Archive for 28 Disember 2012


Masjid Negeri Sabah

Khatib : Imam Amiruddin Amir

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

“…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…”. (Surah AlMaidah, ayat: 3)

Ayat ini, dengan amat jelas lagi terang menegaskan Islam itu agama yang sempurna dan agama yang  benar-benar diakui dan diredhai di sisi Allah SWT. Islam tidak perlu tokok tambah sama ada dalam aqidah dan syariatnya.

Bagaimanapun hari ini masih ada lagi pelbagai fahaman dibawa dan disebarkan dalam masyarakat tanpa berasaskan kepada panduan petunjuk Kitab Suci Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW, Ijmak para Ulama muktabar dan Qiyas. Antaranya amalan khurafat, bid’ah dan ajaran sesat.

Ingatlah bahawa sesungguhnya amalan khurafat yang diada-adakan adalah tertolak atau tidak diterima di dalam Islam, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesiapa yang mengerjakan sesuatu  pekerjaan /amalan (mengada-adakan) yang tiada di dalam agama kami, maka yang  dikerjakannya/diamalkannya itu tertolak”. (HR Imam Muslim dan Imam Ahmad daripada A’syah RA).

Pengajaran penting daripada Hadith ini, ialah:

1. Islam adalah agama yang mempunyai prinsip, dasar dan asas yang bertunjangkan petunjuk Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW, Ijmak dan Qiyas.

2. Umat Islam hendaklah melakukan amal ibadah mengikut cara dan kaedah yang ditentukan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

3. Sesiapa yang mengamalkan sesuatu amalan yang tidak ada asas daripada petunjuk Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW, Ijmak Ulama dan qiyas adalah ditolak dalam Islam.

4. Islam melarang umatnya mengamalkan apa jua amalan yang tidak bersandarkan kepada petunjuk Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW, Ijmak Ulama dan Qiyas.

Berbetulan dengan bulan Safar ini, marilah bersama-sama kita menolak dan membasmi segala amalan khurafat yang berlaku dalam masyarakat Islam. Seterusnya berusaha memperbetulkan salah anggap dan salah faham oleh sebilangan umat Islam hari ini, kerana masih ada yang percaya serta berpegang dengan kefahaman salah mempercayai kononnya bulan Safar ini bulan nahas, bulan sial, bulan malang dan lainlain lagi dakwaan yang menyalahi aqidah dan Syariat Islam.

“Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan, mereka berkata: ‘Ini ialah hasil usaha kami’, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”. (Surah Al-A’raaf, ayat: 131)

Perbuatan menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah perbuatan syirik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “At-Thiyarah (perbuatan menyandarkan keburukan kepada sesuatu) itu adalah syirik, at-thiyarah itu  syirik tiga kali. Dan tidak ada seorang pun dari kita kecuali (telah terjadi dalam dirinya at-thiyarah tersebut) akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakkal”. (HR Abu Daud)

Merujuk mafhum ayat dan Hadith ini, jelas bahawa amalan khurafat atau kepercayaan menyandarkan nahas, kemalangan dan kejadian buruk kepada seseorang atau sesuatu adalah dilarang di dalam Islam. Pada hal, nahas dan sial itu bukan disebabkan bulan-bulan tertentu. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatupun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia-lah (Allah) Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang beriman bertawakkal”. (Surah At-Taubah, ayat: 51)

Ayat ini, menjelaskan bahawa sesuatu nahas, malang dan kejadian yang buruk terjadi, semuanya telah ditetapkan Allah SWT. Bagaimanapun umat Islam yang beriman hendaklah sentiasa bertawakkal, yakni menyerahkan segala-gala atas ketentuan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada jangkitan (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada burung (seperti burung hantu) yang membawa sial, tidak ada serangga yang membawa kerugian dan tidak ada bala pada bulan Safar (seperti yang dipercayai)”. (HR Bukhari daripada Abu Hurairah RA).


Sumber : FB Ustaz Abdul Malik http://www.facebook.com/abdul.malik.1481?ref=ts&fref=ts

Khutbah yang terbaik menghuraikan kelebihan negara Mesir oleh pendakwah Islam, Syeikh Muhammad El-‘Uraifi sehingga dipuji oleh ulamak Mesir termasuk Dr. Umar Abdul Kafi. Khutbah disampaikan di sebuah masjid di negara Saudi. Sesiapa yang faham Bahasa Arab, boleh merujuk sendiri huraian yang terbaik bersandarkan kepada fakta sejarah.

Antara isi kandungan, Syeikh ‘Uraifi berkata;

“Kiswah (kelambu) Kaabah dijahit dan ditenun di Mesir sejak zaman Saidina Umar Al-Khattab r.anhu sehingga lebih 100 tahun.

-Ingat Mesir merupakan pertahanan untuk Palestin,jihad dan mujahidin kerana Salahuddin Al-Ayyubi menetap di sana untuk membebaskan Baitul Maqdis.

-Allah sebut secara jelas nama “Mesir” empat kali dalam ayat Al-Quran dan tidak secara jelas dalam 30 ayat yang lain yang ditafsirkan oleh ulamak yang dimaksudkan ialah “Mesir”.

-Allah tidak sebut nama-nama sungai lain kecuali Sungai Nil iaitu “al-Yamm”.

-Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda “Kamu akan membuka Mesir maka berbuat baiklah kepada penduduknya.”

-Kalau anda mahukan ilmu Al-Quran dan tajwid, pergilah ke Mesir. Mesir kaya dengan ilmu Al-Quran, carilah sesiapa ulamak yang fasih Al-Quran, pasti berguru dengan guru Al-Quran dari Mesir walaupun sekadar mengikuti mereka sebagai makmum solat.

-Di Mesir, terdapat tempat “ribat” yang didiami oleh mujahidin untuk pertahankan Islam iaitu di Iskandariah.

-Amru bin Al- ‘As membina masjid pertama dibina di Benua Afrika yang diletakkan kiblatnya tidak kurang oleh 80 orang para sahabat Rasulullah SAW.

-Mesir pernah memimpin dunia Islam selama 265 tahun, iaitu kejatuhan Abbasiyah di Baghdad tahun 656 hijrah sehingga terbina Khilafah Uthmaniyah di Turki tahun 924 hijrah.

-Jumlah para sahabat Rasulullah SAW yang menziarahi, menetap, memerintah, diutuskan dan meninggal dunia di Mesir lebih 350 orang.

-Umar bin Abdul ‘Aziz r.anhu dilahirkan di Mesir.

-Mesir tidak dapat dipisahkan dengan Al-Azhar, sumber ilmu dunia Islam tertua di dunia.

-Mesir terkenal dengan ulamak, fuqaha’ dan solihin. Imam Sa’da bin Laith yang dikebumikan di Mesir, diakui oleh Imam Syafie dengan katanya “Laith lebih alim daripada Malik”. Dua imam besar yang menghasilkan ‘Tafsir Jalalain’, Imam Jalaluddin Al-Mahalli yang kemudian disemprunakan kitab tafsir beliau oleh Imam As-Suyuti. Imam Daqiq Al-‘Eid, imam besar dalam ilmu Hadis, Imam Ibnu Hajar Asqolani, Imam Zakaria Al-Ansori yang berusia lebih 100 tahun dan tidak pernah tinggal qiamullail hingga meninggal dunia, Syeikh Ali As-So’idi Al-‘Adawi dari keturunan Saidina Umar Al-Khattab, Saiyidi Ahmad Ad-Dardir yang dikenali sebagai “Al-Maliki Soghir” selain ramai imam dalam ilmu qiraat seperti Imam Syatibi dan Imam Warasy.

-Juga Mesir tidak terasing dengan wira dan pejuang agama seperti Ibnu Muhammad Sahl yang menegur pemerintah, Khalifah Syiah, Ubaidi yang memerintah Mesir dalam satu tempoh. Ubaidi bertemu Ibnu Muhammad dan bertanya, “Benarkah kamu berkata “Jika aku memiliki 10 panah, 1 aku akan memanah tentera Salib dan 9 lagi aku akan memanah Ubaidi”?

Jawab Ibnu Muhammad, “Tidak benar, aku tidak berkata demikian, tetapi aku berkata, “Jika aku memiliki 10 anak panah, 9 aku akan panah Ubaidi dan 1 yang terakhir pun untuk memanah Ubaidi kerana kamu mengubah agama Islam, mencerca sahabat Rasulullah, menyelewengkan Al-Quran!!”

Lalu Ubaidi marah dan mengarahkan Ibnu Muhammad ditangkap. Beliau kemudian diikat dan diperintahkan seorang Yahudi untuk memotong badan Ibnu Muhammad. Yahud tersebut mengelar dan memotong daging tubuh Ibnu Muhammad seperti dipotong daging kambing hingga meninggal dunia dalam keadaan beliau membaca Al-Quran.

-Kita tidak bercakap sebuah negara biasa tetapi kita bercakap sebuah tempat yang dimuliakan.” dan banyak lagi..

Semoga ALLAH memelihara Mesir, rakyatnya dan mereka yang berada di dalam buminya..

%d bloggers like this: