Saya di antara ratusan kenderaan yang tersekat dalam kesesakan lalu lintas pada malam berkenaan, iaitu malam sambutan ‘Hari Malaysia’. Takziah kepada semua keluarga mangsa yang berasal dari Beaufort. Takziah juga kepada YB DSP Haji Lajim Haji Ukin kerana dimaklumkan kesemua mereka adalah penyokong beliau yang menyertai program di Tuaran. Oleh kerana kamera sudah kehabisan bateri, saya hanya dapat merakam menggunakan kamera telefon.

Sumber berita : http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/62138

KOTA KINABALU: Lima orang maut termasuk dua pasangan suami isteri dalam kemalangan ngeri berdekatan bangunan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sepanggar di Kota Kinabalu pada malam Sabtu. Mangsa yang meninggal dunia dikenali Ramsin Tamisin Pahang, 59, isterinya Siti Runi Tarawi, 55, pasangan kedua Hassan Jimi, 55, isterinya Saimah Jamin, 51, dan seorang lagi Taripan Bintaman, 53.

Semua mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah di muka, badan dan kepala. Kesemua mereka sedang dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Beaufort apabila kereta pacuan empat roda yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna Naza Ria dari arah bertentangan di Jalan Sepanggar berdekatan bangunan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu, di sini, malam kelmarin.

Pemandu kenderaan jenis Naza Ria dikenali sebagai Chong Chee Kiong, 23, dan penumpangnya Sheena Patrick, 28, dan Lily Govinjen, 56, dan semua mereka mengalami cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth. Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, semua pemandu dan penumpang pacuan empat roda jenis Isuzu Invader dari arah bulatan Sepanggar menuju ke pusat bandar dipercayai dalam perjalanan pulang ke Beaufort selepas menghadiri satu majlis di Pantai Dalit Tuaran dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner, Jauteh Dikun, berkata kejadian itu dipercayai bermula apabila sebuah kereta Naza Ria yang datang dari arah lampu isyarat Universiti Teknologi Mara (UiTM) dipercayai terbabas selepas dirempuh dari arah belakang sebuah pacuan empat roda lain menyebabkan kereta Naza Ria masuk ke jalan bersebelahan.

“Akibat rempuhan dari belakang itu, kereta Naza Ria itu bertembung Isuzu Invader yang datang dari arah bulatan Sepanggar menuju ke pusat bandar,” katanya. Beliau berkata akibat pertembungan itu pemandu dan penumpang kereta Isuzu Invader maut di tempat kejadian.

“Sementara itu, pemandu dan penum- pang kereta jenis Naza Ria mengalami cedera parah dan menerima rawatan di HQE II,” katanya ketika dihubungi, semalam. Jauteh berkata, pemandu pacuan empat roda yang merempuh dari belakang itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan semua mayat dibawa ke HQE untuk bedah siasat manakala tiga yang cedera menerima rawatan di HQE II dan berada dalam keadaan stabil.

“Polis masih mengesan pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan,” katanya.

Tanda bulat : YB DSP Haji Lajim Haji Ukin, Ahli Parlimen Beaufort.