Inilah kemuncak kepada kunjungan ke Melaka kali ini.

Meskipun tujuan utama ke Melaka adalah untuk menghadiri mesyuarat Lajnah Tashih al-Quran KDN, Allah SWT telah ‘mengetuk’ hati saya untuk menziarahi guru tajwid yang telah lama terpisah. Beliau adalah pensyarah awal di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah (1995-1998) yang dihantar oleh Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS). Entah bila masanya ketika di Melaka tempohari tiba-tiba saya teringatkan beliau dan hati saya tergerak untuk mencari beliau.

Setelah perpisahan kami pada 1998, Ustaz Haji Abu Bakar Omar kembali ke Melaka, saya sendiri tidak pernah menghubunginya walaupun pada satu ketika dahulu saya pernah menyimpan alamatnya tetapi entah hilang ke mana. Tetapi sesuatu yang saya ingat kalimah dalam alamatnya ialah ‘Jalan Sekolah Alai’. Nombor telefon, lorong berapa dan poskodnya tidak pula saya ingat.

Sebenarnya seseorang sudah berjanji untuk membawa saya ke Alai tetapi beberapa jam sebelum waktu janji kami itu beliau berhalangan. Saya bukannya biasa dengan Melaka ini tetapi saya kuatkan juga hajat dengan meminta pihak hotel mencarikan teksi. Akhirnya yang datang bukan teksi tapi seseorang yang membawa kereta kancil tetapi sanggup membantu saya dengan sedikit bayaran minyak.

Langkah pertama kami ialah bergerak menuju ke Masjid Alai yang terkenal itu. Saya berharap untuk berjumpa mana-mana jamaah masjid dan meminta tunjuk ke rumah ustaz. Alhamdulillah, kami dipertemukan dengan Tuan Haji Hamid yang sedang menunggu cucunya pulang sekolah. Beliau sudi menunjukkan jalan untuk kami berziarah ke rumah Ustaz Abu Bakar Omar yang sebenarnya pernah menjadi imam di masjid berkenaan.

Hati saya cukup berdebar apabila sampai di hadapan rumah. Pintu rumah bertutup kemas, bimbang-bimbang ustaz atau keluarganya tiada di rumah. Ya Allah mudahkanlah urusanku kerana hendak bertemu guru yang sudah lama terpisah, doa saya. Menanti sebentar akhirnya pintu rumah dibuka, dan saya diperkenalkan oleh Haji Hamid tadi kepada tuan rumah yang akhirnya saya ketahui sebagai isteri Ustaz Abu Bakar.

Saya dijemput masuk dan seterusnya menziarahi ustaz yang terlantar di dalam bilik. Saya menahan sebak dan air mata supaya tidak mengalir. Ustaz yang kami rindui kini terlantar sakit akibat strok. Ustazah memaklumkan bahawa ustaz ditimpa strok sejak 6 tahun lalu dan keadaannya semakin berat sejak awal tahun ini, ustaz hanya terbaring di katil dan tidak mampu bertutur seperti biasa lagi.

Saya mencium tangan dan pipinya melepaskan rindu. Melalui reaksi yang ditunjukkan, ustazah memaklumkan bahawa mungkin ustaz sudah tidak mengenali saya. Bukan salah beliau kalau tidak mengenali saya lagi selepas 15 tahun tidak bertemu, salah saya kerana tidak menghubunginya sejak berpisah. Saya sebutkan juga seorang demi seorang anak-anak murid beliau ketika di Maahad serta guru-guru seangkatan beliau. Ustazah memaklumkan apabila kenalan-kenalan lama dari Kg Benoni Papar datang berziarah, ustaz kelihatan bersemangat dan memberi reaksi positif kerana mereka sering berziarah ke Melaka.

KEHIDUPAN USTAZ 

(sebagaimana yang diceritakan oleh Ustazah Zainab dan Abang Abd Latif Sukri, anak kedua ustaz).

Ustaz Haji Abu Bakar Omar berasal dari Kg Alai Melaka dilahirkan pada 20 Februari 1946 (sama tarikh lahir dengan saya!), bersekolah di SK Alai sehingga darjah 6 dan Sekolah Rendah Arab Sungai Udang Melaka. Di peringkat menengah, beliau menuntut di High School Melaka sehingga tingkatan 3 dan kemudian berpindah ke Kedah menyambung pelajaran di Madrasah Nahdhoh al-Hasanah sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.

Antara guru beliau di sana ialah Dato’ Syeikh Haji Tajudin Syeikh Abd Rahman al-Jarumi yang pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan antara tahun 1994-1999. Ustaz Abu Bakar sebenarnya layak untuk menyambung pengajian ke Mesir tetapi cita-cita itu terhenti begitu sahaja kerana kehidupan dan latar belakang keluarga beliau yang susah.

Pada akhir 1968 (atau awal 1969) Ustaz Abu Bakar berhijrah buat pertama kali ke Sabah bersama seorang sahabatnya Ustaz Bohari (allahyarham) dan bertugas di sebuah sekolah di Kudat dalam tempoh kurang setahun. Pada tahun yang sama telah datang ke Sabah Datuk Haji Muhammad Haji Ahmad yang berasal dari Merlimau Melaka yang kemudiannya diamanahkan sebagai Mufti Negeri Sabah yang pertama (1972-1977).

