARIAN: Mengapa tidak?

ANWAR: Kalau kita boikot, mereka perintahlah tanpa susah payah. Sebab dia tipu pun, kita masih menang lima negeri campur Kuala Lumpur dan sekarang kita tambah kuat. Dia tak akan tipu sebanyak yang lalu sebab ada dakwat kekal dan pemantauan lebih. Kesedaran rakyat juga lebih. Jadi Insya-ALLAH kita menanglah. Jadi lepas ini, kita gantilah ahli suruhanjaya yang tipu itu.

SINAR HARIAN: Datuk Seri bagaimana dengan pembahagian kerusi? Ada perubahan seperti DAP ada minta tambahan baru-baru ini, sudah selesai?

ANWAR: Siapa pun boleh minta tapi rundingan itu mesti mengikut syarat dan peraturan dalam parti dan sebahagian besar diluluskan, selalu kita bagi nasihat supaya jangan ada kenyataan-kenyataan yang melanggar semangat kerjasama dan merumitkan rundingan ini umpamanya, berbanding 2008 hingga sekarang, Keadilan (PKR) merupakan parti yang paling banyak terpaksa menyerahkan kerusi terutama di Sabah kerana wujudnya PPPS (Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah) dalam Pakatan Rakyat, 90 itu kerusi Keadilan (PKR). Jadi kita terpaksa serahkan. Saya ambil keputusan itu baik apabila kita lihat dalam kerangka besar dalam Pakatan Rakyat sebab di Sabah pun kita serah lapan hingga sembilan kawasan Parlimen.

SINAR HARIAN: Bagaimana jumlah calon wanita yang akan bertanding kali ini, berapa peratusan?

ANWAR: Saya sudah umumkan supaya diberikan pertimbangan yang agak berat menentukan calon wanita lebih drastik lagi. Saya tidak fikir kita terlalu berhasil tetapi peningkatannya pasti ada. Semalam (Selasa lalu) saya di Pulau Pinang menemui pimpinan Pulau Pinang, Kedah umpamanya Perlis, kita akan tolak ansur untuk pastikan setiap negeri, ada beberapa calon negeri dan calon Parlimen. Di kawasan yang kecil umpamanya Perlis, kita kena fahamlah.

Kalau di Kedah, mesti ada. Pulau Pinang mungkin… kerana terbatas calon. Bagi negeri-negeri mesti ada. Di Perak mesti ada Parlimen dan negeri. Itu umpamanya tindakan yang akan kita ambil, tidak berlaku pada 2008 walaupun calon wanita di dalam PKR dari segi jumlahnya juga tinggi. Yang menang baru-baru ini seperti Zuraida (Kamaruddin), Fuziah (Salleh) dan Nurul Izzah.

SINAR HARIAN: Sampai 30 peratus mungkin ada?

ANWAR: Sasaran kita memang 30 peratus tapi nampak sukar. Calon wanita ini bukan semata-mata kerana wanita tetapi kita kena adil, mereka tahu, dia mesti layak, kita naikkan atas dasar itu. Ada kadang-kadang, orang lelaki kata tak bolehlah, kawasan ini kawasan konservatif kampung, tahun 1959 Khadijah Sidek menang di Terengganu.

Maka saya pada 1955, waktu pemilihan majlis tempatan pertama, di sebelah hulu, menang juga. Jadi kalau orang kata wanita tak boleh, tak betul. Saya tak setuju. Jadi kita kena bagi laluan, hak dia. Kalau layak, bagi. (Allahyarhamah) Dr Lo’Lo’ dulu di kawasan bandar atau pun di kawasan Rantau Panjang, konservatif Melayu. Izzah ada di bandar, Fuziah juga kawasan bandar.

SINAR HARIAN: Bagaimana Datuk Seri nak menenangkan Karpal dengan Majlis Syura dalam hudud, isu kalimah ALLAH, ia isu penting ketika menjelang pilihan raya?

ANWAR: Siapa kata tak tenang? Saya jumpa tadi seorang ahli Majlis Syura, saya ditanya pagi tadi, itu dibesarkan perbedaan kenyataan mereka dengan Pakatan Rakyat. Tak betul. Pakatan Rakyat membuat keputusan berdasarkan, malah bukan buat keputusan tetapi mendukung dan mengambil kira seluruh kenyataan (Presiden Pas) Tuan Guru (Datuk Seri) Hadi Awang, itu sebagai kenyataan bersama.

Kenyataan itu kenyataan Hadi dan dibentangkan dalam Majlis Pakatan dan kita terima. Kemudian Majlis Syura buat ulasan dan sebahagian daripada kenyatan Hadi yang prinsipnya apa? Membolehkan tetapi ada beberapa kebimbangan, yang disuarakan saya adalah keputusan Majlis Pakatan.

SINAR HARIAN: Bagaimana dengan perkembangan manifesto, penekanan kali ini dan adakah Pakatan Rakyat akan keluarkan kad laporan prestasi sepanjang lima tahun untuk rakyat timbang?

ANWAR: Kad laporan prestasi telah kita keluarkan dalam konvensyen yang lalu. Dalam konvensyen yang bakal diadakan oleh Pakatan Rakyat akan menumpu manifesto yang akan menumpu kepada kerangka yang berteraskan perlembagaan dan ekonomi.

SINAR HARIAN: Datuk Seri berkenaan dengan mekanisme yang diguna pakai untuk tentukan orang bukan Islam tidak menyalahgunakan kalimah ALLAH?

ANWAR: Saya sebut, ia ada dua kumpulan, satu yang politikkan umpamanya bakar kitab Injil. Kalau betul kita terima kalimah ALLAH, kita terima al-Quran, kita tidak boleh zalim, tak boleh rasuah, tak boleh fitnah orang. Ini media kerajaan yang paling kuat pertahankan ALLAH, juga paling sekarang ini terbukti kes fitnahnya. Tak boleh, ia mesti konsisten. Tapi satu kumpulan lain yang kalau ditanya saya setuju, ada yang melahirkan kebimbangan dan dia ikhlas, dia kata, dia bimbang takut kelonggaran ini disalahgunakan oleh pendakyah Kristian, mengelirukan umat Islam.

Dalam menghadapi ini, saya tidak pertikai. Kalau terbukti umpamanya penyebaran kitab Injil terjemahan ini kepada pelajar-pelajar Islam, ia ada undang-undang oleh Majlis Agama, Jabatan Agama, Kerajaan Persekutuan harus ambil tindakan. Atau pun digunakan umpamanya untuk panggil satu kumpulan umat Islam dan gunakan Bible untuk mengelirukan, ada bukti? Kita boleh ambil tindakan, undang-undang ada, jelas.

Satu hal yang tidak diliputi oleh media ialah bahawa yang meluluskan terjemahan ini kerajaan persekutuan, diumumkan oleh Idris Jala dan Datuk Seri Nazri Aziz dengan persetujuan Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Najib Tun Razak, suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor.

SINAR HARIAN: Kenapa ini tidak dibesarkan?

ANWAR: Siapa yang luluskan? Ya, Datuk Seri Najib, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri) Nazri (Aziz) dan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri) Idris Jala. Saya tak bangkitkan itu salah tak salah, saya kata sekarang, mengapa kita pula yang salah? Saya tadi dalam mesyuarat Pakatan Rakyat tadi dengan seorang wakil Majlis Syura, saya kata kita patut bawa ini balik. Siapa yang benar, izin terjemahan ini? Siapa yang luluskan dan mengapa kita disalahkan?

