Untuk pengajian semester 2 bermula kali ini, ada satu subjek yang baru iaitu Tajwid Amali. Jika ketika semester 1 lepas, saya diamanahkan mengajar subjek Tajwid Ilmi, kali ini sebagai kesinambungannya pula diteruskan dengan tajwid amali.

Tajwid Ilmi ketika dalam semester 1 memberi penekanan secara teori seperti memahami dan mengetahui makna secara bahasa dan istilah bagi tajwid, izhar, idgham, ikhfa’, sakinah, makhraj, sifat huruf dan sebagainya; mendedahkan contoh-contoh bagi setiap hukum hakam berkenaan dan lain-lain. Maka kali ini Tajwid Amali mendedahkan mereka secara praktikal pula dengan membaca al-Quran dengan silibusnya bermula juzu’ 1 hingga 7, dengan penekanan segala ilmu tajwid yang telah dipelajari.

Kami setakat ini baru di pertengahan juzu’ 2, pelajar saya membaca secara bergilir, mendengar dan menyemak bacaan rakan-rakan mereka. Berbanding di peringkat awal 2 minggu sudah, kini ada perkembangan yang memberansangkan di kalangan mereka. Kesilapan sudah semakin kurang dan mereka memahami kehendak subjek ini yang menekankan praktikal tajwid. Kesilapan yang banyak sebelum ini dalam bab makhraj dan sifat huruf, kadar dengung dan mad, sudah berkurangan.

Keseluruhannya ada peningkatan, dan saya suka akan bacaan mereka semua terutama Syahlezzan, Taufik, Hanif, Ummu Afifah dan Wahidah. Saya seronok melihat kesungguhan Rafi, perubahan bacaan Munir dan Sabri, juga teman-teman mereka yang lain-lain. Dengan kesungguhan mereka insya Allah mereka semua akan menjadi guru atau pembaca al-Quran yang baik.

Saya akan bercerita tentang mereka pada kesempatan yang lain.