Kredit foto : Tuan Haji Dzulbokhari Dzulkifli

Alhamdulillah, Kursus Pengubatan Islam Kumpulan 2 (KPI2) anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah tiba ke penghujungnya apabila majlis pengijazahan selamat dijalankan di Bilik Kuliah 2 Masjid Negeri Sabah pada 4 November 2012 dengan penyampaian ijazah disampaikan oleh Ustaz Nik Anwar Zakaria selaku pembimbing kursus berkenaan.

Dalam majlis berkenaan, Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim selaku Pengerusi Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah terdahulu telah menyampaikan ucapan penghargaan bagi pihak Syukbah Dakwah kepada semua pihak terutama Ustaz Nik Anwar yang tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu pengubatan Islam khususnya berkaitan gangguan makhluk halus dan sihir.

Kepada semua peserta, beliau turut mengingatkan agar menjaga aqidah dan syariat serta terus menerus menambah ilmu dalam mengaplikasikan ilmu pengubatan kepada mereka yang memerlukan. Kesilapan besar dalam merawat hendaklah dielakkan sementara kesilapan kecil hendaklah sentiasa diperbaiki agar sesi rawatan tidak dicurigai oleh para pesakit datang memohon bantuan.

Sementara itu, Ustaz Nik Anwar turut memberi ingatan agar para pengamal pengubatan Islam sentiasa mengikhlaskan diri kepada Allah SWT. Sekali lagi beliau merakamkan kalam-kalam berharga iaitu perawat sentiasa melazimi syariat Islam, melakukan sesi praktikal rawatan untuk menajamkan ilmu yang dipelajari serta sentiasa bersifat benar dan tawadhuk dalam melakukan rawatan.

Dalam majlis berkenaan, seramai 22 peserta muslimin dan 7 peserta muslimat telah menerima pengijazahan pengubatan Islam dengan sesi pengajian telah berlangsung lebih 6 bulan pada setiap hujung minggu di Masjid Negeri Sabah. Kepada semua peserta, selamat merawat dan selamat berdakwah!