Selama 4-5 tahun memelihara arnab secara kecil-kecilan di tepi rumah, arnab bermacam jenis sudah dipelihara. Ia bermula dengan empat ekor arnab berusia sebulan kemudian membesar, mati satu demi satu, tambah lagi, membiak dan begitulah seterusnya. Kalau hidup kesemuanya, dikira-kira anak cucu arnab kami ini barangkali sudah lebih 100 ekor jumlahnya.

Saya banyak bereksplorasi berkenaan kehidupan haiwan comel ini. Membaca buku, carian di internet, perkongsian blog-blog berkaitan arnab, bertanya kepada pemelihara arnab yang lebih mahir dan sebagainya. Tempat tinggal arnab-arnab ini juga saya bertukar beberapa kali. Pernah dengan kandang besi yang dibeli, kandang kayu/papan berdawai, dan kini dengan batu-bata yang diisi dengan tanah.

Bereksplorasi dengan dunia arnab tidaklah seperti mereka yang sudah profesional. Saya mengetahui ada yang kurang berminat memanfaatkan tanah sebagai habitat arnab kerana sebab kotor dan sebagainya. Barangkali penerokaan masing-masing tidak sama, sementara apa yang kami alami dengan rumah tanah lebih baik berbanding bentuk rumah sebelum ini. Ini kerana tanah yang mereka lubangi dan bertapuk di dalamnya bagai lebih selamat untuk anak-anak yang mereka lahirkan berbanding bentuk rumah-rumah sebelum ini.

Arnab yang ada bersama kami kini sebanyak 7-8 ekor adalah generasi ketiga dan keempat. Sekian cerita untuk peminat arnab!

Advertisements