Archive for 21 Disember 2012


Masjid Bandaraya

Khatib : Ustaz Rafihi Derim

Lokasi : Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

Dalam kehidupan dunia ini, manusia menghadapi ujian dan cubaan hidup serta berhadapan dengan musuh, antaranya musuh tradisi yang bernama iblis laknatullah.  Di antara sifat iblis ini sehingga ia dihumban keluar dari syurga ialah kerana sifat sombong dan angkuhnya yang enggan sujud kepada Nabi Adam AS sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Dalam satu dialog Nabi Nuh AS ada menceritakan riwayat berkenaan sifat sombong iblis yang sewajarnya diambil perhatian dan dijadikan sempadan oleh umat Islam.

Nuh berkata kepada iblis : “Manusia menjadi hancur dan tenggelam gara-gara kamu”. Iblis berkata : “Apa yang harus aku lakukan?” Nabi Nuh berkata : “Kamu harus bertaubat”. Iblis berkata : “Apakah saya masih mempunyai kesempatan untuk bertaubat? Berdoalah kamu kepada Tuhanmu”. Maka Nabi Nuh berdoa lalu Allah memberi wahyu kepadanya bahwa taubat iblis dia harus bersujud kepada kuburan Adam.

Nabi Nuh berkata kepada iblis : “Kamu punya kesempatan untuk bertaubat”. Iblis berkata : “Bagaimana caranya?” Nabi Nuh berkata : “Kamu harus bersujud kepada kubur Nabi Adam”. Iblis berkata : “Aku tidak mahu bersujud kepadanya pada waktu dia hidup, bagaimana pula aku akan sujud kepadanya setelah dia mati”. (HR. Ibnu Abu Dunya dalam kitab Makaidusy Syaithan)

Begitu juga yang berlaku kepada anak Nabi Nuh AS yang enggan naik ke dalam bahtera Nabi Nuh AS ketika berlaku banjir besar pada zamannya. Keengganan ini terjadi kerana sifat angkuh dan sombong yang ada di dalam dirinya. Allah SWT merakamkan kisah ini di dalam al-Quran yang bermaksud :

40. (Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: “Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman”. dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.

41. Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): “Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: ‘Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya’. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

42. (Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka Dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah Engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”.

43. Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.

Tangkal (1)

Saya dihubungi pertama kali oleh sahabat ahli Darussyifa’ Ku Azam Ku Abdullah tentang gangguan histeria dan makhluk halus yang menimpa sebuah pusat latihan di Kota Kinabalu. Menurut beliau ketika itu sudah berbelas-belas pelatih mereka yang terkena khususnya wanita-wanita muda berumur sekitar 20-30an. Pada malam itu beberapa sahabat kami yang membantu di sana meruqyah dan merawat pelatih yang dimaksudkan sehingga jam 3 pagi.

Seorang pegawai yang bercerita dengan kami mengatakan memang pihak mereka ada mengingatkan terlebih dahulu bahawa para pelatih dilarang sama sekali membawa atau memakai tangkal dan azimat kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam. Namun katanya, ramai juga yang degil atau membawa kerana disuruh oleh ibu bapa dari kampung.

Apabila berlaku histeria dan gangguan ini, keadaan sedikit panik. Pegawai tadi sekali lagi meminta pelatih-pelatih menyerahkan segala tangkal jika masih ada. Ketika itulah katanya ramai mengaku dan mengeluarkan tangkal masing-masing. Ada yang mengikat di pinggang, di lengan, dan ada juga yang mengeluarkan tangkal dari baju dalam masing-masing.

Setelah suasana terkawal pada jam 3 pagi, kami sekali lagi dipanggil pada jam 10 pagi kerana ada pelatih yang kembali terganggu. Saya sempat bertanya dan menasihati mereka, kerana apabila ditemubual, semuanya tidak menjaga solat lima waktu, tidak menutup aurat dan sebagainya. Sangat menyedihkan, ada seorang yang saya minta dia membaca surah al-Fatihah, dia gagal membaca dengan sempurna.

Semoga kejadian yang berlaku ini ada hikmahnya.

Tangkal (2) Tangkal (3) Tangkal (4) Tangkal (5) Tangkal (6) Tangkal (7) Tangkal (8) Tangkal (9) Tangkal (10) Tangkal (11)

%d bloggers like this: