Archive for 8 Januari 2013


MIMNS

Hajat murni ini disampaikan oleh salah seorang tenaga pengajar di Madrasah Islamiah Masjid Negeri Sabah, Ustaz Fakhruddin Haji Said. Bagi pihak guru-guru sekolah berkenaan beliau menyampaikan agar saya dapat mencarikan penderma yang bermurah hati untuk mengganti dan menambah kerusi dan meja sekolah berkenaan. Menurut Ustaz Fakhruddin, sudah banyak kerusi dan meja yang rosak sedangkan musim baru persekolahan sudah bermula.

Kata beliau, sebelum ini sudah ada seorang hamba Allah yang sudah menyumbangkan sekitar 100 meja tetapi belum mencukupi lagi. Sesiapa yang berminat untuk menginfaqkan sebahagian harta mereka untuk perjuangan pendidikan Islam, boleh berhubung dengan beliau di talian : 016-8021810 atau terus ke no akaun Bank Islam 100 160 100 188 25. Terima kasih atas sumbangan sahabat-sahabat sekalian.

Tegur Imam

Lucu juga memerhatikan gelagat seorang pesakit – yang juga pelajar saya – yang diganggu makhluk halus, saya bawa ke Masjid Negeri Sabah untuk dirawat. Petugas yang merawat hari itu antaranya sahabat saya Imam Amiruddin Amir, Imam Masjid Negeri Sabah. Sesi rawatan diadakan di bilik imam dan sambutan ketika itu (bahkan setiap minggu) memang amat baik sekali.

Asalnya saya tidak memerhatikan sangat rawatan kepada pelajar saya ini. Tumpuan saya kepada salah seorang pesakit lain yang asyik menjerit tetapi reaksi badannya tidaklah gagah sangat. Jeritannya sangat kuat, rasanya kalau bangunan bertingkat boleh sampai ke tingkat 5-6.

Apabila saya dimaklumkan dialog menarik jin dan Imam Amiruddin, saya beralih kepada mereka. Imam Amiruddin meruqyah dan seperti biasa membacakan ayat-ayat al-Fatihah, ayatul kursi dan lain-lain termasuk azan. Ada beberapa kesilapan tajwid yang saya kesan berlaku pada bacaannya Imam Amiruddin dan kesalahan-kesalahan itu ditegur oleh jin yang berada di dalam tubuh pelajar saya tadi.

Ada kesilapan berupa makhraj huruf, sifat huruf, kurang dengung dan sebagainya. Cara menegurnya pula tidak ubah seperti cara saya mengajar subjek tajwid kepada pelajar maahad. Jin berkenaan sangat cermat memerhati dan mendengar kesalahan bacaan Imam Amiruddin. Berlaku dialog :

“Jin, mana kamu belajar tajwid ni?”

“Saya kan ada dalam badan dia (pelajar ni)”

“Budak ni belajar di mana?”

“Maahad Tahfiz kan..”

“Maahad Tahfiz tu di mana?”

“Kepayan laa..”

“Siapa guru-guru di sana?”

“Mokhtar, Azlan…”

“Kamu bilang tadi, belajar tajwid ikut budak ni di kelas. Siapa yang ajar tajwid?”

(Terdiam sekejap)

“Ustaz Akmal…”

Saya sendiri berada di hadapan dan merakam babak ini. Jin berkenaan mengaku beragama Islam dan masuk diajar oleh jin-jin lain. Tidak lama sesudah itu, kami pinta baik-baik agar beliau keluar. Dengan mudahnya, jin berkenaan keluar dan berakhirlah babak jin menegur tajwid imam. Semoga anakanda kami ini diberikan keafiatan daripada sebarang gangguan.

%d bloggers like this: