Beberapa kali beliau menyatakan hasrat untuk belajar mengaji bermula daripada peringkat asas. Beberapa kali itu jugalah tertangguh atas beberapa sebab dan keadaan. Suatu ketika beliau sudah membawa buku iqra di tangan, tetapi tertangguh lagi kerana suatu urusan lain.
Akhirnya pada rabu lepas, hajat sahabat saya ini untuk memulakan sesi mengaji beliau tertunai juga. Dalam kesibukan melayan banyak hajat lain, saya memperuntukkan masa yang khusus untuk beliau kerana ingin melihat beliau pandai membaca al-Quran suatu ketika nanti. Untuk tidak membebankan beliau, buat masa ini memadai bertemu seminggu sekali di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral.
Umur sudah pertengahan 40an, memang kegagalan membaca al-Quran adalah satu kerugian. Namun kesedaran pada saat ini tidak saya katakan terlambat, kerana selama masih hidup, kesempatan tetap ada untuk berubah. Hanya saya berharap beliau istiqamah dalam sesi ini. Saya berpesan sebegini kerana tidak sedikit pengalaman orang yang berminat dan bersemangat pada awalnya, tetapi layu di pertengahan jalan, bahkan masih di peringkat awal lagi.
Doakan juga sahabat kami ini yaa..