Maahad kami menganjurkan ceramah khas sempena ketibaan tahun baru 1434 Hijrah di Surau ar-Rahman dengan dihadiri oleh semua siswa-siswi serta para pensyarah. Ceramah kali ini disampaikan oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, Pengerusi Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Negeri Sabah & Pengerusi Darussyifa’ Negeri Sabah.

Sebagai tokoh yang pernah mengasaskan maahad ini di peringkat awal, Ustaz Muchlish bijak menyesuaikan contoh-contoh yang berlaku dalam sirah hijratur Rasul SAW dengan keadaan dan kehidupan sebagai para penghafaz al-Quran. Paling penting, ustaz menasihatkan agar para siswa-siswi meningkatkan usaha sebagai persediaan sebelum terjun ke dalam dunia dakwah tidak lama lagi. Pelaksanaan dakwah adalah mesej besar dalam hijrah Nabi SAW.

Sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat membina hubungan persaudaraan antara muhajirin dan ansor, penceramah juga menekankan perkara yang sama iaitu membina jaringan ukhuwah dengan pelbagai pihak demi kemaslahatan dakwah. Begitu juga dengan kesungguhan para sahabat mengukuhkan ibadah khusus dan umum mesti dicontohi sehingga mereka menjadi contoh sepanjang sejarah perjuangan umat Islam hingga akhir zaman.