Jadi yang saudari tanya tentang kebimbangan itu, saya pun dalam ABIM lama juga. Saya tak nafikan kemungkinan disalahgunakan. Maka ada undang-undang tapi oleh kerana orang itu, kenyataan oleh Tok Guru Hadi Awang bahawa ALLAH boleh digunakan, apakah dia ikut Anwar, liberal, plural, itu siapa yang buat fatwa boleh, Syeikh Dr Yusuf Qardhawi liberal, plural kah? Apa hujah dia? Alhamdulillahhirabil’alamin. Segala puji kepada ALLAH Tuhan kepada sekalian alam. Manusia, haiwan, pokok, gunung semua sekali. Macam mana kita hendak kata? Macam mana kita hendak sekat?

Soalan kedua, siapa nama nabi kamu Muhammad. Ayah dia siapa? Abdullah. Nama Abdullah itu nama sebelum Islam. Itu hujah dia. Kemudian masa dia jumpa saya, dia kata, Anwar kamu tahu tak, dia ingat saya yang tanya, saya kata bukan masalah saya, masalah Umno yang jadi isu ini, dia kata, apa soalan macam ini.Dia kata, tahu tak sahabat saya, Ketua Paderi Jerusalem, Atta Ullah, saya kata nama Atta Ullah tapi orang Kristian. Itu jelas dibenar. Hujah kita di rantau Melayu ini, sejarahnya berbeda, budaya berbeda dan ada kebimbangan usaha pengkristianan.

Ini soal akidah. Adakan undang-undang untuk mengawal sepertimana yang sudah ada sekarang.Jadi kalau kata kita mana ada undang-undang untuk menjaga kepentingan orang Melayu, tak apalah tapi jangan undang-undang dari segi hukum Quran. Saya beda ini. Ada orang kata Anwar hendak ambil jalan selamat, tidak betul. Saya bukan mufti, bukan Sheikh, tapi saya ikut Sheikh Qardhawi, hujah dia kuat. Tapi tidak boleh remehkan setengah daripada ulama-ulama kita, bukan sahaja Majlis Syura Pas tetapi sesetengah ulama kita yang merasakan bimbang, nampak longgar sangat ni.

Yang longgar ini, yang boleh terjemah ini Najib yang luluskan dengan Nazri umumkan, Idris Jala yang edarkan. Kita pula salah sekarang ini. Jadi kebimbangan itu saya ulang, kita tak pertikai. Tapi ikutlah undang-undang. Janganlah pakai hukum, bakar macam sekarang ini, tidak betul. Kita kena hak dan hormat, itu janji kita.Kalau maksud kita sebagai orang Kristian, baca dan faham OK. Tapi maksud dia, orang Kristian ambil Bible itu hantar dan kelirukan di sekolah, itu kita pun bantah.

Ada undang-undang sekarang ini dan undang-undang sangat keras melarang. Ingat ada kes serang gereja, ambil tindakan nak tutup gereja kononnya paderi yang buat kerja ini, kalau betul paderi yang buat, tangkap dia, dakwa dia, biar dia pertahankan diri dia. Jangan suruh tutup gereja. Orang tafsir macam-macam. Nak bagi belaga. Nak minta terang lebih-lebih, saya bukan mufti.Jadi saya boleh rujuk pandangan ulama-ulama besar.

SINAR HARIAN: Soalan terakhir Datuk Seri, adakah negeri-negeri yang dimenangi oleh pembangkang, akan bubar Dun sekali dengan Kerajaan Persekutuan atau tidak? 

ANWAR: Sekarang ini sudah lambat, mungkin keadaan itu sudah ‘overtaken by event’.

SINAR HARIAN: Adakah dalam tempoh seminggu atau pada hari sama?

ANWAR: Kalau dalam keadaan sekarang, saya tak fikir ia akan jadi isu. Kita akan bekerjasama sepenuhnya. Walau bagaimanapun keputusan muktamad saya akan rujuk kepada Majlis Pakatan minggu depan.

Tarikh : 10 Februari 2013 (Ahad)

Masa : 10 pagi – 3 petang

Lokasi : Wisma Wanita, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu

Baarakallahu lakuma, wa baaraka ‘alaikuma wa jama’a bainakumaa fii khair

CBoy (2) CBoy (3) CBoy (1) CBoy (4) CBoy (5)

%d bloggers like this: