Kucing Kecil

Sekitar seminggu lepas, saya ada membuat kemaskini status di facebook untuk mencari kucing. Satu sisi berharap juga kalau-kalau ada teman-teman fb yang mahu ‘bersedekah’ kucing kepada kami. Sambutan di fb menggalakkan, bahkan ada yang menghubungi lewat sms, wasap dan mesej peribadi. Ada yang menawarkan bayi-bayi kucing yang masih berada dalam perut ibunya apabila sudah berpisah susu. Ada juga yang menawarkan kucing siam dari Kota Marudu.. aduhai..

Tetapi ada suatu peristiwa ganjil berlaku dua hari sudah di rumah kami. Tiba-tiba sahaja kami mendengar suara kucing dari balik dinding di dapur rumah kami. Dinding dapur itu ditutup dengan almari yang sedia melekat (permenant). Di celah-celah almari yang sangat sempit serta tiada saluran keluar masuk, rupanya ada seekor anak kucing mengiaw sejak 2 hari sebelum itu.

Kami menjangkakan anak kucing jiran sebelah, tapi apabila ditanya, mereka tiada anak kucing baru. Kasihan si kecil ini masih memerlukan susu ibu, dan kami terpaksa mengongsikan air susu formula. Kelihatannya ia masih sukar menerima, dan jalannya masih belum lancar dan rata.  Kami masih tertanya-tanya lagi, siapakah pemilik kucing ini, dan dari mana datangnya?