Setahun sudah berlalu kemalangan keretapi dan lori minyak di tengah landasan keretapi dekat Shell Kg Peringatan Petagas berhadapan persimpangan keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Ia menjadi satu titik sejarah, meskipun tiada jiwa yang terkorban walau saat itu keretapi sarat dengan penumpang yang keluar dari pusat Bandaraya Kota Kinabalu.

Itu peristiwa petang 31 Oktober 2011.

Sesudah setahun tragedi, stesen minyak ditutup dan persimpangan keluar kereta dari LTAKK menuju ke arah Petagas/Putatan juga masih ditutup. Sebagai pengguna jalanraya, barangkali bukan saya seorang tertanya-tanya kesudahan persimpangan berkenaan, adakah hendak ditutup terus atau masih bersifat sementara?

Maksud saya, jika pihak berkuasa berhajat menutup terus jalan, maka sebaiknya dibina pembahagi jalan yang bersifat kekal daripada membiarkan penghadang sementara seperti yang ada sekarang. Ia kelihatan tidak comel dan mencacatkan pemandangan jalanraya. Tiang-tiang lampu-lampu trafik yang rosak kesan hangus juga masih terbiar sedemikian rupa.

Jika pihak berkuasa berminat untuk membuka semula persimpangan berkenaan, ia juga disokong kerana memudahkan pengguna jalanraya keluar dari kawasan lapangan terbang ramai yang menuju ke arah Putatan. Buat masa ini laluan sekarang untuk membuat pusingan-u di persimpangan agak menyusahkan terutama pada waktu puncak.

Sekian pendapat pengguna jalanraya.