Ketika kelas al-Quran dan tajwid kami di Surau Austral selepas maghrib setiap hari rabu berada di penghujung juzu’ ke-9, dan berlangsung pula pada minggu-minggu cuti persekolahan, kehadiran biasanya sedikit susut. Itulah suasana yang dialami sejak kelas ini diadakan.
Tetapi minggu ini kelas kami dikunjungi oleh tetamu baru yang bukan seorang tetapi 6 orang. Semuanya orang-orang muda yang tinggal dan bekerja di satu tempat serta tinggal di sekitar Kepayan ini juga. Selepas solat isyak, di kalangan kami ada yang bersembang panjang bersama mereka, memaklumkan bahawa mereka bekerja di sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan sewa sistem bunyi.
Lebih menarik, salah seorang sahabat mereka baru memeluk Islam sekitar 2-3 bulan kebelakangan. Memang mereka mencari guru yang boleh mengajar al-Quran daripada peringkat asas. Mudah-mudahan mereka terus mendatangi surau ini dan istiqamah pula menghadiri program-program kuliah dan pengimarahan, menyertai jamaah lain yang telah bersama-sama di sini. Doakan ya.