Ustaz Abu Bakar kemudian berhijrah ke Kota Kinabalu dan tinggal di rumah  Datuk Haji Muhammad di Rose Garden bersama seorang lagi sahabat karibnya Ustaz Haji Mohammad Ibrahim (kini imam di Masjid Kg Sipanggil Putatan). Ustaz Abu Bakar bertugas di pejabat Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sebagai pendakwah hampir dua tahun.

Pada bulan Mei 1970 ustaz berkahwin dengan Ustazah Zainab Haris di  rumah Datuk Haji Muhammad Haji Ahmad. Ustazah Zainab yang berasal dari Segamat Johorketika itu bertugas di SUI Sembulan sejak Januari 1970. Bermula pada bulan Julai 1970 Ustaz Abu Bakar dan isteri berhijrah ke Kg Benoni Papar. Di sinilah mereka berdua memulakan kehidupan baru, bermuamalah dengan penduduk kampung, membimbing mereka dalam urusan agama dan sebagainya.

Bahkan ustaz telah mengasaskan sekolah agama di kampung berkenaan yang melahirkan ramai pelajar yang hari ini menjadi pemimpin, pendakwah dan sebagainya. Bahkan kemesraan ustaz dengan penduduk kampung di sini terbukti dengan kebolehannya berbahasa dengan bahasa brunai seratus peratus yang menjadi bahasa pertuturan harian penduduk kampung. Empat daripada lima anak beliau juga dilahirkan di sini. Muhammad Saffiruddin (1971), Abd Latif Sukri (1972), Mau’isyatul Huda (1975) dan Abd Hafiz (1979). Anak bungsu, Mahyuddin (1985) dilahirkan di Melaka.

Pada Februari 1982 ustaz kembali ke Melaka sementara Ustazah masih berkhidmat di Kg Benoni Papar sehingga Mei 1984. Ketika di Melaka, Ustaz bertugas sebagai Imam Masjid Alai, PERKIM dan berkesempatan menyertai kursus imam seluruh dunia pada 1986 selama 3 bulan di Mesir. Pada 1987 hingga 1993, Ustaz bertugas di Masjid al-Azim sebagai imam masjid berkenaan.

Tahun 1993 Ustaz berhijrah kali kedua ke Sabah dan kali ini bertugas di Sandakan sehingga 1994. Pada 1995 hingga suku pertama 1998, Ustaz mencurah bakti di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah yang baru ditubuhkan ketika itu dan beroperasi di Masjid Negeri Sabah. Dalam hijrah kedua ini, ustaz sendirian berada di Sabah tanpa ditemani oleh keluarga sehingga kembali ke Melaka.

Balik ke Melaka, ustaz kembali bertugas sebagai imam Masjid Alai dan juga mengendalikan kursus-kursus pra perkahwinan di bawah Majlis Agama Islam Melaka. Selepas balik ke Melaka, hanya ada dua kali ustaz dan ustazah berziarah ke Sabah khususnya ke Kg Benoni Papar untuk menghadiri undangan penduduk di sana iaitu pada tahun 2001 dan 2002. Pada Ogos 2004, ustaz ditimpa kemalangan di Alai apabila motorsikal yang dinaikinya dilanggar kereta. Ketika itu beliau hanya ke klinik dan kemudian pulang serta tidak menyangka bahawa tulang pinggulnya sudah tersasar akibat kemalangan tersebut.

Pada tahun 2005, ustaz mula ditimpa strok atau angin ahmar. Ketika itu pergerakan ustaz mula terbatas walaupun masih bergerak menggunakan kerusi roda dan sebagainya. Tidak sedikit wang yang dihabiskan untuk membiayai rawatan ustaz di pelbagai tempat. Pada Julai 2010, ustazah menamatkan perkhidmatannya di Sekolah Agama Alai dan memberi tumpuan sepenuhnya menjaga ustaz. Ketika ini, bantuan Jabatan Kebajikan sebanyak RM300 sebulan  diterima selain anak-anak yang memberikan dukungan sepenuhnya untuk ustaz dan ustazah.

Sejak awal tahun 2012, kesihatan ustaz semakin merosot dan tidak boleh lagi bergerak seperti sebelumnya. Ustaz hanya terlantar di katil dan dibantu sepenuhnya oleh ustazah dan anak-anak untuk keperluannya seperti makan minum, buang air dan sebagainya. Anak-anak murid ustaz khususnya di Kg Benoni Papar dan alumni Maahad Tahfiz al-Quran Sabah antara 1995-1998, pohon doakan kesihatan ustaz. Untuk maklumat seterusnya boleh berhubung dengan ustazah 06-2682994 atau 012-3875282.

Foto atas : Tuan Haji Hamid yang sudi membantu kami menunjukkan jalan ke rumah Ustaz Abu Bakar Omar.

Keadaan terkini (14 Sept 2012) guru yang kami kasihi Ustaz Haji Abu Bakar Omar di rumahnya Kg Alai Melaka.

Anak kedua Abang Abd Latif Sukri yang masih lancar berbahasa Brunai ketika kami berbual tentang kehidupan ustaz sekeluarga.

Foto kenangan ustaz ketika di Mesir, pada tahun 1986 – kursus imam-imamMahyuddin (anak bungsu) dan Ustazah Zainab Haris yang menyantuni kedatangan saya ke rumah mereka tempohari.