Archive for 30 Januari 2013


datuk-haji-abdul-ghaffar-rijim-5

Suasana ceria tenang buat kami yang sedang berbengkel penghakiman tilawah al-Quran bertukar suram dan hening seketika apabila dimaklumkan khabar duka kehilangan seorang otai dan lagenda qari negeri Sabah Ybhg Datuk Haji Abd Ghaffar Rijim di Beaufort tengahari semalam. Beliau berumur 63 tahun, merupakan penghafaz al-Quran yang pertama di Sabah, serta pernah menjuarai MTQ peringkat negeri sebanyak 7 kali pada zaman kegemilangannya.

Kelopak mata saya berkocak mengenang beliau, meskipun saya tidak akrab dengannya, saya boleh bersembang elok sesekali berhubung atas urusan undangan sebagai hakim tilawah daerah tertentu dan biasanya beliau tidak pernah menolak pelawaan itu. Beliau juga pernah menghubungi saya antaranya urusan berhubungan dengan sahabat lamanya Ustaz Haji Mohd Ilham, rakan sepengajian beliau di Kuala Lumpur dahulu.

Terakhir kami bertemu ialah pada jun 2012 sudah, apabila rombongan maahad berziarah ke rumah beliau dan menemuramah beliau untuk keperluan majalah maahad tahfiz yang kini masih dalam proses percetakan. Meski majalah maahad itu tentang maahad, saya mahukan temuramah beliau dimuatkan agar pembaca mengetahui sejarah hidup beliau. Saya masih tidak dapat membayangkan pada akhir tahun 60an, ada seorang pemuda dari Beaufort boleh menyertai Maahad Tahfiz di Masjid Negara Kuala Lumpur.

Semoga Allah SWT membalas jasa baik beliau menyebarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat seluruhnya. Tilawahnya telah menggamit hati sanubari para pendengar dan peminat tilawah sehingga ada orang yang terdorong untuk belajar pula tentang al-Quran. Saya ingati nasihati beliau supaya ahli al-Quran terus menuntut ilmu dan menyebarkannya dengan cara mengajar al-Quran kepada ummat mengikut kemampuan masing-masing.

Saya bersaksi kepada Allah SWT sepanjang pengetahuan saya, beliau adalah seorang insan yang baik hati dan budinya. Ya Allah, ampunilah dosa dan kesilapan beliau dan tempatkan beliau bersama orang-orang yang soleh.  Janazah beliau disemadikan di Beaufort sekitar jam 10 malam tadi. Al-Fatihah.

Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (1)

Syukur alhamdulillah kami dapat lagi menerima khazanah ilmu berkaitan penghakiman tilawah al-Quran daripada tiga tokoh hakim Majlis Tilawah al-Quran Kebangsaan. Ybhg Dato’ Sallehudin Omar, Ybhg Dato’ Muhammad Hasri dan Syeikh Roslan Abd Halim diundang khas oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) ke program Bengkel Penghakiman Tilawah pada 28-30 Januari 2013 di Hotel Sabah Oriental, Karamunsing.

Sangat wajar kursus atau bengkel seumpama ini diadakan bahkan digandakan kekerapannya bagi memperbaiki kualiti penghakiman tilawah. Pernah berlaku beberapa tahun sudah, sebuah daerah yang mengadakan MTQ dan johannya memperolehi markah lebih 80%. Mengikut peraturan, mana-mana johan qari dan qariah daerah yang memperolehi markah 70% ke atas, mereka layak mneyertai saringan akhir bagi memilih 10 peserta terbaik pula sebelum dibawa ke MTQ peringkat negeri. Johan yang tadinya mendapat markah lebih 80% ini di peringkat saringan akhir hanya mendapat markah tidak sampai 50%.

Dalam bengkel kali ini, selain format pemarkahan, turut ditekankan ialah cara pemotongan markah, catatan borang markah serta memahami bidang pemarkahan antara tajwid, fasohah, tarannum dan suara. Selain itu, topik-topik dalam subjek tajwid dan tarannum mendominasi perbincangan sesama peserta dan pembimbing, agar para hakim lebih memahami dan beramal dengan ilmu-ilmu berkenaan. Sesi praktikal menghakimi tilawah turut diadakan dan disemak oleh para pembimbing.

Majlis penangguhan dilakukan oleh Tuan Haji Rumaling Epit, Timbalan Pengarah JHEAINS. Tahniah kepada semua peserta yang datang dari seluruh negeri, juga urus setia dari Bahagian Pendidikan JHEAINS. Semoga kualiti penghakiman MTQ yang akan bermula pada pertengahan Februari ini di daerah-daerah akan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (2) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (3) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (4) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (5) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (6) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (7) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (8) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (9) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (10) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (11) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (12) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (13) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (14) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (15) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (16) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (17) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (18) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (19) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (20) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (21) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (22) Bengkel Penghakiman MTQ 2013 (23)

%d bloggers like this: