Archive for September, 2012


MAJLIS PERKAHWINAN DIRAJA BRUNEI

Majlis Perkahwinan Diraja antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan YAM Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini Pengiran Dr Haji Mohd Yakub. Pasangan Diraja ini telah selamat diijabkabulkan pada hari khamis bersamaan 20. 09. 2012 di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien di Bandar Seri Begawan.

DHPP

Hubungan PAS dan Bukan Islam / Bukan Melayu

1) Pertengahan 1980an : Chinese Consultative Council (CCC) atau Majlis Perundingan Cina ditubuhkan. Hasilnya suara PAS mula kedengaran di ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh persatuan Cina di premis-premis tokong mereka dan dewan-dewan Cina. PAS meletakkan 3 calon Cina Muslim dalam PRU 1986: Ali Abdullah @ Lee Kin Kong (P76 Pekan), Ghazali Ho @ Ho Shing Chong (P71 Tanjong Malim) dan Mohd Radhuan Daniel On (P11 Merbok).

2) Penghujung 1990an : Jabatan Antara Budaya ditubuhkan bagi mencapai hasrat yang sama supaya perjuangan PAS dapat diterima oleh masyarakat berbilang bangsa.

3) Oktober 2004 : Di ambang PRU ke-11, Kelab Penyokong PAS (KPP) diisytiharkan sebagai satu usaha untuk menggapai sokongan bukan Melayu kepada PAS. Keputusan 2004 tidak banyak membantu peningkatan kerusi kepada Barisan Alternatif (BA) ketika itu.

4) Selesai PRU ke-11 : KPP menggiatkan aktiviti awal melalui dialog dan perbincangan kecil-kecilan dengan Persatuan-Persatun Cina dan para wartawan dan kumpulan  akademik.  Tujuan dialog ini adalah untuk mengenengahkan PAS kepada masyarakat bukan Melayu yang selama ini mempunyai persepsi yang negatif kepada aspirasi dan perjuangan PAS.  KPP terus mara dengan wahana dialog dan mula mendapat perhatian.  Mulai daripada itu KPP tidak menoleh ke belakang dan terus mara memperkenalkan PAS kepada masyarakat bukan Melayu.

5) Ogos 2005 : Penubuhan KPP di kalangan masyarakat India. Pengerusinya ketika itu telah menyebut sesuatu yang cukup signifikan bagi menggambarkan hubungan antara masyarakat India dan PAS dengan kata-katanya “Hari ini kita (masyarakat India) telah membina jambatan yang kukuh ke Bulan (dimaksudkan PAS)”

6) Tahun 2006 : KPP di kalangan masyarakat Iban berjaya ditubuhkan di 10 rumah panjang sekitar Batang Lupar Sarawak. Setiap negeri lain pula mula menubuhkan KPP masing-masing.

7) 11 Sept 2007 : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Mursyidul Am PAS telah melancarkan logo dan slogan PAS For All di Pejabat Jalan Raja Laut dengan satu harapan bahawa PAS For All boleh diterjemahkan dalam bentuk komitmen PAS kepada Perpaduan Nasional di dalam negara ini.  Tanggal tersebut menjadi mercu tanda penting bagi PAS kerana kemudiannya PAS For All dan logonya diadaptasikan menjadi lambang yang dipakai di mana-mana malah ungkapan PAS For All dijadikan tema ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS tahun 2008 di Ipoh.

8) Penghujung tahun 2007 : Masyarakat Siam tidak ketinggalan menjadi ahli KPP khusus di Kedah dan Kelantan, nama KPP menjadi sebutan di seluruh negara dan di kalangan organsiasi PAS ia menjadi tumpuan strategik utama untuk mengembangkan pengaruh PAS di kalangan bukan Melayu.

9) Disember 2007 : KPP melalui LPN telah berjaya mengadakan konvensyen pertama yang diadakan di Red Rock Hotel Pulau Pinang itu telah menarik minat seluruh ahli KPP khususnya dari Kelantan.  Bertemakan “Kerajaan berkebajikan untuk Semua”, konvensyen tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden dan menjadi sepak mula pada kehangatan PRU yang bakal diadakan pada awal tahun 2008.

10) Awal 2008 : Di ambang PRU ke-12 sokongan India kepada PAS melalui KPP semakin meningkat, hampir setiap malam Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) merasmikan penubuhan KPP di serata tempat khususnya Selangor, Perak dan Kedah dan Pahang. Peristiwa HINDRAF pada 2007 telah membangkitkan kesedaran politik kaum India dan KPP waktu itu berada di persada untuk menyambut orang India dari exodus besar-besaran mereka daripada MIC.  KPP yang telah sedia ada bahagian kaum Indianya mengorak langkah melebarkan sayapnya kepada kaum India.

11) Disember 2008 : LPN diminta untuk membentang satu kertas kerja bertajuk “Keahlian Bukan Islam dalam Organisasi PAS” kertas dibentangkan dalam retreat parti di Langkawi. Berikutan setelah PRU ke-12 perkembangan KPP begitu pesat dan sambutan untuk menambahkan bilangan KPP seluruh negara memberangsangkan. LPN yang menjadi peneraju tidak mampu lagi menampung keahlian yang begitu ramai sedangkan LPN hanyalah Lujnah yang mempunyai bidang kuasa yang terbatas.  Pemikiran untuk diserapkan keahlian bukan Islam ke dalam organisasi parti mula diperbincangkan secara serius.

12) Awal 2009 : Dalam mesyuarat PAS Pusat, satu ketetapan dibuat untuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal bagi mencadangkan kepada PAS Pusat sebuah deraf Aturan dan Peraturan dewan baru yang akan ditubuhkan.  Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ustaz Hassan Shukri dianggotai oleh Pengerusi LPN, dua peguam, seorang ulamak dan seorang Setiausaha Jawatankuasa.

13) Mei 2009 : Konvensyen KPP kali kedua diadakan di Kompleks Pejabat Tanah Kelang dengan tema “Stay United, Brave the Challenges” telah dirasmikan dengan gilang gemilang oleh Mursyidul Am PAS.  Hampir 1,000 perwakilan hadir dan resolusi telah disepakati oleh semua perwakilan, antaranya adalah menstrukturkan Semula Kepimpinan KPP, Mengemaskan Data Keahlian dan Memperkukuhkan KPP untuk dipertingkatkan peranannya dalam PAS.

14) 10 Jan 2010 : Akhirnya mesyuarat AJK PAS Pusat meluluskan deraf Aturan dan Peraturan dan sekaligus menandakan kejayaan proses penyerapan KPP yang kini dikenali sebagai DEWAN HIMPUNAN PENYOKONG PAS atau singkatannya DHPP. Sebelum itu, beberapa kali mesyuarat diadakan bagi membincangkan satu deraf Aturan dan Peraturan bagi maksud menubuhkan Dewan baru telah dibacakan kali pertama dalam Mesyuarat dan Retreat PAS Pusat yang diadakan di Alor Setar, Kedah.  Bacaan kali kedua dibuat pada mesyuarat bulan November 2009 setelah dibuat beberapa pindaan hasil cadangan-cadangan yang diberikan.

15) 23 Mei 2010, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melancarkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) peringkat nasional di Pejabat Tanah Kelang. Dewan Himpunan Penyokong PAS yang mempunyai keahlian (ketika itu) seramai 20, 000 orang merupakan pengukuhan Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan sejak tahun 2004.

16) 20 Februari 2011 : DHPP Peringkat Negeri Sarawak dilancarkan di Miri dengan kehadiran lebih 500 tetamu dan penyokong PAS.

17) 21 April 2012 : DHPP Peringkat Negeri Sabah dilancarkan di Plaza Tanjung Aru Kota Kinabalu oleh YB Datuk Haji Husam Musa, Naib Presiden PAS.

Harapan Presiden Parti dan seluruh kepimpinan PAS untuk melihat kelahiran DHPP akan melonjakkan PAS kepada satu lagi tahap dalam perjuangannya.  Lonjakan ini menjadikan PAS kekal releven dalam melalui cabaran politik berbagai kaum di negara ini.  Hasrat Presiden PAS ialah mahu melihat DHPP terus menjadi contoh perpaduan yang kukuh di kalangan ahlinya dan membuktikan bahawa PAS mampu menyatukan semua kaum di negara ini melalui DHPP.

Rujukan utama dan disesuaikan dari : http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12366 dan juga sumber-sumber web/blog/facebook yang lain.

PEPERIKSAAN SEMESTER

Mulai hari ini 24 Sept.  sehingga 3 Oktober 2012 semua siswa siswi Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah menduduki peperiksaan semester 1, 3 dan 5. Di maahad kami ketika ini mempunyai 40 orang siswa siswi yang sedang giat menghafaz al-Quran menurut sukatan masing-masing. Semester satu dengan hafazan 5 juz, semester 3 dengan 15 juz dan semester 5 dengan 27 juz.

Peperiksaan ini berjalan dibawah kendalian Darul Quran JAKIM dan disertai serentak oleh maahad-maahad tahfiz seluruh negara yang mengikuti sistem pengajian diploma yang dianjurkan oleh JAKIM. Terdahulu pada 19 dan 20 Sept. lepas diadakan ujian lisan al-Quran dan al-Qiraat yang mumtahin (penguji) didatangkan khas dari Darul Quran. Sebagai persediaan peperiksaan bertulis semester, maahad telah mengadakan ujian percubaan pada khamis dan jumaat lepas. Doakan anak didik kami mendapat kejayaan dalam semua peperiksaan subjek yang mereka sertai.

RUMAH ARNAB

Selama 4-5 tahun memelihara arnab secara kecil-kecilan di tepi rumah, arnab bermacam jenis sudah dipelihara. Ia bermula dengan empat ekor arnab berusia sebulan kemudian membesar, mati satu demi satu, tambah lagi, membiak dan begitulah seterusnya. Kalau hidup kesemuanya, dikira-kira anak cucu arnab kami ini barangkali sudah lebih 100 ekor jumlahnya.

Saya banyak bereksplorasi berkenaan kehidupan haiwan comel ini. Membaca buku, carian di internet, perkongsian blog-blog berkaitan arnab, bertanya kepada pemelihara arnab yang lebih mahir dan sebagainya. Tempat tinggal arnab-arnab ini juga saya bertukar beberapa kali. Pernah dengan kandang besi yang dibeli, kandang kayu/papan berdawai, dan kini dengan batu-bata yang diisi dengan tanah.

Bereksplorasi dengan dunia arnab tidaklah seperti mereka yang sudah profesional. Saya mengetahui ada yang kurang berminat memanfaatkan tanah sebagai habitat arnab kerana sebab kotor dan sebagainya. Barangkali penerokaan masing-masing tidak sama, sementara apa yang kami alami dengan rumah tanah lebih baik berbanding bentuk rumah sebelum ini. Ini kerana tanah yang mereka lubangi dan bertapuk di dalamnya bagai lebih selamat untuk anak-anak yang mereka lahirkan berbanding bentuk rumah-rumah sebelum ini.

Arnab yang ada bersama kami kini sebanyak 7-8 ekor adalah generasi ketiga dan keempat. Sekian cerita untuk peminat arnab!

TERIMA KASIH TUN MAHATHIR

Sumber : di sini

Kenyataan Tun Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden UMNO, supaya menjadikan syaitan yang dikenali sebagai rakan yang didampingi lebih baik daripada berkawan dengan malaikat yang tidak dikenali perlu dilihat secara positif, khususnya oleh pendokong UMNO. Kata-kata itu bersumberkan pepatah barat yang  diucapkan oleh mendiang Winston Churchil, mantan Perdana Menteri British ketika perang dunia kedua. Apabila sangat terdesak di peringkat  awal menghadapi kemaraan tentera Jerman, lalu beliau mengizinkan bersahabat dengan negara pernah bermusuh dengan Britain seperti Perancis dan lain-lain.

Mengikut kaedah Usul Feqh Islam, sesuatu dalil itu perlu dilihat dalam dua aspek. Mantuq (yang dilafazkan atau diucap) dan Mafhum (yang difahami). Kadang-kadang diambil mafhum yang berlawanan dengannya.

Saya berpendapat secara positif daripada kenyataan yang jelas itu memberi mafhum, supaya ahli UMNO yang beragama Islam meninggalkan UMNO dan menjadikan PAS sebagai gantinya, sekiranya tidak mampu melawan syaitan yang ada dalam UMNO  atau menghapuskannya bagi menyelamatkan UMNO. Ini kerana bersama syaitan akan membawa akibat buruk di dunia dan akhirat bagi seseorang Islam.

PAS adalah parti manusia bukan parti malaikat dan bukan parti syaitan. Manusia yang diajar dan ditarbiyah oleh Allah sejak bapa dan ibu yang pertama-tamanya iaitu Adam dan Hawa. Allah mengajar Adam mengenal Tuhannya Allah sahaja dan tidak ada sekutu baginya. Beliau turut diajar mengenali para malaikat dan mengenali iblis yang menjadi ketua syaitan seluruhnya.

Tujuan manusia diciptakan supaya beribadat kepada Allah seperti makhluk yang lain dan dikurnia keistemewaan ditugaskan menjadi Khalifah di bumi, kerana sesuai dengan fitrahnya. Terpenting daripada khalifah itu ialah berpolitik, mentadbir urusan dunia dengan agama Allah (Al Din).

Iblis adalah pemimpin syaitan, makhluk jahat yang telah melakukan kekacauan di bumi sebelum manusia diletakkan mengikut keputusan Allah. Iblis ditawan oleh para malaikat dan menjadi tawanan bersama mereka dan diminta berlaku baik bersama para malaikat. Tetapi Iblis hanya berlakon dan berpura-pura baik, tanpa diketahui oleh para malaikat segala yang tersirat dan tersembunyi dalam dirinya.

Allah memperkenalkan para malaikat kepada Adam dan Hawa, bahawa mereka adalah makhluk paling baik menjadi contoh dan kawan, kerana sangat taat kepada Allah dan tidak sekali-kali menderhakai Allah. Begitulah tabiat para malaikat makhluk yang mulia itu. Allah juga mendedahkan kejahatan yang tersirat dalam diri Iblis dan begitulah juga pengikutnya yang ada di bumi. Mereka adalah bakal pencabar kepada makhluk manusia yang beriman dan budiman.

Al Quran mengesahkan betapa para malaikat itu sangat mentaati Allah, sehingga menawarkan diri bertugas di bumi bukannya manusia. Menunjukkan sikap berlumba mentaati Allah. Apabila  Allah mendedahkan kelebihan Adam  kepada para malaikatnya, Adam makhluk manusia yang diberi ilmu bertugas dibumi dengan sifat kejadiannya yang berbeza dengan kejadian malaikat. Banyak perkara yang tidak ada kepada malaikat. Maka para malaikat menunjukkan sifat tawadu’ dihadapan Allah serta memuji dan bertasbih. Allah mengesahkan dengan firmannya:

وَعَلَّمَ آَدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (31) قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (32) قَالَ يَا آَدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ (33)

(Dan Allah mengajar kepada Adam nama-nama semuanya, kemudian dibentangkan kepada para malaikat. Lalu mereka berkata :”Maha Suci Engkau. Tidaklah kami ketahui malainkan sekadar apa yang Engkau ajarkan kepada kami “. Allah berfirman kepada Adam :” ceritakan kepada mereka nama-nama semuanya “. Setelah Adam menyebut nama-nama semuanya. Allah berfirman :” Tidakkah aku katakan kepada kamu, bahawa aku mengetahui apa-apa yang tersembunyi di langit dan bumi dan aku mengetahui apa-apa yang kamu nyata dan kamu sembunyikan?). (Al-Baqarah: 31-33).

Allah tidak dengan segera menghantar  Adam dan Hawa ke bumi, tetapi lebih dahulu mereka diajar dan ditarbiyah di syurga, menikmati sifat–sifat yang ada pada diri manusia dan menyatakan sempadan halal dan haram apabila tiba di bumi nanti. Adanya perkara bagi makhluk yang lain, bukan untuk manusia, kalau melampauinya membawa mudarat. Allah juga mengajar dan tarbiyah Adam dan Hawa dengan melakukan dosa kesalahan secara mendedahkan sifat jahat yang tetap ada pada Iblis dan pengikutnya dikalangan syaitan, jin dan manusia,  yang akan dihadapi oleh manusia ketika menjalankan tugas mereka di bumi nanti.

Pendedahan dilakukan, bermula dengan secara bersama mengadap Allah. Apabila Allah memerintah mereka sujud kepada makhluk Adam bagi meraikan kejadian dan tugasnya. Tiba-tiba para malaikat sahaja yang sujud menunaikan perintah Allah. Iblis pemimpin syaitan pula tidak mahu sujud.  Mendedahkan sifat buruk yang ada pada dirinya dan begitulah juga pengikutnya. Ketiga-tiga sifat itu ialah: enggan (derhaka), takabbur (sombong) dan kufur (ingkar melawan Tuhan).

Seterusnya Allah memberi tahu Adam, dengan mendedahkan sifat yang keempat pada diri Iblis dan pengikutnya, iaitu menipu  dengan apa cara sahaja, termasuk cara menggoda. Ternyata selepas diletakkan dalam syurga, Adam dan Hawa tertipu dengan godaan Iblis pemimpin syaitan itu, sehingga dihalau ke bumi bagi melaksanakan tugas mereka dengan  segala cabarannya. Allah memberi hidayah kepada Adam dan Hawa  kerana menyesal setelah berfikir dengan akal yang betul, sehingga bertaubat. Ada pun Iblis dan para syaitan bersamanya, dikalangan jin dan manusia tidak bertaubat sehingga mati, kerana sifat angkuh dan sombong. yang merasakan diri mereka terlalu bijak sehingga tidak perlu bergantung kepada Allah.

Adam dan para Rasul yang dilantik membawa petunjuk Allah yang dinamakan Islam diperintah supaya beriman kepada malaikat disamping  beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain. Beriman kepada para malaikat termasuk dalam rukun iman, bukan sahaja menganalinya sebagai makhluk yang tidak derhaka dan tidak berdosa, bahkan malaikat itu sentiasa bersama orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh. Sesiapa yang memusuhi para malaikat bermakna  memusuhi Allah dan Rasulnya.

Kita wajib juga beriman kepada adanya syaitan, termasuk dalam beriman kepada perkara yang ghaib. Wajib percaya bahawa syaitan itu makhluk paling jahat dan menipu. Mengikut syaitan dan menjadi penolongnya atau bersamanya bermakna ditipu dan menempah celaka dunia dan akhirat.

UMNO diakui oleh Tun Mahathir ada syaitan yang dikenali. Rosaknya hingga ke usus, dilanda rasuah dalaman di semua peringkat dalam pemilihan  daripada cawangan, bahagian, sehinggalah tertinggi. Namun tidak bersedia dirawat atau berundur bagi mengislahkan diri saperti semua parti dalam negara demokrasi tulen. Sebaliknya tetap mempertahankan kuasa dengan apa sahaja termasuk meggoda pengundi dengan rasuah pilihanraya, menaikkan pangkat kepada jentera kerajaan yang membantu  kemenangannya, menipu undi demi kemenangan dan menggunakan media menutup kebatilan. Ia hanya menyatakan apa yang benar dilakukan secara menggoda. Sehinggalah rakyat tidak mampu menjadi hakim yang adil ketika mengundi.

