Khatib : Imam Zulfauzy Awang Besar

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, di antaranya ialah) Maqam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya (yakni ke dalam Masjidil Haram tempat letaknya Ka’abah dan Maqam Nabi Ibrahim itu) aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk”. (Surah Ali Imran, ayat: 96-97).

Merujuk mafhum ayat ini, bahawa Baitullah itu adalah rumah ibadat pertama dalam sejarah hidup manusia. Makkah al-Mukarramah itu merupakan bumi yang diberkati dan menjadi pusat petunjuk hidayah bagi umat manusia. Terdapat padanya berbagai keterangan yang menunjukkan kemuliaannya seperti Maqam Nabi Ibrahim AS, binaan Ka’abah yang terletak di Makkah itu sendiri dan umat Islam yang berada di bumi Makkah Al-Mukarramah itu akan berada dalam keadaan aman dan tenteram. Itulah keberkatan yang dijamin di sisi Allah SWT. Dan bagi umat Islam yang mampu diwajibkan menunaikan ibadat Haji sekali seumur hidup.

Keberkatan bumi Makkah, pintu langit terbuka dan doa makbul. Sebagaimana dinyatakan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dibuka pintu-pintu langit dan diperkenankan (dimakbulkan) doa seseorang Islam sewaktu melihat Ka’abah” (HR Abi Umamah) . Oleh itu, sebagai umat Islam marilah kita bersama-sama bertekad dengan niat dan keazaman untuk menunaikan perintah Allah SWT ini.

Kelebihan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Satu solat di masjidku ini adalah lebih utama daripada seribu solat yang dilakukan di masjid yang lain selain Masjidil Haram, manakala satu solat di Masjidil Haram adalah lebih utama daripada seratus solat di masjidku ini”.  (HR Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)