Archive for 17 Januari 2013


 

Seronok melihat anak-anak didik kami belajar berorganisasi di Maahad Tahfiz. Setiap tahun mereka akan memilih kepimpinan untuk persatuan pelajar mereka. Ini kali kedua saya melihat dan bersama mereka dan ketika kali pertama pada tahun lepas saya juga ada mencatat topik yang serupa.

Saya melihat daya kepimpinan yang baik sepanjang setahun bersama mereka. Alhamdulillah Allah SWT memberikan bakat memimpin bukan setakat ketua mereka bahkan kepada seluruh ahli majlis tertinggi mereka dan ahli-ahli lain yang dipimpin. Tidak banyak saya memberikan komentar terhadap aktiviti yang mereka jalankan kecuali apabila mereka meminta nasihat. Jika itu maka saya berikan pendapat menurut kemampuan mereka.

Saya berkeyakinan sesiapa sahaja yang mereka pilih dalam pemilihan ini mempunyai bakat untuk memimpin walaupun mereka hanya sekitar 40 orang sahaja. Apatah lagi mereka dibekalkan dengan hafazan al-Quran di dada mereka, justeru saya menaruh kepercayaan sesiapa sahaja. Tinggal lagi mereka memilih yang terbaik daripada kalangan yang baik-baik.

Hanya panduan agama dalam soal ini ialah sentiasa memberi dan menerima nasihat. Pemimpin boleh memberi nasihat dan rakyatnya menerima nasihat, begitulah juga sebaliknya jika berlaku. Jangan bimbang untuk menegur dan ditegur kerana kita semua manusia yang mesti hidup bermasyarakat, saling tegur menegur, bertolak ansur dan berlapang dada.

PRU Maahad (1) PRU Maahad (2)

lubok4

Selamat ulangtahun ke-69 buat ayahanda yang kami kasihi Tuan Haji Othman bin Mahali, 17 Januari 1944. Semoga terus dimurahkan rezeki, ditetapkan iman dan amal soleh. Sehingga kini, 6 orang anak dan 6 orang menantu, 20 orang cucu, beliau masih diberikan kekuatan memimpin keluarga besar kami, selain tetap aktif sebagai pengerusi JK Masjid al-Muzakkirullah Kg Lubok Temiang, aktivis Persatuan Penulis WP Labuan (PERWILA) serta persatuan guru-guru pencen WP Labuan.

Sebelum ini saya hanya mengetahui beliau dilahirkan di Labuan berdasarkan rekod. Rupanya beliau dilahirkan di Kg Gelapas Trusan Lawas berdasarkan cerita lisannya pada kunjungan kami ke kampung berkenaan akhir tahun lepas. Bapanya – nenek kami – Allahyarham Mahali bin Sulaiman ketika mendaftarkan kelahiran lewat bapa kami memilih untuk merekodkan kelahiran di Labuan kerana memikirkan kesusahan untuk masuk ke Sarawak ketika itu yang perlu menggunakan pasport.

%d bloggers like this: