Sumber : Teks JHEAINS

Sejarah pemerintahan Nabi Muhammad SAW menyaksikan bahawa dalam setiap aspek sama ada dakwah, pentadbiran negara, kehakiman, hubungan diplomatik mahupun amalan adat resam dan kebudayaan, Baginda tidak menunjukkan sikap berat sebelah, melampau atau ekstrem. Pendekatan yang diambil serta dilaksanakan oleh Nabi SAW adalah pendekatan wasatiyyah atau jalan tengah kerana hanya dengan jalan ini Islam dapat diterima oleh semua pihak tanpa mengira kaum, suku kaum, kabilah dan sebagainya.

Natijahnya, kesatuan ummah dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan dapat ditegakkan di Madinah sesudah hijrah Nabi SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah. Antara perkara yang mendapat rahmat dari amalan serta sikap kesederhanaan Nabi SAW termasuklah penggubalan piagam Madinah dan perjanjian Hudhaibiyah.

Di bawah Piagam Madinah misalnya, masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada tiga kaum utama Yahudi di Madinah iaitu bani Nadhir, Qainuqa’ dan Quraizah diberi perlindungan serta kebenaran mengamalkan kepercayaan masing-masing selagi mereka menerima, mematuhi dan menghormati Piagam Madinah. Hikmahnya adalah untuk memastikan masyarakat Islam, Yahudi dan juga golongan Munafik yang mendiami bumi Madinah dapat hidup aman dan sejahtera di bawah pemerintahan Islam.

“…Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhi larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya bagi orang yang melanggar perintahnya.” (S. Al-Hasyr: 7).

Sehubungan itu, pendekatan wasatiyyah atau amalan kesederhanaan Nabi SAW dalam pelbagai urusan seharusnya kita jadikan sebagai prinsip pedoman khususnya dalam membina kesatuan ummah di persada ibu pertiwi tercinta yang berbilang kaum, agama dan budaya ini. Selaku penduduk terbesar negeri ini, umat Islam perlu terlebih dahulu bersatu dengan mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama saudara Islam yang ditunjangi oleh asas akidah Islamiah.

“Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Barang siapa yang berusaha untuk memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya.” (HR Muslim)