Archive for Januari, 2013


NOSTALGIA BUKU DAFTAR

Buku Daftar MTQQ 1995 (1)

Ketika beberapa pelajar kami mengemaskini Maktabah Dar al-Ulum di Maahad Tahfiz, mereka bertemu dengan Buku Daftar Kehadiran Pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah Tahun Pertama. Ia sudah tentu satu penemuan yang penting sebagai arkib dan sejarah awal operasi maahad ini.

Kelas pengajian Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah bermula pada isnin 12 Jun 1995, di Bilik Kuliah Masjid Negeri Sabah yang kini menjadi pejabat para imam dan bilal masjid berkenaan. Sementara pejabat pengetua ditempatkan di sebuah bilik berhadapan dengan bilik kuliah berkenaan, yang kini menjadi pejabat am masjid. Di bilik kuliah 1 Masjid Negeri Sabah sekarang, pada tahun 1995 adalah bilik guru, antaranya Ustaz Abu Bakar Omar, Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, Ustaz Haji Ghazali Sulaiman, Ustaz Pajuddin Nordin dan Ustaz Zaidi Edward.

Pada peringkat ini, kelas pengajian Maahad Tahfiz beroperasi pada sebelah petang bermula jam 2.30 petang dan berakhir sekitar jam 5 selepas solat asar. Ini mengambil kira kumpulan pelajar pertama seramai 8 orang ini masih bersekolah menengah (tingkatan 4) pada sebelah pagi di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah sehingga jam 1.40 tengahari. Pada tahun 1997, barulah pelajar maahad menumpukan pengajian sepenuh masa di Maahad Tahfiz.

Seingat saya, tenaga pengajar pertama ialah (Allahyarham) Datuk Haji Asmali Bachi yang juga ketika itu Timbalan Imam Besar Masjid Negeri Sabah. Dialah guru tasmik kami yang pertama, yang mengarahkan kami tasmik hanya satu muka surat sahaja. Ini berlaku beberapa bulan dan beliau memahami untuk tidak memberati kami yang akan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) pada akhir tahun 1995 tersebut.

Selain beliau, turut mengajar ialah Ustaz Haji Abu Bakar Omar dari Melaka yang dibawa oleh Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) yang kini dikenali dengan JAKIM. Ustaz Abu Bakar mengajar kami tajwid dan Adab Hamlatul Quran. Pada peringkat awal ini, hanya tasmik, tajwid dan adab hamlatul Quran sahaja yang kami belajar. Masuk Ustaz Pajuddin dan Ustaz Zaidi, mereka berdua mengambil alih kelas tasmik al-Quran dari Ustaz Asmali, dan kami seramai 8 orang dibahagi dua kumpulan.

Apabila masuk Ustaz Haji Muchlish, beliau mengajar kami tafsir menggunakan kitab tafsir Jalalain sebagai panduan. Kami sempat khatam mengaji tafsir surah al-Fatihah dan al-Baqarah sebelum dimaklumkan bahawa sukatan pelajaran tafsir sebenarnya ialah surah al-An’am. :). Beliau juga mengajar kami fekah, tauhid, hadith dan lain-lain. Ustaz Haji Ghazali pula memberi tumpuan dalam ilmu bahasa arab – Nahu, Saraf, Balaghah. Saya akui sangat lemah dalam subjek bahasa ini, dan apabila sukatan pelajaran Nahu Saraf menekankan perkara asas seperti kalam, pembahagian isim, fiil dan huruf, saya merasa baru menemui dunia yang sebenar.

Alhamdulillah, penemuan buku daftar kehadiran ini telah mengingatkan saya beberapa nostalgia untuk saya kongsikan bersama-sama pembaca blog ini. Doakan juga kepada empunya tandatangan berkenaan, semoga Allah SWT menerima amal baik beliau selama hayatnya, mendidik kami serta mengasaskan Maahad Tahfiz Negeri Sabah ini, yang sehingga hari ini sudah masuk 17 tahun usia penubuhannya.

Buku Daftar MTQQ 1995 (0) Buku Daftar MTQQ 1995 (2) Buku Daftar MTQQ 1995 (3) Buku Daftar MTQQ 1995 (4) Buku Daftar MTQQ 1995 (5) Buku Daftar MTQQ 1995 (6)

Forum Mawlid (8)

Tarikh : 24 Januari 2013 (Khamis)

Masa : 9 malam

Tempat : Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Sabah

Panel : Ustaz Sarip Adul dan Ustaz Hj Mohd Taif Kasim (moderator)

Kehadiran : 50 orang

Ini program siaran langsung di Sabah FM di samping ada tetamu yang diundang khas menyaksikan sesi soal jawab sempena sambutan Maulidur Rasul SAW. Sebelum siaran langsung bermula, hadirin dihidangkan dengan qasidah-qasidah memuji Rasulullah SAW seperti ‘solatun’, ‘Ya Hanana’ dan lain-lain.

Adakah iman dan amalan kita semakin baik sekiranya hidup kita sezaman dengan Rasulullah SAW? Demikian antara persoalan yang dibangkitkan. Atau adakah kemungkinan kita dihidupkan tidak ubah seperti perangai musuh-musuh Allah seperti Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lain, walaupun mereka hidup pada zaman yang terbaik? Tetaplah bersyukurlah kepada Allah SWT kerana kita hidup pada zaman ini, walaupun tidak bertemu dengan baginda SAW, kita tetap mengasihi dan menyintainya.

Forum Mawlid (1) Forum Mawlid (2) Forum Mawlid (3) Forum Mawlid (4) Forum Mawlid (5) Forum Mawlid (6) Forum Mawlid (7)

Masjid Kg Muhibbah

 

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Kecintaan seorang sahabat kepada Rasulullah SAW telah menyebabkan dia rela berjalan malam sambil memangku Rasulullah SAW yang tertidur di atas kenderaannya. Dia berbuat demikian semata-mata agar baginda SAW tidak terganggu tidurnya dan dapat beristirehat dengan sempurna. Diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Rasulullah SAW telah berpidato dalam suatu perjalanan yang panjang dan tidak terdapat air di sekitar tempat itu.

Kata baginda : “Sesungguhnya kamu akan berjalan sejak petang dan sepanjang malam. Insya Allah, esok kamu akan bertemu dengan air”. Para sahabat pun terus berjalan dengan tidak menunggu-nunggu masa lagi dan tidak menoleh antara satu sama lain. Mereka berjalan sehingga sampai jauh malam. Tiba-tiba Rasulullah SAW mengantuk sehingga duduknya kelihatan senget, padahal kenderaannya terus berjalan. Jika tidak ditegakkan, kemungkinan besar baginda akan jatuh.

Seorang sahabat bernama Abu Qatadah yang berjalan di dekatnya, segera menahan baginda SAW sehingga tegak semula di tempat duduk kenderaannya. Abu Qatadah melakukannya dengan berhati-hati tanpa membangunkan baginda SAW dari tidurnya. Tidak berapa lama kemudian, baginda senget lagi dan Abu Qatadah pun menahannya lagi dengan hati-hati sehingga tegak semula.

Demikanlah yang dilakukan Abu Qatadah sepanjang perjalanan pada malam itu. Apabila waktu sahur tiba, Rasulullah SAW senget lagi, bahkan lebih senget daripada sebelumnya, sehingga nyaris jatuh. Abu Qatadah menahan tubuh baginda SAW tanpa mengejutkannya sehingga duduknya tegak semula. Tiba-tiba Nabi SAW terbangun dan melihat ada orang di sampingnya sedang menahan badannya sambil berjalan.

“Siapa ini?”

“Saya Abu Qatadah”

“Sejak bila kamu berjalan seperti ini di sampingku?”

“Sudah sepanjang malam”

“Semoga Allah SWT sentiasa menjagamu kerana kamu telah menjaga Nabi-Nya”.

Mawlid @ RTMKK (1)

Tarikh : 24 Januari 2013 (Khamis)

Masa : 6.30-8.00 malam

Tempat : Surau Kompleks Bersepadu, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Jalan Lintas Kota Kinabalu.

Kali kedua berziarah ke Kompleks Bersepadu ini dan kali pertama masuk ke surau seterusnya menyampaikan ceramah sempena Maulidur Rasul SAW 1434H. Ustaz Sakaria Samela yang merekomenkan nama saya untuk berceramah di surau ini telah meminta saya membawa topik berkenaan ‘Antara Perintah dan Larangan’.

