Kuliah maghrib Tajwid al-Quran dan Tafsir saya di Surau Riyadhus Solihin baru bermula minggu ini setiap rabu. Setelah bercuti kuliah sepanjang Ramadhan dan Syawal, ini surau yang paling lewat saya memulakan kuliah sedangkan lokasi lain sudah bermula pada awal September lagi. Kami memulakan kuliah kali ini dengan tilawah pada awal juzu’ 9 dan menyambung huraian ringkas kisah perjuangan Nabi Syuaib yang difirmankan Allah di dalam surah al-A’raf pada akhir juzu’ 8 dan awal juzu’ 9.

Membaca kisah perjuangan Nabi Syuaib AS terhadap kaumnya terutama golongan pembesar, serta doa yang dilazimi oleh baginda membuatkan saya teruja dalam kuliah kali ini. Perjuangan nabi-nabi ialah agar manusia menyembah Allah SWT dan mengesakanNya dalam ertikata yang sebenarnya. Dalam konteks peribadi kita, ia bermula dengan masing-masing berusaha memperbaiki diri dan memberikan contoh akhlak yang luhur baik kepada sesama Islam atau yang belum Islam.

Pada akhir kuliah, saya mencadangkan satu aktiviti memperbaiki diri buat peserta kuliah dan jamaah surau ini – sama ada yang hadir atau tidak – untuk membuat sasaran tilawah al-Quran sehingga khatam setiap 3 bulan bermula pada Oktober dan berakhir pada akhir Disember. Jika dijadualkan, setiap individu membaca 10 juzu’ setiap bulan atau lebih kurang 6-7 muka surat setiap hari. Insya Allah jika berjalan lancar akan mengadakan khatam pertama pada minggu pertama Januari. Kemudian diteruskan untuk pusingan kedua pada januari-mac, april-jun dan seterusnya.

Saya ada memesan dan mencadangkan kepada Ustaz Mohamad Suaid agar satu borang ditampal di papan kenyataan surau mempelawa jamaah yang berminat untuk menyertai siri tilawah al-Quran secara individu (baca masing-masing) dan khatam bersama. Antara objektifnya ialah melazimi tilawah al-Quran setiap hari dan bukan hanya terbatas pada bulan Ramadhan sahaja. Insya Allah jika dijadualkan dengan baik setiap hari, ibadah ini akan berjaya. Semoga usaha murni ini mendapat sokongan bersama dan pesertanya diberikan kekuatan oleh Allah SWT.

Teman-teman dari qaryah atau masjid/surau lain juga dipelawa.