Saya meluangkan sedikit masa untuk menghadiri ‘Peluncuran Buku : Yusuf al-Qaradhawi & Kebangkitan Rakyat’ di Hotel Yaho Sembulan yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi 16 September lepas. Buku yang diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ini adalah terjemahan daripada buku asal berbahasa Arab : ’25 Yanair Sanah 2011, Thaurah Sha’ab’.

Buku ini menghimpunkan pemikiran, pendirian, kenyataan, khutbah dan fatwa D Yusuf al-Qaradhawi  berkenaan revolusi Mesir yang berlaku pada 11 Januari 2011 yang akhirnya mendapat kejayaan pada 11 Februari 2011. Buku ini mengisahkan perjalanan seluruh proses kebangkitan rakyat di Mesir yang menjadi contoh terbaik, di mana kumpulan yang bertahan ini penuh dengan kesabaran – tiada gangguan sesama mereka, tiada pemuda yang menyakat pemudi, tidak pergaduhan sesama sendiri bahkan seseorang sanggup berlapar untuk mengenyangkan saudaranya.

Tahniah kepada ABIM dan kumpulan penterjemah yang telah mengambil suatu usaha murni agar perjalanan kebangkitan rakyat di Mesir boleh dibaca oleh masyarakat Malaysia pada hari ini terutamanya golongan anak muda. Saya juga bersetuju dengan saranan DSAI agar pelbagai pihak memperbanyakkan program bersifat ilmiah seperti diskusi atau sesi bedah buku seumpama yang diadakan pada 16 September lalu.

Harga buku ini ialah RM22.00/RM25.00 dengan ketebalan 270 muka surat, ia mengandungi 2 bahagian. Bahagian pertama himpunan keterangan, khutbah, fatwa dan seminar berkaitan kebangkitan rakyat Mesir. Sementara bahagian kedua memuatkan laporan berita, tulisan-tulisan tokoh, pendakwah, wartawan dan lain-lain.