Buku Daftar MTQQ 1995 (1)

Ketika beberapa pelajar kami mengemaskini Maktabah Dar al-Ulum di Maahad Tahfiz, mereka bertemu dengan Buku Daftar Kehadiran Pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah Tahun Pertama. Ia sudah tentu satu penemuan yang penting sebagai arkib dan sejarah awal operasi maahad ini.

Kelas pengajian Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah bermula pada isnin 12 Jun 1995, di Bilik Kuliah Masjid Negeri Sabah yang kini menjadi pejabat para imam dan bilal masjid berkenaan. Sementara pejabat pengetua ditempatkan di sebuah bilik berhadapan dengan bilik kuliah berkenaan, yang kini menjadi pejabat am masjid. Di bilik kuliah 1 Masjid Negeri Sabah sekarang, pada tahun 1995 adalah bilik guru, antaranya Ustaz Abu Bakar Omar, Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, Ustaz Haji Ghazali Sulaiman, Ustaz Pajuddin Nordin dan Ustaz Zaidi Edward.

Pada peringkat ini, kelas pengajian Maahad Tahfiz beroperasi pada sebelah petang bermula jam 2.30 petang dan berakhir sekitar jam 5 selepas solat asar. Ini mengambil kira kumpulan pelajar pertama seramai 8 orang ini masih bersekolah menengah (tingkatan 4) pada sebelah pagi di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah sehingga jam 1.40 tengahari. Pada tahun 1997, barulah pelajar maahad menumpukan pengajian sepenuh masa di Maahad Tahfiz.

Seingat saya, tenaga pengajar pertama ialah (Allahyarham) Datuk Haji Asmali Bachi yang juga ketika itu Timbalan Imam Besar Masjid Negeri Sabah. Dialah guru tasmik kami yang pertama, yang mengarahkan kami tasmik hanya satu muka surat sahaja. Ini berlaku beberapa bulan dan beliau memahami untuk tidak memberati kami yang akan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) pada akhir tahun 1995 tersebut.

Selain beliau, turut mengajar ialah Ustaz Haji Abu Bakar Omar dari Melaka yang dibawa oleh Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) yang kini dikenali dengan JAKIM. Ustaz Abu Bakar mengajar kami tajwid dan Adab Hamlatul Quran. Pada peringkat awal ini, hanya tasmik, tajwid dan adab hamlatul Quran sahaja yang kami belajar. Masuk Ustaz Pajuddin dan Ustaz Zaidi, mereka berdua mengambil alih kelas tasmik al-Quran dari Ustaz Asmali, dan kami seramai 8 orang dibahagi dua kumpulan.

Apabila masuk Ustaz Haji Muchlish, beliau mengajar kami tafsir menggunakan kitab tafsir Jalalain sebagai panduan. Kami sempat khatam mengaji tafsir surah al-Fatihah dan al-Baqarah sebelum dimaklumkan bahawa sukatan pelajaran tafsir sebenarnya ialah surah al-An’am. :). Beliau juga mengajar kami fekah, tauhid, hadith dan lain-lain. Ustaz Haji Ghazali pula memberi tumpuan dalam ilmu bahasa arab – Nahu, Saraf, Balaghah. Saya akui sangat lemah dalam subjek bahasa ini, dan apabila sukatan pelajaran Nahu Saraf menekankan perkara asas seperti kalam, pembahagian isim, fiil dan huruf, saya merasa baru menemui dunia yang sebenar.

Alhamdulillah, penemuan buku daftar kehadiran ini telah mengingatkan saya beberapa nostalgia untuk saya kongsikan bersama-sama pembaca blog ini. Doakan juga kepada empunya tandatangan berkenaan, semoga Allah SWT menerima amal baik beliau selama hayatnya, mendidik kami serta mengasaskan Maahad Tahfiz Negeri Sabah ini, yang sehingga hari ini sudah masuk 17 tahun usia penubuhannya.

Buku Daftar MTQQ 1995 (0) Buku Daftar MTQQ 1995 (2) Buku Daftar MTQQ 1995 (3) Buku Daftar MTQQ 1995 (4) Buku Daftar MTQQ 1995 (5) Buku Daftar MTQQ 1995 (6)