Tangkal (1)

Saya dihubungi pertama kali oleh sahabat ahli Darussyifa’ Ku Azam Ku Abdullah tentang gangguan histeria dan makhluk halus yang menimpa sebuah pusat latihan di Kota Kinabalu. Menurut beliau ketika itu sudah berbelas-belas pelatih mereka yang terkena khususnya wanita-wanita muda berumur sekitar 20-30an. Pada malam itu beberapa sahabat kami yang membantu di sana meruqyah dan merawat pelatih yang dimaksudkan sehingga jam 3 pagi.

Seorang pegawai yang bercerita dengan kami mengatakan memang pihak mereka ada mengingatkan terlebih dahulu bahawa para pelatih dilarang sama sekali membawa atau memakai tangkal dan azimat kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam. Namun katanya, ramai juga yang degil atau membawa kerana disuruh oleh ibu bapa dari kampung.

Apabila berlaku histeria dan gangguan ini, keadaan sedikit panik. Pegawai tadi sekali lagi meminta pelatih-pelatih menyerahkan segala tangkal jika masih ada. Ketika itulah katanya ramai mengaku dan mengeluarkan tangkal masing-masing. Ada yang mengikat di pinggang, di lengan, dan ada juga yang mengeluarkan tangkal dari baju dalam masing-masing.

Setelah suasana terkawal pada jam 3 pagi, kami sekali lagi dipanggil pada jam 10 pagi kerana ada pelatih yang kembali terganggu. Saya sempat bertanya dan menasihati mereka, kerana apabila ditemubual, semuanya tidak menjaga solat lima waktu, tidak menutup aurat dan sebagainya. Sangat menyedihkan, ada seorang yang saya minta dia membaca surah al-Fatihah, dia gagal membaca dengan sempurna.

Semoga kejadian yang berlaku ini ada hikmahnya.

Tangkal (2) Tangkal (3) Tangkal (4) Tangkal (5) Tangkal (6) Tangkal (7) Tangkal (8) Tangkal (9) Tangkal (10) Tangkal (11)