Archive for 26 Disember 2012


BERZIARAH KE KG AWAT-AWAT, LAWAS

Awat-Awat (1)

Sejak zaman sekolah menengah saya mendengar nama tempat ini melalui seorang sahabat kami – Ustazah Rina Rambli yang keluarganya berasal dari Awat-Awat Lawas ini. Sesudah lebih 15 tahun barulah saya dapat berziarah ke sini walaupun cuma singgah dalam tempoh sejam sahaja. Dari jalan utama  memakan masa sekitar 15-20 minit untuk sampai ke Kg Awat-Awat.

Awat-awat terletak di muara sungai, sebuah perkampungan atas air di hujung jalan yang memerlukan sesiapa sahaja yang datang, parkir kenderaan di tepi jalan dan kemudian menaiki perahu untuk ke seberang. Rumah-rumah penduduk kampung terletak di seberang sungai dan perahu dikenakan bayaran sekadar 50 sen (?) sahaja.

Satu produk yang terkenal di sini ialah ikan salai mereka. Cuma kedatangan kami pada sebelah pagi, produk yang dimaksudkan belum tersedia lagi. Seorang anak muda kami temui di sini mengatakan, terdapat lebih 100 rumah atas air di sini. Anak muda ini sedang belajar di UiTM Kuching dan sedang bercuti di sini. Ada sebuah sekolah rendah di sini berdekatan dengan jeti ke seberang. Dari sini anak-anak kampung mendapat pendidikan asas sehingga mereka dapat melanjutkan pelajaran ke luar.

Kami menuju ke seberang dan bapa bertemu seorang teman lama. Bapa menceritakan betapa ketika kecilnya, mereka menaiki perahu dari Trusan menuju ke Awat-Awat ini bersama ahli keluarga lain. Jadi kunjungan kami juga satu nostalgia pada ketika usianya sudah mencecah 68 tahun.

Awat-Awat (2) Awat-Awat (3) Awat-Awat (4) Awat-Awat (5) Awat-Awat (6) Awat-Awat (7) Awat-Awat (8) Awat-Awat (9) Awat-Awat (10) Awat-Awat (12) Awat-Awat (13) Awat-Awat (14) Awat-Awat (15) Awat-Awat (16) Awat-Awat (17) Awat-Awat (18)

Trusan (1)

25 Disember, cuti umum kami bermusafir ke Lawas Sarawak, atau khususnya Kampung Gelapas Trusan Lawas. Perjalanan bermula pada jam 8.30 pagi, cuma berdua saya dan anak lelaki – Abdul Hadi yang kebetulan pula hari ini jatuh hari lahirnya keenam. Saya bawa Abdul Hadi sebagai teman musafir sebelum menyambut bapa yang turun dari Labuan dan kami menyambut di jeti Sipitang.

Perjalanan Petagas-Sipitang memakan masa sekitar 2 jam sementara dari Sipitang ke Lawas cuma sekitar sejam sahaja. Terima kasih untuk sahabat Abu Aslam yang sudi meminjamkan hilux beliau untuk musafir kami sekaligus dapat mengutip sisa buah-buahan berbaki di dusun kampung Gelapas.

Saya mengetahui keluarga kami mempunyai dusun di kampung ini kerana sebenarnya orang tua kami lahir di sini. Walaupun pernah berziarah ke sini 2 tahun sudah, ini kali kedua saya berziarah ke kebun buah-buahan setelah kunjungan zaman kanak-kanak lebih 25 tahun lalu.

Anak saya Abdul Hadi paling gembira – boleh masuk kebun yang sudah separa hutan tapi masih berbaki buah-buahan yang rupanya sudah sampai ke hujung musim. Kebun kami seluas 1 ekar, sebenarnya dipenuhi dengan pokok durian, tarap, langsat, rambai dan lain-lain. Hanya langsat yang masih berbuah lebat, manakala durian tinggal sedikit, buah rambai masih muda. Terima kasih kepada Pacik  yang memanjatkan buah langsat untuk kami.

Kami bermalam di rumah kenalan lama keluarga, Tuan Haji Zanjam yang sangat baik hati dan pemurah. Solat zuhur + asar di surau bersebelahan rumah beliau dan sempat berziarah ke sebuah rumah keluarga di sana, menyantuni seorang tua yang katanya sudah berumur lebih 100 tahun. Wallahu a’lam. Suasana kampung menyebabkan malam sebegini terasa awal dan sunyi walaupun isyak baru menjelang.

Trusan (2) Trusan (3) Trusan (4) Trusan (5) Trusan (6) Trusan (7) Trusan (8) Trusan (9) Trusan (10) Trusan (11) Trusan (12) Trusan (13) Trusan (14) Trusan (15) Trusan (16) Trusan (17)

%d bloggers like this: