Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.”

Kehidupan dunia hanya sementara di mana kita hanya sebagai musafir yang singgah mencari bekalan akhirat. Oleh itu setiap gerak-geri dan tindakan kita mestilah mengikut garis panduan yang telah ditunjuk oleh agama berdasarkan wahyu bukannya terheret dengan godaan hawa nafsu. Apapun yang kita laksanakan dalam kehidupan di dunia ini, mestilah menuju kepada matlamat memperolehi keredaan Allah.

Tidak kira usaha kita sekecil manapun, ia mesti menepati jalan yang dibenarkan oleh agama dan tidak mudah hanyut dan tersasar daripada landasan yang telah ditetapkan oleh syarak. Untuk lebih jelas bagaimana cara kita mampu mencapai keredaan Allah di dunia dan akhirat maka beberapa panduan dikemukakan oleh Imam Tirmizi yang mungkin dapat memberi ruang kepada kita bermuhasabah diri samada telah termasuk dalam golongan yang sentiasa mengejar redha Allah, atau lebih seronok untuk menghimpun dosa yang sepastinya menempah murka Allah.

Antaranya kita mesti bertaubat kepada Allah kerana tiada jalan sebaik taubat dalam usaha meraih keredaan Allah. Allah begitu mencintai hamba yang bertaubat kepadaNya. Allah tidak pelik dengan hamba yang berdosa tetapi Allah begitu pelik dengan manusia yang melakukan dosa tetapi berdegil untuk bertaubat kepada Allah. Firman Allah dalam ayat 8 surah at-Tahrim :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.