Archive for 11 Oktober 2012


Perasaan saya berkecamuk ketika menyertai Forum Ibadah Haji pada pagi semalam. Ada perasaan gementar, gemuruh, lucu, teruja dan bermacam-macam. Saya bimbang kerana persiapan yang hampir kosong disebabkan notis singkat awal pagi mengganti Ustaz Nik Anwar yang berhalangan. Apatah lagi sesudah di lokasi baru saya tahu panel yang lain iaitu Ustaz Haji Awwaluddin Nasution yang saya sangat hormati dan Ustaz Zahar yang menjadi moderator.

Dalam masa yang sama yang saya bimbangi kerana tajuk seumpama ini tidak pernah saya bawa sekaligus mencabar diri. Justeru saya tetap menerima pelawaan ini walaupun dalam keadaan kondisi yang tidak selesa sebenarnya kerana mengingati sabda Nabi SAW  ini :

“Barang siapa melepaskan seorang mukmin dari kesusahan hidup di dunia, niscaya Allah akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat, barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong seorang hamba, selama hamba itu sentiasa menolong saudaranya.” – Imam Muslim.

Saya kira dalam serba serbi kekurangan dalam perjalanan forum itu, saya berterima kasih atas pengertian Ustaz Zahar kerana soalan-soalan meskipun spontan dan hampir tiada perbincangan kecuali sedikit sebelum naik ke pentas, maka di sini saya merasa lucu sendirian kerana ada soalan yang tidak terjawab baik oleh saya atau Ustaz Awwal barangkali. Lain yang disoal, lain pula jawapan kami. Terlalu banyak kelemahan peribadi yang perlu diperbaiki untuk kebaikan akan datang. Rupanya semua kami jadi panel terjun dalam forum berkenaan.

Terima kasih dan tahniah juga kepada penganjur yang mengadakan majlis ilmu yang baik seumpama ini semoga meningkatkan ilmu, semangat dan rindu untuk ke tanah suci pada masa-masa akan datang. Forum berakhir menjelang 12 tengahari.

Pemuda PAS sokong Timbalan Mursyidul AM PAS

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia [DPPM] memberikan sokongan penuh terhadap kenyataan Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din di dalam kenyataannya berkenaan Islam adalah teras utama dalam membangunkan sebuah negara yang berlandaskan tuntutan syiar dan syariat Islam.

2. Baru-baru ini, bekas ahli parlimen India, Mubasyar Jawid Akbar ada mengeluarkan buku yang menganggap Islam hanya untuk menjalin persaudaraan dan bukan untuk menubuhkan sebuah negara.

3. Jelas di dalam PAS, kita menolak fahaman sedemikian justeru ia lebih berpaksi kepada doktrin fahaman Islam liberal dan masyarakat umum tahu bahawa PAS adalah sebuah parti yang berpandukan Islam dan Islam adalah penyelesaian yang terbaik bagi semua masalah ummah termasuk menyelesaikan permasaalahan negara.

4. Timbalan Mursyidul AM PAS telah mengeluarkan kenyataan berkenaan Islam adalah satu cara hidup yang lengkap dan syumul. Islam menawarkan apa sahaja yang melengkapkan kehidupan manusia, termasuklah soal pembentukan dan pentadbiran negara, sekaligus melambangkan Islam sebagai ad deen yang lengkap dan komprehensif. Persoalan ini adalah jelas kedudukannya di dalam al quran dan Nabi saw juga telah mempraktiskannya.

5. Dengan yang demikian, kami di peringkat Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong penuh kenyataan beliau ketika Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din di hubungi oleh wartawan berkenaan sebuah buku yang ditulis oleh Mubasyar Jawid Akbar.

6. Kami memang tidak bersetuju dengan Mubasyar Jawid Akbar mengenai apa yang diceritakan di dalam bukunya yang bertajuk ‘Tinder Box : The Past and The Future of Pakistan’. Lantaran kami yakin bahawa Islam adalah penyelesaian yang terbaik untuk semua aspek.

7. Manusia tidak boleh mengasingkan atau menghadkan Islam hanyalah untuk menjalinkan persaudaraan, walhal, untuk membentuk sebuah negara, pentadbiran yang amanah, tidak menerima dan memberi rasuah, tidak tiris serta menjaga kebajikan rakyat juga adalah salah satu asas yang sangat ditekankan perlaksanaannya oleh Islam.

8. Kami dari Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa kami akan terus istiqamah atau konsisten mengambil Islam sebagai wadah utama dan solusi yang terbaik dalam segala perkara yang ingin dilakukan atau dilaksanakan.

9. Pada masa yang sama , kami tetap menghormati budaya dan agama lain serta komited mewujudkan suasana harmoni dan sejahtera dalam masyarakat majmuk di negara ini. Justeru Islam adalah agama rahmat, agama keadilan dan agama yang membawa kemakmuran sejagat jika ianya dilaksanakan dengan baik.

Nasrudin bin Hassan atTantawi
Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia
%d bloggers like this: