Masjid Negara.

Sumber : http://www.islam.gov.my/khutbah-online

Islah dan penghayatan integriti boleh mengambil semangat hijrah yang menjadi penanda aras dalam membina tamadun Islam. Hijrah juga adalah suatu proses bagaimana Rasulullah SAW mempersiapkan asas dan landasan terbaik untuk membolehkan kebaikan yang ada di dalam agama Islam itu sendiri dilaksanakan.

Perubahan yang paling penting daripada proses ini adalah penyucian diri (tazkiatun nafs), membersihkan sifat syirik dan segala penyakit hati yang merosakkan tauhid dan nilai kemanusiaan. Demikianlah juga penghayatan integriti yang mengajak kita supaya meninggalkan semua sifat-sifat negatif atau mazmumah seperti membazirkan masa, boros, ponteng kerja, tidak menepati janji, suka menangguhkan kerja sehingga membawa kepada perkara yang lebih serius seperti penipuan, rasuah, penyelewengan, salah laku dan salahguna kuasa.

Ingatlah bahawa manusia yang berintegriti bukan sahaja memastikan diri dan keluarganya menjauhi segala sifat-sifat mazmumah, bahkan akan sentiasa berusaha mengamalkan sifat-sifat mahmudah yang selari dengan fitrahnya dan terangkum sebagai akhlak mulia yang dituntut oleh Islam. Hujatul Islam Imam Ghazali telah memperincikan sebahagian akhlak mulia antaranya sebagai penyabar, lemah lembut, bersyukur, redha, ikhlas, murah hati, berkata benar, selain jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Mengulas perkara ini, Dr Wahbah az-Zuhaily dalam Tafsir al-Munir menyatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian kerana diberikan anggota badan yang lengkap dan sempurna, makan dengan tangannya, mempunyai keistimewaan dengan ilmu, pemikiran, tutur bicara serta mampu mengurus kehidupan. Semua kelebihan ini memungkinkan manusia itu menjadi khalifah yang berkuasa di muka bumi sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Mimbar ingin menegaskan bahawa perubahan manusia ini jika dihalakan kepada kebaikan membawa banyak keuntungan.

Namun jika dihalakan kepada kejahatan, maka integriti dan akauntabiliti kita akan tercalar. Renungilah pesanan  Rasulullah SAW daripada Jabir RA tentang kesungguhan iblis yang sentiasa berprestasi cemerlang untuk menyesatkan manusia iaitu:

Mafhumnya:Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka”. (Hadith riwayat Muslim)

Manusia yang hilang integriti samada dari segi zahir atau batin akan merosakan hubungannya dengan Allah SWT, sesama manusia, dan dengan makhluk Allah yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan serta alam persekitaran. Dalam al-Quran telah dirakamkan beberapa individu yang tercemar integritinya seperti Firaun yang zalim, penasihat kanannya yang korup iaitu Haman dan Qarun yang mengampu Firaun.

Begitu juga disebutkan beberapa kaum yang rosak integriti kemanusiaannya lalu dihapuskan oleh Allah SWT dari muka bumi ini seperti kaum Thamud umat Nabi Saleh, umat Nabi Lut dan kaum Aad umat Nabi Hud. Pendedahan azab kaum-kaum tersebut di dalam al-Quran, berkait rapat dengan pencemaran integriti yang paling tinggi iaitu mensyirikkan Allah SWT, maka sewajarnya azab itu menjadi pengajaran kepada manusia.