Al Marhum Tunku Abdul Rahman, Presiden pertama UMNO dan Bapa kemerdekaan meninggalkan UMNO. Oleh kerana usianya panjang, beliau sempat melihat tanda-tanda awal penyakit yang ada pada UMNO, diikuti oleh ramai lagi para pemimpin yang sedar dan peka. Tun Mahathir pula sudah dua kali keluar masuk UMNO. Semuanya sudah cukup bagi ahli UMNO membuat keputusan untuk tidak bersama syaitan yang sudah dikenali dan berusaha bersama manusia PAS memohon pertolongan Allah dan para malaikat yang nyata baiknya bagi menyelamatkan negara dan bangsa bersama Islam yang termaktub dengan nyata dalam kitab Allah dan huraian Rasulullah S.A.W. dalam Sunnahnya yang nyata. Inilah panduan tertinggi PAS, dicatat dalam undang-undang tubuhnya .

Apabila wajib beriman kepada malaikat  dan mereka adalah makhluk paling baik kerana taat dan tidak berdosa. Wajib pula beriman adanya makhluk Iblis dan para pengikutnya dikalangan manusia dan jin, yang dinamakan syaitan, makhluk paling jahat, menipu dan menggoda, sehingga mati tidak bertaubat. Maka jadikan kenyataan Tun Mahathir mengikut mafhumnya adalah nasihat dan amaran. Ini kerana kalau difahami secara nasnya, sangat bercanggah dengan nas Al Quran. Hadis Rasulullah S.A.W. yang lebih daripada ucapan yang lain tidak boleh bercanggah dengan Al Quran. Allah berfirman dalam surah Yasin yang dibaca oleh kebanyakan umat Islam, termasuk dianjurkan oleh Umno, maksudnya:

60. “Bukankah Aku telah perintahkan kamu dengan perjanjian,wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan yang lurus. Dan Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dengan akal yang insaf?. (Surah Yaasin: 60-62)

Allah juga mendedahkan diantara godaan syaitan itu tidak melaksanakan Islam seluruhnya, tetapi sebahagian sahaja daripada ajaran dan meninggalkan sebahagian yang lain. Firman Allah, maksudnya:

208. Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam semuanya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya;) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata. (Al Baqarah: 208).

Allah juga memberitahu bahawa syaitan mengugut dengan kemiskinan kalau melawannya, maksudnya :

268. Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha luas limpah kurniaNya, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya.) (Al Baqarah: 268).

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,

Presiden PAS

Lebih setahun lalu, kami berziarah ke rumah ini dalam suasana hari raya, ketika itu Puan Betty dan suami Sdr Hisham menanti hari untuk menimang cahayamata pertama. Ketika itu juga kami berkongsi kisah gembira bersama mereka kerana baru sebulan menimang anak keenam kami Muhammad Ubayy Ka’ab sementara mereka menanti debaran. Masa berlalu, 20 September 2012 Hafizy sudahpun berumur setahun. Tengahari semalam saya hadir bersama Abdul Hadi dan Lu’lu’ atas undangan keluarga ini  meraikan kesyukuran mereka. Turut ada bersama sahabat-sahabat kenalan Betty dan Hisham. Semoga berbahagia.

Khatib : Imam Zulfauzy Awang Besar

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, di antaranya ialah) Maqam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya (yakni ke dalam Masjidil Haram tempat letaknya Ka’abah dan Maqam Nabi Ibrahim itu) aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk”. (Surah Ali Imran, ayat: 96-97).

Merujuk mafhum ayat ini, bahawa Baitullah itu adalah rumah ibadat pertama dalam sejarah hidup manusia. Makkah al-Mukarramah itu merupakan bumi yang diberkati dan menjadi pusat petunjuk hidayah bagi umat manusia. Terdapat padanya berbagai keterangan yang menunjukkan kemuliaannya seperti Maqam Nabi Ibrahim AS, binaan Ka’abah yang terletak di Makkah itu sendiri dan umat Islam yang berada di bumi Makkah Al-Mukarramah itu akan berada dalam keadaan aman dan tenteram. Itulah keberkatan yang dijamin di sisi Allah SWT. Dan bagi umat Islam yang mampu diwajibkan menunaikan ibadat Haji sekali seumur hidup.

Keberkatan bumi Makkah, pintu langit terbuka dan doa makbul. Sebagaimana dinyatakan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dibuka pintu-pintu langit dan diperkenankan (dimakbulkan) doa seseorang Islam sewaktu melihat Ka’abah” (HR Abi Umamah) . Oleh itu, sebagai umat Islam marilah kita bersama-sama bertekad dengan niat dan keazaman untuk menunaikan perintah Allah SWT ini.

Kelebihan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Satu solat di masjidku ini adalah lebih utama daripada seribu solat yang dilakukan di masjid yang lain selain Masjidil Haram, manakala satu solat di Masjidil Haram adalah lebih utama daripada seratus solat di masjidku ini”.  (HR Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Kuliah maghrib Tajwid al-Quran dan Tafsir saya di Surau Riyadhus Solihin baru bermula minggu ini setiap rabu. Setelah bercuti kuliah sepanjang Ramadhan dan Syawal, ini surau yang paling lewat saya memulakan kuliah sedangkan lokasi lain sudah bermula pada awal September lagi. Kami memulakan kuliah kali ini dengan tilawah pada awal juzu’ 9 dan menyambung huraian ringkas kisah perjuangan Nabi Syuaib yang difirmankan Allah di dalam surah al-A’raf pada akhir juzu’ 8 dan awal juzu’ 9.

Membaca kisah perjuangan Nabi Syuaib AS terhadap kaumnya terutama golongan pembesar, serta doa yang dilazimi oleh baginda membuatkan saya teruja dalam kuliah kali ini. Perjuangan nabi-nabi ialah agar manusia menyembah Allah SWT dan mengesakanNya dalam ertikata yang sebenarnya. Dalam konteks peribadi kita, ia bermula dengan masing-masing berusaha memperbaiki diri dan memberikan contoh akhlak yang luhur baik kepada sesama Islam atau yang belum Islam.

Pada akhir kuliah, saya mencadangkan satu aktiviti memperbaiki diri buat peserta kuliah dan jamaah surau ini – sama ada yang hadir atau tidak – untuk membuat sasaran tilawah al-Quran sehingga khatam setiap 3 bulan bermula pada Oktober dan berakhir pada akhir Disember. Jika dijadualkan, setiap individu membaca 10 juzu’ setiap bulan atau lebih kurang 6-7 muka surat setiap hari. Insya Allah jika berjalan lancar akan mengadakan khatam pertama pada minggu pertama Januari. Kemudian diteruskan untuk pusingan kedua pada januari-mac, april-jun dan seterusnya.

Saya ada memesan dan mencadangkan kepada Ustaz Mohamad Suaid agar satu borang ditampal di papan kenyataan surau mempelawa jamaah yang berminat untuk menyertai siri tilawah al-Quran secara individu (baca masing-masing) dan khatam bersama. Antara objektifnya ialah melazimi tilawah al-Quran setiap hari dan bukan hanya terbatas pada bulan Ramadhan sahaja. Insya Allah jika dijadualkan dengan baik setiap hari, ibadah ini akan berjaya. Semoga usaha murni ini mendapat sokongan bersama dan pesertanya diberikan kekuatan oleh Allah SWT.

Teman-teman dari qaryah atau masjid/surau lain juga dipelawa.

KUNJUNGAN WARGA MAAHAD

Beberapa kali pelajar dan warga maahad berziarah bergilir-gilir ke rumah untuk berhari raya dan kesemuanya saya tiada di rumah dan berada di luar atas pelbagai urusan. Kesemuanya datang dengan notis singkat ketika saya sudah di  luar rumah.  Kali terakhir yang berziarah ke rumah ialah Ustazah Dayang Masni, Ustazah Siti Aisa, Ustaz Suhaidi dan 3 orang alumni maahad yang baru bergraduan 2 minggu sudah.

Untuk semuanya terima kasih atas kehadiran semua ke rumah, insya Allah saya dan isteri merancangkan satu acara bersama di rumah nanti untuk warga maahad datang berziarah beramai-ramai. Mudah-mudahan dimurahkan rezeki untuk mengundang tetamu bertaraf penghafaz al-Quran ini nanti.

%d bloggers like this: