Masjid Negeri Sabah

Khatib : Imam Amiruddin Amir

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

“…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…”. (Surah AlMaidah, ayat: 3)

Ayat ini, dengan amat jelas lagi terang menegaskan Islam itu agama yang sempurna dan agama yang  benar-benar diakui dan diredhai di sisi Allah SWT. Islam tidak perlu tokok tambah sama ada dalam aqidah dan syariatnya.

Bagaimanapun hari ini masih ada lagi pelbagai fahaman dibawa dan disebarkan dalam masyarakat tanpa berasaskan kepada panduan petunjuk Kitab Suci Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW, Ijmak para Ulama muktabar dan Qiyas. Antaranya amalan khurafat, bid’ah dan ajaran sesat.

Ingatlah bahawa sesungguhnya amalan khurafat yang diada-adakan adalah tertolak atau tidak diterima di dalam Islam, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesiapa yang mengerjakan sesuatu  pekerjaan /amalan (mengada-adakan) yang tiada di dalam agama kami, maka yang  dikerjakannya/diamalkannya itu tertolak”. (HR Imam Muslim dan Imam Ahmad daripada A’syah RA).

Pengajaran penting daripada Hadith ini, ialah:

1. Islam adalah agama yang mempunyai prinsip, dasar dan asas yang bertunjangkan petunjuk Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW, Ijmak dan Qiyas.

2. Umat Islam hendaklah melakukan amal ibadah mengikut cara dan kaedah yang ditentukan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

3. Sesiapa yang mengamalkan sesuatu amalan yang tidak ada asas daripada petunjuk Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW, Ijmak Ulama dan qiyas adalah ditolak dalam Islam.

4. Islam melarang umatnya mengamalkan apa jua amalan yang tidak bersandarkan kepada petunjuk Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW, Ijmak Ulama dan Qiyas.

Berbetulan dengan bulan Safar ini, marilah bersama-sama kita menolak dan membasmi segala amalan khurafat yang berlaku dalam masyarakat Islam. Seterusnya berusaha memperbetulkan salah anggap dan salah faham oleh sebilangan umat Islam hari ini, kerana masih ada yang percaya serta berpegang dengan kefahaman salah mempercayai kononnya bulan Safar ini bulan nahas, bulan sial, bulan malang dan lainlain lagi dakwaan yang menyalahi aqidah dan Syariat Islam.

“Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan, mereka berkata: ‘Ini ialah hasil usaha kami’, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”. (Surah Al-A’raaf, ayat: 131)

Perbuatan menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah perbuatan syirik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “At-Thiyarah (perbuatan menyandarkan keburukan kepada sesuatu) itu adalah syirik, at-thiyarah itu  syirik tiga kali. Dan tidak ada seorang pun dari kita kecuali (telah terjadi dalam dirinya at-thiyarah tersebut) akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakkal”. (HR Abu Daud)

Merujuk mafhum ayat dan Hadith ini, jelas bahawa amalan khurafat atau kepercayaan menyandarkan nahas, kemalangan dan kejadian buruk kepada seseorang atau sesuatu adalah dilarang di dalam Islam. Pada hal, nahas dan sial itu bukan disebabkan bulan-bulan tertentu. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatupun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia-lah (Allah) Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang beriman bertawakkal”. (Surah At-Taubah, ayat: 51)

Ayat ini, menjelaskan bahawa sesuatu nahas, malang dan kejadian yang buruk terjadi, semuanya telah ditetapkan Allah SWT. Bagaimanapun umat Islam yang beriman hendaklah sentiasa bertawakkal, yakni menyerahkan segala-gala atas ketentuan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada jangkitan (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada burung (seperti burung hantu) yang membawa sial, tidak ada serangga yang membawa kerugian dan tidak ada bala pada bulan Safar (seperti yang dipercayai)”. (HR Bukhari daripada Abu Hurairah RA).