Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang

Khatib : Ustaz Mas’ud Baharuddin

Lokasi : Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang Kota Kinabalu

Hakikatnya, manusia memerlukan makanan sebagai pembekal tenaga dan keperluan perubatan. Tetapi perlu diingat bahawa jumlah makanan yang diperlukan hanyalah sederhana mengikut tahap keperluan individu. Namun, sikap rakus manusia meletakkan dirinya di jurang kebinasaan apabila makan dan minum secara berlebih-lebihan atau melampaui batas.

Pepatah mengatakan mencegah penyakit itu adalah jauh lebih baik dan lebih mudah daripada merawat. Sehubungan itu, Islam menyediakan langkah pencegahan penyakit melalui etika dan amalan pemakanan  yang sederhana atau tidak berlebih-lebihan. Formula ini dijelaskan oleh Allah SWT :

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat), dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.” (S. Al-A’raaf: 31).

Rasulullah SAW turut menekankan aspek kesederhanaan dalam soal makan dan minum kerana ia bentuk penzahiran rasa syukur kepada Allah SWT selaku Pemberi rezeki selain satu langkah mencegah penyakit yang bersumber daripada makanan.

“Makanlah serta minumlah dan bersedekahlah dan juga pakailah (pakaian yang baik-baik serta berhiaslah), asalkan jangan bermegah-megah dan menyombong dan juga jangan melampau-lampau; kerana Allah suka melihat kesan nikmat-nikmat-Nya kepada hamba-Nya.” (HR. Ibnu Majah dan An-Nasaie).

Selain itu, dalam kerangka mencegah penyakit sama ada yang menjejaskan kesihatan jasmani mahupun rohani dan sosial, Islam bukan sahaja menganjurkan manusia supaya mengawal amalan pemakanan dan penjagaan kesihatan, malah Islam turut menyarankan agar memastikan apa yang dimakan dan diminum adalah dari sumber, jenis dan bahan yang halal lagi baik.

Tegasnya, Islam amat menitikberatkan soal penjagaan kesihatan. Satu daripada cara memelihara kesihatan adalah dengan mengambil makanan serta minuman yang halal lagi baik. Ini kerana setiap makanan dan minuman yang masuk ke dalam perut mempunyai pengaruh serta kesan terhadap kesihatan dan amalan seseorang sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Jika makanan atau minuman yang diambil itu datangnya dari sumber yang halal lagi baik, maka baik pula akibat serta kesannya. Namun jika sebaliknya, maka buruklah pula akibatnya.