Trusan (1)

25 Disember, cuti umum kami bermusafir ke Lawas Sarawak, atau khususnya Kampung Gelapas Trusan Lawas. Perjalanan bermula pada jam 8.30 pagi, cuma berdua saya dan anak lelaki – Abdul Hadi yang kebetulan pula hari ini jatuh hari lahirnya keenam. Saya bawa Abdul Hadi sebagai teman musafir sebelum menyambut bapa yang turun dari Labuan dan kami menyambut di jeti Sipitang.

Perjalanan Petagas-Sipitang memakan masa sekitar 2 jam sementara dari Sipitang ke Lawas cuma sekitar sejam sahaja. Terima kasih untuk sahabat Abu Aslam yang sudi meminjamkan hilux beliau untuk musafir kami sekaligus dapat mengutip sisa buah-buahan berbaki di dusun kampung Gelapas.

Saya mengetahui keluarga kami mempunyai dusun di kampung ini kerana sebenarnya orang tua kami lahir di sini. Walaupun pernah berziarah ke sini 2 tahun sudah, ini kali kedua saya berziarah ke kebun buah-buahan setelah kunjungan zaman kanak-kanak lebih 25 tahun lalu.

Anak saya Abdul Hadi paling gembira – boleh masuk kebun yang sudah separa hutan tapi masih berbaki buah-buahan yang rupanya sudah sampai ke hujung musim. Kebun kami seluas 1 ekar, sebenarnya dipenuhi dengan pokok durian, tarap, langsat, rambai dan lain-lain. Hanya langsat yang masih berbuah lebat, manakala durian tinggal sedikit, buah rambai masih muda. Terima kasih kepada Pacik  yang memanjatkan buah langsat untuk kami.

Kami bermalam di rumah kenalan lama keluarga, Tuan Haji Zanjam yang sangat baik hati dan pemurah. Solat zuhur + asar di surau bersebelahan rumah beliau dan sempat berziarah ke sebuah rumah keluarga di sana, menyantuni seorang tua yang katanya sudah berumur lebih 100 tahun. Wallahu a’lam. Suasana kampung menyebabkan malam sebegini terasa awal dan sunyi walaupun isyak baru menjelang.

Trusan (2) Trusan (3) Trusan (4) Trusan (5) Trusan (6) Trusan (7) Trusan (8) Trusan (9) Trusan (10) Trusan (11) Trusan (12) Trusan (13) Trusan (14) Trusan (15) Trusan (16) Trusan (17)