Anak gadis ini pernah mendapat perhatian dan tumpuan kami para penziarah pesakit hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, sejak 5-6 tahun lalu, khususnya apabila program ziarah hospital dilancarkan ketika Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin memimpin Masjid Negeri Sabah. Program itu berkesinambungan pula dengan kerjasama JAKIM Sabah serta usahasama beberapa NGO Islam Sabah.

Kali terakhir saya menziarahi Norshillah Abtara ialah pada awal tahun ini. Kalau tidak salah, beliau menanti hari menyambut ulangtahunnya ke-18  pada 20 Februari – sama tarikh lahir dengan saya! Dalam keadaan pergerakannya yang terbatas itu, Norshillah seorang gadis yang murah dengan senyuman. Di sisinya ada sebuah peti televisyen pemberian orang kerana dia menghuni hospital ini sejak berumur tujuh tahun pada tahun 2001.

Saya wajar mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Encik Ooi yang mengambil berat keadaan Norshillah sehinggalah ke akhir hayatnya. Ada kesalan dalam diri saya sebagai seorang muslim, apabila tidak menziarahinya sejak akhir-akhir ini. Semoga Allah SWT mengampunkan kesalahan kami membiarkan Norshillah terlantar sehingga beliau kembali ke sisi-Nya pada 4 November 2012 lalu ketika berumur 18 tahun. Al-Fatihah.

Catatan pertama saya tentangnya baca di sini : : https://abunuha.wordpress.com/2011/01/24/norshilla-abtara/

*********************************************************************

12 tahun menghuni hospital, akhirnya meninggal dunia

KOTA KINABALU: Seorang gadis berusia 18 tahun meninggal dunia pada 4 November setelah menjadi penghuni Hospital Queen Elizabeth di sini selama 12 tahun. Norshillah Abtara telah dimasukkan ke Wad Kanak-Kanak pada Mei 2001 ketika dia berusia 7 tahun. Apabila wad tersebut berpindah ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak di Likas, Norshillah yang ketika itu berusia 12 tahun telah dimasukkan ke wad wanita sehingga dia meninggal dunia.

Norshillah mengalami masaalah paru-paru yang gagal berfungsi secara normal dan terpaksaa bergantung kepada mesin pernafasan. Dia juga mengalami kesukaran untuk bergerak. Selepas Norshillah meninggal dunia pada pukul 12.15 tengah hari pada 4 November, seorang sukarelawan, Encik Ooi telah menguruskan agar Fook Lu Siew Funeral Parlour menghantar mayat mangsa balik ke kampungnya di Kudat untuk dikebumikan.

Ooi telah melawat Norshillah selama 11 tahun dan meraikan harijadinya setiap tahun. Dia berkata yang Peniaganita telah menyumbang sebuah kerusi roda untuk Norshillah beberapa bulan lalu dan kerusi roda itu sekarang telah disumbangkan kepada Jabatan Masyarakat.

Ooi juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Shirlin yang meminta Puteri Umno menjaga kebajikan Norshillah bertahun-tahun, termasuk membeli mesin pernafasan dan lampin serta meraikan harijadinya. Ooi juga amat berterima kasih kepada kakitangan Hospital Queen Elizabeth kerana telah memberikan jagaan  yang terbaik sepanjang Norshillah berada di hospital itu. – Sumber The Borneo Post 7 Nov 2012