Archive for 18 Januari 2013


OLEY 2

Sebuah filem terbitan DPPM arahan Adam Hamid yang menerangkan tentang hudud dan mengambarkan keadaan seperti selepas Pakatan Rakyat memerintah negara.

Masjid al-Hilal Kg Tg Dumpil

Khatib : Ustaz Mohd Jumat Abd Razak

Lokasi : Masjid al-Hilal Kg Tanjung Dumpil Putatan

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (S. Al-Ahzab: 21).

Berdasarkan kepada mafhum ayat ini, adalah jelas bahawa Allah SWT mengutus Nabi SAW kepada manusia untuk menjadi contoh ikutan yang terbaik lagi terpilih. Ini kerana manusia memerlukan contoh ikutan atau role model untuk diteladani dalam apa jua urusan atau pekerjaan bagi membolehkannya melakar kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup. Nabi Muhammad SAW selaku penutup segala Nabi-nabi adalah sebaik-baik contoh (Uswatun Hasanah) bagi seluruh manusia dalam mencapai kebahagiaan serta kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat.

Sekiranya kita selaku umat Muhammad mencontohi akhlak Baginda SAW yang mulia, pasti kita menjadi manusia yang mempunyai ciri-ciri keperibadian yang baik dan terpuji yang akan mengundang rahmat Allah Rabbul Alamin. Di antara akhlak Nabi SAW yang patut kita hayati dan contohi ialah siddiq atau benar, amanah, fatanah atau bijaksana dan tabligh atau menyampaikan.

Seperti mana yang tercatat dalam sirahnya, Nabi SAW sentiasa bersifat benar dalam apa jua situasinya. Baginda tidak pernah berdusta dan tidak memanipulasi keadaan untuk kepentingan diri sendiri. Malah sejak kecil lagi Baginda SAW bersifat amanah dan jujur sama ada sewaktu berbicara mahupun sewaktu melaksanakan sesuatu pekerjaan atau tugas. Atas sifat amanahnya jugalah Nabi SAW diberikan kepercayaan oleh Siti Khadijah RA membawa dagangannya. Disebabkan sifat amanahnya yang begitu tinggi, Nabi SAW diberikan gelaran al-Amin oleh masyarakat Mekah.

Di samping itu, kebijaksanaan Baginda SAW terserlah dalam menyelesaikan pertelingkahan meletakkan batu Hajar Aswad ke tempat yang sepatutnya di dalam Kaabah. Baginda SAW membentangkan kain lalu meletakkan batu hitam berkenaan ke atasnya. Kemudian, Baginda SAW mempersilakan ketua-ketua kabilah mengangkat batu yang telah diletakkan di atas kain itu dengan cara memegang hujung kain berkenaan. Dengan hal yang demikian, semua pihak berpuas hati kerana dapat bersama-sama berperanan mengangkat serta meletakkan Hajar Aswad ke tempatnya.

Banyak lagi sifat dan akhlak mulia Nabi SAW yang boleh kita hayati dan contohi. Ia termasuklah tawaduk,  pemalu, tabah, sabar, syukur, pemaaf, bertakwa, beristiqamah, ikhlas, khusyuk, zuhud, qana’ah dan lemah lembut. Demikian juga cara Nabi SAW berinteraksi dengan masyarakat perlu kita teladani seperti mengasihi anakanak yatim, mengasihi kanak-kanak, mengasihi orang miskin dan menghormati orang tua.

Sebagai pemimpin umat, Rasulullah SAW tidak mengharapkan penghormatan dan pujian melainkan mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata. Sebab itu, baginda sentiasa mengamalkan syura, menegakkan keadilan, mengutamakan umat serta sanggup menanggung kesusahan bersama pengikut. Malah, Rasulullah SAW suka membalas kejahatan dengan kebaikan. Sementara itu, antara ibadah Nabi SAW yang perlu kita contohi dan amalkan ialah bersolat wajib secara berjemaah di masjid, memperbanyakkan solat sunat di rumah, melazimi Solat Tahajjud, memperbanyakkan  puasa sunat, sentiasa berzikir, berdoa dan bertaubat, banyak membaca al-Quran dan lain-lain lagi.

%d bloggers like this: