Archive for November, 2012


Qiyam @ MNS (1)

Antara program yang giat dianjurkan oleh Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah ialah siri-siri qiyamullail yang diadakan secara berkala. Pada peringkat awal program qiyam ini hanya terbatas ketika 10 malam terakhir Ramadhan setiap tahun sejak 5 tahun kebelakangan ini iaitu sejak Allahyarham Ustaz Haji Nahar menjadi imam besar.

Program qiyamullail sebelum itu tidak diatur secara tersusun, masih dibenarkan dan diadakan secara individu dan masing-masing sahaja. Ketika zaman Allahyarham Ustaz Nahar diberikan peruntukan yang agak besar khususnya menampung biaya kos makan sahur. Pernah kemuncak qiyamullail dihadiri antara 300 hingga ke 400 peserta.

Masuk fasa kedua, kekerapan qiyamullail digandakan dengan diadakan pada malam-malam hari kebesaran Islam seperti malam 9 Zulhijjah (hari wuquf), malam 10 Muharram (asyura) dan lain-lain. Insya Allah jika diberikan kekuatan, kekerapannya akan digandakan lagi pada masa-masa akan datang.

Pagi 10 Muharram lepas, diadakan qiyamullail dengan bimbingan siswa-siswa Maahad Tahfiz. Program bermula pada jam 2.30 pagi dan berakhir pada jam 3.45 pagi. Kehadiran sekitar 30-40 orang termasuk muslimat yang kelihatan lebih ramai berbanding muslimin.

Ada sedikit salahfaham untuk penyediaan makan sahur sehingga sebahagian peserta dibawa makan ke restoran 24 jam, Indah Maju di Sadong Jaya. Terasa lucu pun ada sehingga kami beramai-ramai bersahur di restoran berkenaan, kemudian kembali ke Masjid Negeri Sabah untuk solat subuh berjamaah. Bersedia untuk program selanjutnya.

Qiyam @ MNS (2)Qiyam @ MNS (3)Qiyam @ MNS (4)

Haron_Din_2

Disedut dari blog http://msomelayu.blogspot.com/

Malam tadi Majlis Syura Ulamak mengadakan sidang khas di kediaman Menteri Besar JKR 10 Kota Bharu, ekoran timbul keraguan atau sebenarnya kekacauan dibuat oleh musuh-musuh Pas yang menjaja kononnya perjuangan Pas sudah lari daripada perjuangan asal kerana bersama DAP dan PKR. Timbalan Musyidul Am, Dr Haron Din telah membaca kenyataan khas yang dikeluarkan Majlis Syura Ulamak di mukatmar ke 58 lewat petang ini. Sepanjang kenyataan itu dibaca dewan muktamar sunyi sepi dan semua perwakilan menghayati patah-patah kenyataan berkenaan. Berikut adalah kenyataan berkenaan;

Badan tertinggi PAS Majlis Syura Ulama PAS hari ini membuat penekanan dan perakuan rasmi bahawa perjuangan dan arah tuju parti itu tidak lari daripada perjuangan asal PAS dahulu seperti yang termaktub dalam fasal 5 (1) perlembagaan parti.

Fasal tersebut berbunyi: “memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”

“PAS hari ini adalah PAS dahulu, perjuangannya tidak lari dari perjuangan asal. Arah tuju PAS dahulu dan PAS sekarang adalah sama.

“PAS masih utuh dan masih tetap atas perjuangan asal tanpa sedikitpun menyeleweng dari apa yang tercatat di dalam perlembagaannya,” kata majlis itu dalam satu kenyataan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat selepas bermesyuarat membahas semula apakah negara berkebajikan – yang menjadi tema muktamar parti itu – sesuatu yang “baru dan berlawanan” dengan negara Islam yang diperjuangan oleh PAS selama ini atau sama.

Bahkan, majlis itu juga memperbahaskan semula mengenai tahaluf siyasi (kerjasama politik) yang diputuskan atau dilaksanakan PAS masih relevan dan selaras dengan perjuangan parti itu dan mengambilkira komen dari dalam dan luar PAS mengenai arah tuju parti itu.

Dalam kenyataan itu juga Majlis Syura berkata dasar tahaluf siyasi yang diputuskan oleh badan itu al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan memberi perhatian dan mengambil pengajaran daripada tahaluf siyasi Rasullullah SAW.

Katanya, semasa berlaku Perjanjian Hudaibiyah, baginda rela membuang perkataaan “Arrahmanirrahim” dalam “Bismillah” serta perkataan “Rasulullah” selepas perkataan “Muhammad” dalam perjanjian itu, selepas dibantah oleh Umar bin Suhail.

“…Menyebabkan ada di kalangan sahabat yang melahirkan dukacita dan seperti tidak mahu tahaluf. Namun demikian Rasulullah SAW menyetujuinya. “Itulah liku-liku politik yang telah ditempuhi oleh baginda Rasulullah sendiri yang patut kita beri perhatian ketika membuat keputusan-keputusan tahaluf siyasi.

“Apabila keputusan telah diambil maka ia wajib dipatuhi oleh semua ahli, demi keutuhan dan kemantapan oraganisasi,” kata kenyataan itu. Sehubungan itu, Majlis Ulama PAS menyeru seluruh ahli, pendokong dan penyokong PAS agar jangan melayan fitnah yang ditaburkan oleh musuh PAS kononnya parti itu terpesong dari perjuangan.

Badan itu juga berkata musuh PAS tahu bahawa PAS masih atas keasliannya, tetapi sengaja menaburkan fitnah itu tanpa mereka menyedari bahawa sebenarnya mereka mengiktiraf PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam yang sebenarnya.”Di waktu yang sama, mereka seperti tidak menyedari bahawa itu adalah taktik dan strategi musuh PAS untuk menyelamatkan diri mereka daripada ditolak rakyat dengan menggunakan individu-individu tertentu untuk mencalar PAS demi menjaga kepentingan mereka yang amat tergugat, dan PAS insya-Allah akan melakar kejayaan,”

RUQYAH PESAKIT III

Ruqyah (1)

Seorang sahabat lama, juga teman sepermainan ketika kanak-kanak, menghubungi saya untuk mendapatkan khidmat rawatan untuk isteri yang dikasihinya kerana mendakwa ada gangguan makhluk halus. Sakit dan sihat silih berganti sejak beberapa tahun kebelakangan. Kami berjumpa dan isteri beliau dirawat oleh teman kami Chef Abdullah di Putatan.

Sebelum ini katanya mereka juga berikhtiar menemukan perawat-perawat pengubatan Islam yang lain namun Allah SWT belum memberi izin untuk menyembuhkan sakitnya. Kes seumpama ini sangat banyak dan memberi pengajaran aqidah dan akhlak yang besar kepada kita semua. Keyakinan bahawa Allah SWT yang memberi sakit dan sihat, tawakkal kepadaNya, sabar menghadapi ujian serba syukur diatas nikmat sihat.

Sumber asal : http://abdnaddin.blogspot.com/2012/11/ustaz-jalidar-tokoh-nasyid-yang-banyak.html

“SETELAH bermusim musafir di sini, di dunia tiada kekal abadi, sediakan amal sebelum kau pergi..”

Itulah antara bait-bait lirik nasyid bertajuk Muhasabah ciptaan Tokoh Nasyid  yang tidak asing lagi, Ustaz Haji Jalidar Abdul Rahim. Lagu yang pernah dinobatkan sebagai pemenang lirik terbaik kebangsaan itu amat menyentuh dan menginsafkan. Ukhuwah membina umat yang padu, jangan memandang bangsa dan suku, kasih sayang jalinlah selalu, bagaikan ansar muhajirin selalu.

USTAZ HAJI JALIDAR ABDUL RAHIM dilahirkan di Bedagai, sebuah daerah terpencil, di Medan Sumatera Utara pada 21 Julai 1949. Beliau mendapat pendidikan awal sekolah rendah dan sekolah agama hingga peringkat sanawi di daerah kelahirannya. Haji Jalidar kemudian mengikuti pendidikan guru agama atas di peringkat aliyah di Tanjung Balai, Asahan.

Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Fakultas Tarbiyah di Universiti Islam Sumatera Utara sehingga lulus sarjana muda pada tahun 1973. Setahun kemudian, beliau berhijrah ke Sabah dan berkhidmat di beberapa buah sekolah agama sebelum dilantik sebagai Penyelia Dakwah di Majlis Ugama Islam Sabah. Disamping tugasnya sebagai guru agama, Haji Jalidar lebih dikenali sebagai seorang tokoh nasyid yang telah mengangkat nama Sabah ke peringkat Kebangsaan.

Beliau telah membimbing pelbagai kumpulan nasyid di negeri ini, mencipta hampir 300 lirik dan lagu nasyid.Bermula dengan kejayaan kumpulan Noor El Kawakib yang menjadi Johan Pertandingan Nasyid Peringkat Kebangsaan pada 1979, beliau telah membimbing pelbagai kumpulan nasyid, termasuk Kumpulan Orkestra Dakwah Noor  El Sabah yang telah mewakili Asia Tenggara ke Festival Die Garten des Islam ( The Garden of Islam) di Berlin, Jerman. Beliau pernah menjadi hakim pertandingan nasyid di peringkat kebangsaan dan rantau Asean.

Haji Jalidar juga adalah seorang pemuisi yang tidak asing lagi di Sabah yang menjadi kampung halamannya sejak 38 tahun lepas. Atas jasanya yang tidak terhingga terhadap perkembangan seni nasyid di Sabah, Ustaz Jalidar telah menjadi penerima Anugerah Al-Farabi yang pertama pada tahun 2001. Beliau juga pernah dianugerahkan Tokoh Penyair Islam Sabah.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD. NADDIN HJ. SHAIDDIN sempat menemubual beliau pada satu tengahari di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya untuk berkongsi sedikit pengalaman beliau sepanjang terlibat dalam seni nasyid di negeri ini.

UTUSAN BORNEO:      Boleh ceritakan sedikit bagaimana mulanya Ustaz hijrah ke Sabah?

USTAZ JALIDAR:       Saya menjejakkan kaki ke Sabah 29 Mac 1974 setelah lulus temuduga yang dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) setahun sebelumnya. Kami telah diminta oleh Haji Bahrum Jamil SH untuk menghadiri temuduga itu. Hanya 18 daripada 40 yang hadir temuduga itu dinyatakan lulus dan terpilih untuk Sabah.

Sebelum itu, Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun telah meminta bantuan Buya Hamka, seorang ulama terkenal, ketika itu Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) untuk membantu gerakan dakwah di Sabah.

UB:       Dimana ustaz bertugas sebaik tiba di Sabah?

UJ:      Ketika itu isteri saya, Hajah Husna Mohd. Yatim sedang sarat mengandung anak kami yang pertama. Selepas Ibnus Shobah lahir pada 5 Mei 1974 di Hospital Queen, saya dihantar bertugas ke Sekolah Agama Islam Papar. Pada tahun 1976, saya ditugaskan ke Sekolah Menengah Rendah Islam Papar. Dua tahun selepas itu, saya dilantik sebagai Guru Besar Sekolah Ugama Islam (SUI) Kampung Pengalat Besar Papar yang ketika itu baru dibuka. Pada tahun 1980, saya dilantik pula sebagai Penyelia Dakwah di ibu pejabat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

UB:       Bagaimana pula Ustaz terlibat dalam aktiviti Nasyid?

UJ:      Semasa berkhidmat di Papar, saya telah mewujudkan Kumpulan Noor El Kawakib, kumpulan nasyid yang kemudian menjadi juara nasyid di peringkat negeri pada tahun 1979, johan peringkat Kebangsaan anjuran RTM. Ketika itu, Datuk Mohammad Rahmat menjadi Penerangan. Kumpulan Noor El Kawakib  sempat merakamkan album lagu-lagu nasyid. Salah seorang penyanyi solo kumpulan Noor El Kawakib ialah  Hajah Norsiah Talip (kini almarhumah).

Selepas menjadi johan nasyid, kami terus merakamkan album pada tahun 1979. Bila kita buat album yang pertama, seni nasyid mendapat lonjakan baru. Orang yang banyak membantu ialah Datuk Haji Mohd.Noor Mansoor, Menteri Kewangan pada ketika itu. Beliau membantu apa-apa saja keperluan untuk menerbitkan album nasyid itu. Ketika itu, kita buat album di Kuala Lumpur. Sesuai dengan nama Noor El Kawakib yang bermakna cahaya bintang-bintang, lagu-lagu nasyid mula menyinar selepas itu.

UB:       Sebelum itu belum ada album lagu nasyid di Sabah?

UJ:      Album Kumpulan Noor El Kawakib itulah album nasyid pertama di Sabah.

UB:       Bagaimana pula perkembangan nasyid selepas itu?

UJ:      Selepas itu, Sabah telah mencipta banyak kejayaan di peringkat kebangsaan. Sampai hari ini, jika menyertai pertandingan, menang atau tak menang, Sabah sentiasa digeruni kerana kehebatannya.

UB:       Apa kumpulan yang Ustaz bimbing selepas Noor El Kawakib?

UJ:      Setelah berpindah  ke ibu pejabat di MUIS, di samping menjalankan khidmat sebagai penyelia dakwah, saya juga keliling mengajar dan membimbing kumpulan nasyid. Saya juga pernah membimbing kumpulan nasyid di Semporna hingga mereka muncul johan. Ketika itu, Datuk Haji Salsidu Ibrahim menjadi Pegawai Daerah di Semporna. Beliau juga seorang pencinta nasyid.  Pemimpin prihatin. Alhamdulillah.

Saya juga membimbing Kumpulan Shoutol Hadhari dari Tawau, hingga mereka menjadi Johan peringkat bahagian, negeri dan kebangsaan sebanyak dua kali 2005 dan 2007. Masa itu, Haji Salsidu Haji Ibrahim menjawat presiden MPT. Selain itu, saya juga pernah membimbing kumpulan nasyid dari Kota Belud, yang juga muncul johan kebangsaan. Saudara Lamsil Hamidsor adalah orang kuat dakwah di Kota Belud. Pernah juga di Kinabatangan, dimana kumpulan nasyid dari Kinabatangan menjadi johan, di Sipitang juga, mereka muncul johan. Alhamdulillah, sudah terbangun asas yang baik nasyid ini.

UB:       Biasanya siapa yang buat lagu ?

UJ:      Kadang-kadang mereka yang buat lagu. Saya Cuma perhalusi. Tapi kebanyakan saya buat sendiri. Alhamdulillah, Allah berikan saya maziah, kelebihan iaitu boleh menulis lirik dan boleh membuat lagu, selain boleh bermain muzik. Ada orang boleh menulis lirik, tapi tak boleh buat lagu. Alhamdulillah, ada beberapa kali, tak kurang lima kali, ciptaan saya menjadi lirik terbaik kebangsaan.

Sabah pula lebih sepuluh kali menjadi johan kebangsaan. Kumpulan Noor El Sabah terpilih mewakili Malaysia dan juga Asia untuk menyertai Festival Garden of Islam pada tahun 1993. Itu dianjurkan oleh Kerajaan Jerman. Sepanjang festival itu, diadakan persembahan, seminar, pameran tentang Islam. Ia diadakan selama empat bulan.Acaranya dibuat di Berlin.

UB:       Mungkin banyak kenangan sewaktu di sana?

UJ:      Banyak juga. Tapi yang paling mengesankan bagi saya ialah apabila Tun Haji Ahmadshah Abdullah, mantan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, waktu itu beliau masih menjadi setiausaha Majlis Ugama Islam  Sabah (MUIS) membelikan saya gambus. Beliau memang seorang yang prihatin. Ia satu kenangan yang manis bagi saya. Dibelikannya saya gambus di Berlin. Gambus itu buatan Turki. Sampai sekarang, saya tak bagi bagi orang main.

Masa itu, kami berkunjung ke sebuah kedai muzik di Jerman. Ketika ternampak gambus itu, beliau bertanya saya. Walaupun teringin memilikinya tapi harganya mahal iaitu kalau tak silap 600 mark, mata wang Jerman. Tapi Tun Ahmadshah, beliau orang yang baik, membelikan saya gambus yang sangat berharga itu.

UB:       Wah, rupanya ada kenangan manis bersama Tun. Sudah lama kenal beliau?

UJ:      Beliau pernah jadi bos saya  di MUIS, Ketika beliau menjadi Setiausaha MUIS, waktu itu diselenggara Pengucapan Puisi Islam Sabah, yang kemudian dikenali dengan Mahrajan Sastera Islam. Sebagai pengendali, saya selalu melaporkan proses kemajuan kerja. Tapi beliau selalu memberi keyakinan kepada saya dengan mengatakan beliau yakin saya boleh melaksanakan  kerja yang diamanahkan.

UB:       Saya tertarik dengan persembahan di Festival The Garden of Islam di Jerman itu. Bagaimana sambutan khalayak di Jerman ketika itu?

UJ:      Sambutan khalayak di Jerman agak luar biasa. Benarlah kata orang, bahawa bahasa muzik boleh difahami secara sejagat. Bahasa seni boleh difahami oleh khalayak yang kebanyakannya terdiri daripada orang Jerman itu. Mereka di Eropah sana, sangat menghormati seni. Ketika kita tampil ke pentas, semua hadirin berdiri dan bertepuk tangan.

Begitu juga ketika membuat persembahan, mereka duduk diam, bahkan jika ada jarum jatuhpun boleh kedengaran. Sampai begitu sekali penghargaan mereka terhadap seni, hormat mereka terhadap seni. Setelah kita membuat persembahan, mereka bertepuk tangan. Memang seni ini bahasa dunia, bahasa yang melintasi benua.

UB:       Berapa lama membuat persembahan di sana?

UJ:      Kami membuat persembahan selama dua malam di sana, dengan sambutan yang begitu membanggakan. Bahkan kami sempat tampil dalam slot tv selama sepuluh minit yang ditayangkan di TV Jerman.

UB:       Oh ya, selain Festival The Garden of Islam itu, pernahkah Orkestra Dakwah Noor El Sabah membuat persembahan di tempat lain?

UJ:      Kita pernah buat persembahan dalam Pertemuan Seniman Muslim MABIM Asean di Ambon, Maluku pada tahun 1996. Kita juga pernah buat persembahan nasyid di Medan Sumatera Utara pada tahun 2000.

UB:       Bagaimana mulanya lahir minat Ustaz terhadap nasyid? Boleh ceritakan sedikit?

UJ:      Dulu rumah kami di kampung, selalu menjadi tempat tumpuan guru-guru lagu al-Quran, guru qasidah dan sebagainya. Rumah kami jadi tempat belajar. Waktu itu umur saya lapan tahun, saya ikut belajar dan sudah akrab dengan lagu-lagu arab. Ketika itu saya tinggal tempat bapa saudara saya, Mukhtar Umar. Beliau yang telah membela saya, orang yang terkenal kedermawanannya. Bila ada bot besar, mereka akan singgah di rumah kami, yang terletak di tepi laut. Semasa berada di Indonesia, saya sudah terlibat dalam seni lagu nasyid melalui Kumpulan El-Surayya di Tanjung Balai Asahan.

UB:       Apakah kehidupan masa kecil itu mempengaruhi karya-karya Ustaz?

UJ:      Tentu sekali ia banyak mempengaruhi karya saya. Ketika di kampung, saya berguru dengan Ustaz Haji Mohd. Iyen Atim. Malah, saya khatam Quran dengan Ustaz Iyen, guru saya yang kini jadi besan saya.

UB:       Barangkali banyak lagi pengalaman Ustaz yang boleh dikongsikan dalam bidang seni nasyid ini?

UJ:      Antara kenangan manis saya dalam bidang nasyid ini ialah apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Festival Nasyid Peringkat Asean di Kuala Lumpur pada 1994. Saya menjadi ketua hakim dalam panel hakim yang dianggotai oleh hakim dari Singapura, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia. Selain itu, saya pernah menjadi hakim di peringkat negeri, di peringkat kebangsaan malah pernah pula dijemput menjadi hakim dalam satu festival vokalis qasidah dan nasyid Peringkat Nasional di Jakarta.

UB:       Apa yang ustaz lihat masalah nasyid kita sekarang?

UJ:      Masalah kita ialah kita selalu menggunakan muzik secara live. Dulu termasuk dalam satu syarat. Tetapi sekarang, kumpulan nasyid hanya menggunakan minus one. Ini secara tidak langsung mematikan bakat pemuzik kita. Dulu banyak orang boleh bermain gambus, violin, tapi sekarang orang terpaksa gunakan minus one, yang tidak banyak membantu mengembangkan nasyid kita, kerana muzik latarnya tidak original. Patutnya kita benarkan orang menggunakan muzik secara live.

UB:       Sekarang masanya pun pendek Ustaz. Apa komen?

UJ:      Dulu dua lagu diberi masa 15 minit iaitu tujuh minit bagi setiap lagu. Sekarang ia menjadi empat minit bagi satu lagu. Ini tidaklah memadai. Tahsin lagu, intronya hilang keindahannya. Lagu tidak boleh kita buat kelamkabut. Ia bukan siaran langsung. Sepatutnya waktu tujuh minit itu kita pertahankan. Bagi saya waktu tujuh minit itu, sudah bersesuaian. Biar berkembang nasyid kita, baru ada indahnya.

Empat minit tidak mencukupi. Ia sebenarnya tidak baik untuk kelangsungan perkembangan seni nasyid kita. Saya pun tidak tahu sama ada mereka ada berbincang dengan tokoh-tokoh seni sebelum membuat peraturan itu.

UB:       Apa pendapat Ustaz mengenai kategori nasyid moden dan tradisi itu?

UJ:      Kalau saya, nasyid ini satu saja. Iramanya irama timur tengah. Tak perlu ada kategori nasyid moden dan tradisi. Cukup nasyid saja. Bahkan tokoh nasyid, Tan Sri Hassan Azhari juga hairan juga kerana ada nasyid moden, ada nasyid tradisi. Lagu nasyid berbeza dengan lagu dakwah. Lagu dakwah lain. Sekarang timbul lagu pop dakwah, lagu rock dakwah. Itu tak jadi masalah. Cuma jangan sebut ia nasyid kerana nasyid, sudah jelas ia lagu daripada irama Timur Tengah. Yang mereka sebut moden itu, itu bukan moden, Cuma kreativiti saja, yang berkembang dari zaman ke zaman.

UB:       Apa pula cadangan ustaz untuk mengatasi pro kontra nasyid moden dan tradisi ini?

UJ:      Sebaiknya adakan satu bengkel di peringkat kebangsaan. Kita bincang balik hala tuju nasyid kita. Perbincangan itu haruslah melibatkan tokoh-tokoh yang terlibat dalam nasyid. Dulu sewaktu  zaman Tan Sri Hamid Othman, selalu ada seminar kebangsaan yang mendatangkan pelbagai pemakalah untuk mencari satu peraturan mengenai nasyid itu termasuk penentuan waktu tujuh minit itu.

Sekarang dengan waktu empat minit, seni nasyid jadi tidak indah. Terpaksa potong sana, potong sini. Apa salahnya kalau ia diteliti dan ditinjau kembali. Buat seminar. Tan Sri Hassan Azhari masih ada, ilmunya boleh dimanfaatkan. Tokoh-tokoh ini boleh dijemput untuk bertanya, mewujudkan suasana yang lebih subur dalam lagu nasyid disamping dapat membina jati diri kita.

UB:       Bagaimana pula dengan nasyid etnik dalam bahasa tempatan?

UJ:      Itu bukan nasyid. Sebut saja ia irama dakwah, atau lagu etnik dakwah.

UB:       Di Sabah ini, mungkin ustaz boleh beberapa nama yang berjasa menghidupkan festival nasyid di peringkat awal?

UJ:      Antaranya Haji Yahamad Budin, Haji Ahmad Yakub, Awang Mumin dan lain-lain lagi. Sewaktu zaman PBS, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri ketika, Datuk Haji Hassan Ibrahim adalah Pengerusi Pertama Festival Nasyid. Saya jadi Timbalan Pengerusinya yang pertama, tapi kemudian saya mengundur diri dan menjadi pegawai teknikal dan penasihat saja.

Selepas itu, Timbalan Pengerusinya disandang oleh Maming Staming, Pengarah Protokol ketika itu. Kita jangan lupakan sejarah. Jangan kita tinggalkan mereka. Tidak ada hari ini tanpa orang terdahulu.

UB:       Selepas bersara, apa kegiatan Ustaz?

UJ:      Alhamdulillah, sekarang saya sedang membimbing belia-belia Islam dalam seni nasyid di daerah Membakut selain giat mengadakan ceramah-ceramah di masjid-masjid di daerah itu dan sekitarnya atas pelawaan Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif. Kami juga sudah menerbitkan Orkes Gambus Bustanul Arifin dengan album Satu Malaysia.  Bukanlah maksudnya terlalu taksub.  Ia lambang kecintaan saya kepada Malaysia.

Selain itu pula, di Kampung Brunei, Membakut, saya membimbing kumpulan Syukbanul Arifin. Sebelum ini, sewaktu bermukim di Kuala Lumpur, atas ihsan Tengku Arrafiah Sultan Salahuddin, kami telah berjaya menerbitkan album Kumpulan marhaban Al-Badar.

UB:       Saya terjumpa ada nasyid Ustaz di Youtube juga? Dimana tu?

UJ:      Oh itu! ia album nasyid yang diterbitkan di Balai Asahan sebagai tanda rasa cinta saya kepada tanah leluhur.

UB:       Setelah lebih 30 tahun terlibat dalam nasyid, berapa jumlah lagu nasyid yang pernah ustaz lahirkan?

UJ:      Kira-kira 200 lagu. Dalam sisa-sisa umur ini, kalau boleh saya mahu mencipta hingga  500 lagu.. Mudah-mudahan umur panjang, dan tiap tahun boleh melahirkan album. Yang penting dalam berbuat ini, ikhlas saja. Buat baik. Soalnya kita berlari dengan masa. Kalau tak bolehpun, tak apa. paling tidak saya berasa bahagia kerana pasti ada yang meneruskannya.

UB:       Siapa idola Ustaz ya dalam seni nasyid ini?

UJ:      Idola saya ialah guru saya Prof Haji Ahmad Baqi. Selain itu Tan sri Hassan Azhari. Sewaktu bermukim di Kuala Lumpur, saya selalu bertandang ke rumahnya. Saya bawa violin, main sama-sama. Saya kagum semangatnya. Sebenarnya dalam nasyid ni, saya tak berani juga mengatakan bahawa saya pencipta. Barangkali boleh saya katakana saya pengumpul. Dalam ciptaan saya, ada pengaruh Abdul Wahab, Umi kalsom, Farid al Atras, Wardah Al jazirah dan banyak lagi.

UB:       Akhir sekali apa harapan Ustaz?

UJ:      Saya berharap seni Islam akan terus subur dan mempunyai masa depan yang cerah.

AHMAD ABHAR KHALIS BIN ARIF

Ahmad Ahbar Khalis (1)

Nama : Ahmad Abhar Khalis bin Mohd Ariff
Tarikh Lahir : 16 November 2012 / 2 Muharram 1434
Tempat Lahir : Kota Kinabalu Sabah

Kami turut diundang meraikan majlis kesyukuran atas kurniaan anak keempat sahabat kami Ustaz Arif di Kepayan. Genap seminggu, majlis ringkas dengan sesi tahnik oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim dan dituruti dengan bergunting diiringi solawat keatas junjungan Rasulullah SAW.

Sungguhpun dalam suasana santai dan sederhana sahaja, saya melihat ada keberkatannya dalam majlis seumpama ini apabila doa dipanjatkan, solawat dikumandangkan, juga sunnah-sunnah dalam menyambut kelahiran bayi dapat dilaksanakan semampu tuan rumah.

Satu keunikan yang saya lihat ialah kesatuan rakan-rakan Ustaz Arif yang berasal dari Kelantan ini, kehadiran didominasi oleh sahabat-sahabat seKelantan juga. Positifnya mereka menjaga ukhuwah mereka walau berada jauh di negeri orang.

Ahmad Ahbar Khalis (2)Ahmad Ahbar Khalis (3)Ahmad Ahbar Khalis (4)Ahmad Ahbar Khalis (5)Ahmad Ahbar Khalis (6)Ahmad Ahbar Khalis (7)Ahmad Ahbar Khalis (8)

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Hilal Kg Tg Dumpil Putatan

Tindakan dan kejadian yang sepatutnya menyentuh hati dan naluri umat Islam di seluruh dunia. Menguji keimanan seluruh umat Islam, sejauh mana mereka bertanggungjawab untuk menjaga amanah membantu saudara seagama walaupun jauh beribu batu. Mereka yang menjadi saudara seaqidah kita dikepung, ditangkap, dipenjara, disiksa dan dibunuh oleh Zionis Laknatullah, kerana mereka – umat Islam di Palestin ingin agama Islam ini tertegak di dalam pemerintahan dan seluruh kehidupan mereka.

Jangan kita merasa hairan dengan sikap Yahudi Zionis yang melakukan kekejaman ini. Mereka membunuh orang tua, kanak-kanak dan perempuan. Ingat! Bangsa ini jugalah yang pernah membunuh para Nabi dan Rasul AS sebagaimana firman Allah SWT :

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil, maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka (bahawa Allah akan menghukum mereka) dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (Ali Imran : 21)

Bahkan para ulama Yahudi pernah memberi fatwa membenarkan tenteranya membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira siapa mereka, kerana bangsa lain adalah haiwan dan binatang, terutama umat Islam, tetapi Allah SWT telah menetapkan bahawa cahaya agama Islam ini akan terus bersinar.

Cahaya dan hidayah Islam akan sampai di mana  sahaja cahaya matahari akan sampai. Allah SWT menjanjikan bahawa akan sentiasa ada hambaNya yang menjadi pejuang dan akan mempertahankan agama Islam ini walau darah dan batang tubuhnya menjadi pertaruhan.

Allah SWT telah memilih segolongan umat ini yang tidak boleh dikalahkan sehinggalah Allah SWT memberi keputusan, memenangkan Islam dan menghapuskan Yahudi. Allah SWT telah menunjukkan kepada kita melalui sabda Rasulullah SAW :

“Akan tetap ada satu kumpulan di kalangan umatku, mereka bangun berdiri menegakkan kebenaran agama ini. Mereka tidka boleh dilemahkan dan tidak boleh dikalahkan oleh orang yang mengecewakan mereka, sehinggalah datang keputusan daripada Allah SWT. Para sahabat bertanya, siapakah golongan itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab : Mereka ialah penduduk Baitul Maqdis dan mereka yang berada di sekitar Baitul Maqdis”.

Hari ini sudah ada kumpulan-kumpulan yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW, mereka tampil dengan gagah berani, mereka cinta dan rindukan mati syahid bagi mempertahankan umat Islam dan tanah suci mereka. Kita melihat kebangkitan kumpulan Harakah Muqawamatul Islamiyyah (HAMAS) di Palestin dan Ikhwan Muslimin yang kini menguasai pemerintahan di Mesir melalui Presiden Dr Mohammed Mursi yang merupakan seorang penghafaz al-Quran, serta didukung oleh kumpulan-kumpulan Islam yang lain.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia

Perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat

Muktamar Penuh

Penggulungan Wakil Tuan Rumah

Penggulungan Wakil Seluruh Perwakilan

Penggulungan Ketua Dewan Muslimat

Penggulungan Ketua Dewan Pemuda

Penggulungan Naib Ketua Dewan Ulamak

Penggulungan Timbalan Mursyid Am

Penggulungan Ketua Penerangan

Penggulungan Pengarah Pilihanraya

Penggulungan Naib-Naib Presiden

Penggulungan Timbalan Presiden

Penangguhan Presiden

Selamat Pengantin Baru

17 November 2012

Baarakallahu lakuma, wa baaraka ‘alaikuma, wa jama’a bainakuma fii khair

Sumber foto : Shofriza Washlaini Muhd Iyen

kawin1kawin2kawin3kawin4kawin5kawin6kawin7kawin8kawin9

Suhaidi @ TVi (2)

Warga maahad sudah tentu berbangga apabila salah seorang warganya, Ustaz Suhaidi Kuanting dipilih sebagai salah seorang ikon anak muda Sabah. Sebelah pagi semalam, krew TVi (saluran 180 astro) datang berkunjung ke maahad dalam siri rakaman kehidupan dan temuramah bersama Ustaz Suhaidi.

Suhaidi terpilih sebagai mewakili anak muda yang berjaya dalam bidang keagamaan, menjadi imam Masjid Negeri Sabah dalam usia yang muda, serta sebagai pensyarah maahad tahfiz melatih pelajar sebagai penghafaz al-Quran. Saya bersama beberapa warga maaahad lain turut ditemuramah untuk menceritakan keperibadian dan pengalaman bersama beliau. Suasana pengajian di maahad turut dirakam sama.

Menurut maklumat yang diperolehi, turut sama dipilih dalam rancangan tv berkenaan ialah anak-anak muda yang berjaya dalam segenap lapangan di Sabah seperti ahli sukan, akademik, perniagaan, keagamaan dan sebagainya. Jika menurut jadualnya, ia dijangka disiarakan sekitar Januari 2012 akan datang.

Suhaidi @ TVi (1)

Suhaidi @ TVi (3)

Suhaidi @ TVi (4)

%d bloggers like this: