Beliau salah seorang jamaah Masjid Negeri Sabah yang sudah saya kenali sejak sekitar 15 tahun lalu. Selalu duduk di bahagian belakang, mendengar khusyuk siri-siri kuliah maghrib dan kuliah selepas isyak di bilik kuliah Masjid Negeri Sabah. Orangnya banyak mendiamkan diri kecuali kepada orang yang dikenalinya.

Beliau yang kini berumur lebih 60 tahun, sudah terlantar sakit hampir sebulan, bertukar tiga lokasi hospital – Damai- QEH2 dan Lingzi – hasil penyakit yang belum diketahui puncanya. Ketika kami berziarah, beliau tidak dapat berdiri seperti sediakala, terpaksa dipapah dengan masa yang sekejap sahaja sebelum duduk atau baring semula.

Kasihan melihat beliau, kerana sebelum ini beliau ada bertanya kaedah bersuci dan solat orang sakit khususnya kepada Ustaz Haji Muchlish yang juga sudah lama dikenalinya. Apabila kami berziarah, situasi beliau serba tidak kena. Tidak tahan baring mengiring, melentang, duduk, berdiri dan kembali baring dan seterusnya. Semoga Allah SWT mengurniakan kesabaran kepada beliau dan keluarga yang setia menjaganya.