Sumber : http://ustazsham.com/

Soalan yang ditanyakan kepada saya:

“Kalau pembangkang menang, agak-agaknya DAP mahu bagi ke PAS memerintah?”

Jawapan:

Kalau `pembangkang’ menang, maka yang akan memerintah Negara Malaysia nanti adalah Pakatan Rakyat; di mana PAS dan yang lain-lain bersama-sama memerintah Malaysia. Kerajaan PR, bersih rasuah serta penyelewengan wang dan kekayaan Negara; yang banyaknya adalah dakwaan kosong. Satu dakwaan pun, tiada yang sangkut di mahkamah. Terbukti di empat buah negeri.

Kesempatan memerintah bersama, PAS akan ambil peluang menerangkan Islam yang sebenar kepada masyarakat Malaysia. Terbukti di Kelantan. Kaum Cina di Kelantan memahami dan menyokong Hudud kerana mendapat penerangan yang jelas dari kepimpinan Tok Guru.

Kenapa tidak pertikai MCA? Kenapa tidak melihat MCA sebagai ancaman? Parti MCA total berbangsa Cina? Sebaliknya, ada orang Melayu dalam DAP. Malah mereka (MCA) tidak bersopan di dalam menolak Hudud. Mereka berani menggertak UMNO dan ternyata parti pahlawan Melayu itu akur kepada gertakan mereka.

Chua Soi Lek (MCA) mengatakan bahawa mereka berani menentang UMNO dalam hal Hudud ini, mengugut untuk keluar BN dan menuduh ADUN UMNO yang mencadangkan Hudud di Johor sebagai hilang akal. Sedangkan Lim Guan Eng (DAP) menegaskan bahawa DAP tak boleh menghalang kepercayaan orang Islam dalam hal agama mereka dan menghargai sikap PAS yang tidak pernah menghalang dalam bab agama kaum lain.

Dalam hal Negara Islam; CSL (MCA) mengatakan, Negara Islam tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang, manakala LGE (DAP) menyebut: “Kita (DAP, khususnya di Pulau Pinang) ikuti jejak atau model Umar Abdul Aziz”.

Dalam hal Islam melarang berjabat tangan antara lelaki dan wanita pula; CSL (MCA) menyifatkan sebagai `suatu nilai yang hina’, tetapi LGE (DAP) menyifatkan bahawa calon PAS (Cikgu Normala yang memakai sarung tangan untuk bersalam dengan lelaki yang bukan muhrim) adalah seorang yang bertaqwa kerana patuh ajaran Islam, iaitu tidak bersalam (bersentuhan kulit) dengan lelaki.

Kerajaan BN Pulau Pinang (Gerakan) hanya memperuntukan RM25.7 juta untuk hal yang berkaitan Islam di Pulau Pinang (2008); sedangkan Kerajaan PR di Pulau Pinang (DAP) sehingga 2012 telah memperuntukan sebanyak RM181.83 juta (2009 RM33.2 juta; 2010 RM38.9 juta; 2011 RM45.7 & 2012 RM64.03 juta). Malah dari segi dasar, MCA mengamalkan dasar asobiyah (kebangsaan) yang secara terang ditolak oleh Islam. Islam di Pulau Pinang jauh lebih baik terbela di bawah DAP dari GERAKAN (BN).

Usaha menakutkan orang Melayu terhadap DAP adalah kerja UMNO/BN. Tengok sahaja empat buah negeri PR; PAS, Keadilan dan DAP terbukti dapat mentadbir negeri dengan jujur dan amanah.