Aseana Kolej (1)

Terima kasih kepada Sdr Fadzlee Junaib yang akhirnya berjaya membawa saya masuk ke kolej Aseana bagi mengisi satu program bersama warga mereka khususnya yang beragama Islam pada malam tadi (khamis malam jumaat). Oleh kerana ia program pertama kali seumpama ini, kehadiran sekitar 50 orang termasuk dua lelaki (sahaja) boleh dianggap memuaskan.

Sesuai dengan permintaan mereka agar slot tazkirah diisi dengan topik berkenaan pergaulan dan remaja, saya muqaddimahkan dengan menceritakan kesyumulan Islam yang merangkumi aqidah, syariat dan akhlak. Allah SWT mengatur sebegitu indah sehingga manusia yang akur terhadap perintah tuhannya akan merasai ketenangan dan kebahagiaan dengan peraturan hidup beragama.

Dalam soal pergaulan, Allah SWT meletakkan panduan sehingga agama Islam ini meraikan kehidupan manusia yang tidak boleh sendirian dan mesti bermasyarakat. Tidaklah manusia disekat daripada berhubung dengan orang lain, serta dalam masa yang sama tidak juga membiarkan manusia hidup sebebas-bebasnya tanpa ada peraturan sehingga tidak membezakan mereka dengan haiwan dan makhluk lain.

Ada peraturan dalam bab penampilan, pertuturan, pergaulan, pakaian, persahabatan, perkahwinan dan sebagainya. Ada pergaulan dalam keluarga, pergaulan lawan jantina atau sesama jantina, pergaulan beza umur antara kanak-kanak, remaja, dewasa dan orang tua yang mesti diikuti dan dihormati di dalam Islam. Semua peraturan itu hendaklah dipatuhi dengan matlamat mencari keridhaan Allah SWT.

Saya gembira dalam tampil dalam majlis mereka yang saya dikhabarkan julung-julung kali diadakan solat fardhu dan hajat berjamaah, bacaan yasin serta tazkirah seumpama ini. Semoga pihak mereka dapat meneruskan aktiviti seumpama ini agar melahirkan petugas-petugas kejururawatan yang dapat berkhidmat dengan ruh Islami suatu hari nanti.

Aseana Kolej (2)Aseana Kolej (3)

Aseana Kolej (4)Aseana Kolej (5)Aseana Kolej (6)Aseana Kolej (7)Aseana Kolej (8)Aseana Kolej (9)Aseana Kolej (10)Aseana Kolej (11)