Akhir Ogos lepas, saya ada menyalin ke blog ini satu berita kemalangan yang menimpa sepupu isteri saya di Alor Gajah Melaka. Adi Sabri Zulkifli kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sesudah beberapa hari, Adi dipindahkan ke Hospital Melaka pula. Keluarga kami di Kota Kinabalu menumpukan perhatian terhadap musibah yang menimpa Adi serta mengambil berat perkembangan kesihatannya.

Takdir Allah SWT, saya menerima surat untuk bermesyuarat di Melaka. Perkara awal yang saya fikirkan ialah saya mahu menziarahi Adi dan keluarganya sedapat yang boleh khususnya mewakili keluarga di Kota Kinabalu. Sebenarnya saya bukan kenal sangat dengan Adi kerana seingat saya pertemuan terakhir ialah 10 tahun lalu ertinya ketika dia masih bersekolah rendah, tetapi ibu bapanya pernah saya temui beberapa kali khususnya di Melaka ini.

Teman rapat Adi menjemput di hotel dan langsung membawa ke Hospital Melaka walaupun waktu melawat sudah berakhir. Saya pohon izin pengawal keselamatan kerana datang dari Sabah. Adi ketika saya ziarahi sudah sedarkan diri tetapi waktu itu dia tidur dan saya tidak pula mahu mengganggunya. Tidak lama, cuma sekadar 5 minit dan saya sempat bertanya kepada doktor yang ada. Perkembangannya sangat positif, semakin stabil.

Adi baru saja menjalani pembedahan kecil di tangan kanan, memasukkan besi. Kata doktor kalau perkembangannya semakin memuaskan mungkin dia boleh balik ke rumah. Kami doakan semoga Adi sembuh dan kembali seperti biasa. Kepada keluarganya harap bersabar dan saya gembira dapat bertemu mereka di hospital sebentar sahaja walaupun tidak dapat berziarah di rumah kampung. Terima kasih atas doa pembaca blog ini.