Saya muqaddimahkan ceramah sekitar 50 minit itu dengan pembahagian rukun agama – iman, Islam dan ihsan, dan dari situ saya bawa jamaah sama-sama memahami perkara-perkara yang namanya ibadah yang boleh membawa pahala sama ada bertaraf wajib atau sunat, sama ada ia perkara kecil atau besar, bersifat hati, perkataan dan perbuatan semuanya tidak lepas daripada catatan amal.

Saya bawakan beberapa contoh kehidupan Nabi SAW bersama para isterinya, anaknya, sahabatnya bahkan kepada bukan Islam sekalipun. Mudah-mudahan perkongsian singkat membawa manfaat kepada semua yang hadir. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan, dan saya merasa gembira dengan pertemuan bersama tuan pengarah penyiaran, beberapa penyampai Sabah FM yang sedang berkhidmat atau orang lama yang sudah bersara turut hadir bersama-sama.

Mawlid @ RTMKK (2) Mawlid @ RTMKK (3) Mawlid @ RTMKK (4) Mawlid @ RTMKK (5) Mawlid @ RTMKK (6) Mawlid @ RTMKK (7) Mawlid @ RTMKK (8) Mawlid @ RTMKK (9) Mawlid @ RTMKK (10) Mawlid @ RTMKK (11) Mawlid @ RTMKK (12) Mawlid @ RTMKK (13) Mawlid @ RTMKK (14) Mawlid @ RTMKK (15)

Solawat @ Tokmi 1434 (3)

Tarikh : 24 Januari 2013 (Khamis)

Lokasi : Tokmi Station, Sadong Jaya

Kehadiran : 70 orang

Ini tahun kedua berturut-turut, restoran berkenaan membuat sambutan sempena Mawlidur Rasul SAW, dan kali kedua juga saya diundang untuk mengisi slot tazkirah sekitar 25 minit. Saya diminta oleh tuan rumah untuk menyampaikan tazkirah berkaitan Irhash Rasulullah SAW. Irhash ini merujuk kepada salah satu perkara-perkara ganjil yang berlaku kepada bakal Nabi.

Meskipun saya pernah belajar perkara ini, namun untuk berceramah, inilah kali pertama saya tampil membawa tajuk berkenaan. Dengan itu saya dapat studi dan membuat bacaan tambahan sebelum majlis berkenaan. Bagus juga dengan tajuk ini kerana kita dapat menampilkan peristiwa-peristiwa menarik sebelum baginda SAW diangkat sebagai Nabi.

Dalam masa yang singkat, saya hanya dapat menceritakan secara ringkas beberapa perkara berkenaan irhash Rasulullah SAW ini, antaranya mimpi menakjubkan yang terjadi keatas Aminah ibu Nabi SAW yang akan menimang cahayamata merupakan bakal seorang nabi, wajah ibu bapa nabi yang bercahaya, kelahiran nabi yang bercahaya, tidak berdarah dan sudah berkhitan dan sebagainya.

Begitu juga kehancuran tentera bergajah, musnahnya berhala, runtuhnya istana kisra, padamnya api sembahan, robohnya gereja sanrah, lenyapnya tasik sava dan peristiwa malaikat membelah dada nabi SAW ketika baginda kecil. Semua kejadian-kejadian ini memberi satu petanda akan kebangkitan seorang manusia mulia yang kemudiannya diangkat sebagai nabi dan rasul akhir zaman.

Selain ceramah dan majlis solawat, tuan rumah juga melancarkan satu menu baru iaitu nasi arab yang dihidangkan pada setiap hari jumaat. Jemput makan di Tokmi Station, Sadong Jaya.

Solawat @ Tokmi 1434 (1) Solawat @ Tokmi 1434 (2) Solawat @ Tokmi 1434 (4) Solawat @ Tokmi 1434 (5) Solawat @ Tokmi 1434 (6) Solawat @ Tokmi 1434 (7) Solawat @ Tokmi 1434 (8) Solawat @ Tokmi 1434 (9) Solawat @ Tokmi 1434 (10) Solawat @ Tokmi 1434 (11) Solawat @ Tokmi 1434 (12) Solawat @ Tokmi 1434 (13) Solawat @ Tokmi 1434 (14) Solawat @ Tokmi 1434 (15)

Senioriti

Ketiga-tiga mereka adalah senior saya semasa kami semua bersekolah di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah Sembulan, Kota Kinabalu pada tahun 90an. Kami semua bertemu serentak dan secara kebetulan ketika masing-masing mengambil anak di Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur, Taman Austral semalam.  Anak kepada Ustaz Junaidi dan Syahran Laima mengambil kelas aliran tahfiz sementara anak Aminuddin Abd Rahman dan saya di Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang kedua-duanya beroperasi di PPI an-Nur ini.

Secara berasingan, memang sesekali kami bertemu terancang atau tidak. Tapi untuk kali ini walaupun anak-anak bersekolah di tempat yang sama, kami bertemu secara kebetulan dan beramai-ramai pula. Nostalgia juga sambil menanti anak-anak keluar, kami dahulu tinggal seasrama walaupun berlainan bilik. Ketika saya tingkatan satu, Aminuddin tingkatan 2, Syahran tingkatan 3 dan Junaidi tingkatan 4.

Daripada segi kerjaya, Ustaz Junaidi bertugas di SMK Kolombong dan ada sambilan restoran, Syahran di Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Kepayan, Aminuddin dengan restoran Tokmi Station di Sadong Jaya sementara saya bertugas di Maahad Tahfiz Negeri yang berjiran dengan DCA tempat Syahran bertugas. Siapa tahu dengan ulah masing-masing yang rencam pada zaman sekolah, kini semuanya berada di lokasi yang tidak berjauhan dengan tugasan berbeza tetapi menyumbang sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat.

Tarikh: 22hb Jan, 2013
Masa: 10-11 pm
Lokasi: Court 1, City Futsal, Rampayan, Menggatal.

Futsal Persahabatan
Darussyifa Bdr Sierra lwn Darussyifa Putatan
– Keputusan DBS 8 – 5 DP

futsal dsbs vs dsp1 futsal dsbs vs dsp2 futsal dsbs vs dsp3 futsal dsbs vs dsp4

9 Januari 2013

11 Januari 2013

11 Januari 2013

13 Januari 2013

14 Januari 2013

14 Januari 2013

14 Januari 2013

15 Januari 2013

15 Januari 2013

16 Januari 2013

18 Januari 2013

18 Januari 2013

18 Januari 2013

19 Januari 2013

20 Januari 2013

21 Januari 2013

22 Januari 2013

BICARA SELEBRITI SIRI 7

Rakaman penuh Program Bicara Selebriti Siri-7 yang diadakan pada 20 Januari 2013 bertempat di Dewan Besar Balai Islam Lundang, Kota Bharu. Menampilkan selebriti Ust Zamri Mantop, Oki Setiana Dewi, Pierre Andre, Azizulhasni Awang & Amin Idris.

Buku yang baru dibaca :

fadzilnoor

 

Penulis : Subky Abdul Latif

Penerbit : Kemilau Publika

Harga : RM20.00/RM23.00

Karya terbaharu Pak Subky Abdul Latif.  Buku yang berjudul ‘Fadzil Noor; Dia Guru, Dia Kawan’ adalah satu catatan ringkas, satu pandangan peribadi dan satu ingatan semula mengenai Allahyarham Datuk Ustaz Fadzil Noor. Buku ini bagus untuk pengkaji dan peminat Ustaz Fadzil Noor dan PAS.

Buku ini bukan satu sejarahnya, bukan biografinya, bukan ajaran dan pemikirannya, tetapi adalah satu kumpulan pengalaman bagi mengenali beliau secara umum sepintas lalu. Biar sejarahnya dirakam oleh para sejarawan, ajaran dan pemikirannya dikaji dan dianalisis oleh para propagandis zaman dan orang-orang yang lebih dekat dengannya. Moga–moga para pengkaji dan peminatnya dapat memanfaatkan catatan ini sebagai persiapan awal untuk menghasilkan rakaman khazanah peninggalannya yang lebih besar dan bernilai.

Paling penting di sini ialah Ustaz Fadzil Noor mesti dikenali oleh orang-orang yang hidup sezaman dengannya dan mereka yang tahu nama tetapi tidak sempat mendekatinya serta belum dilahirkan semasa beliau pergi dulu. Menerusi buku ini generasi terkemudian akan mengetahui kehadiran seorang putera besar di dunia yang bernama Fadzil Mohd. Noor.

Sila lawati www.kemilau.net.my atau di talian 03-6038 8314/15 untuk maklumat lanjut.

%d bloggers like this: