Satu ketika timbul beberapa polemik untuk membina sebuah masjid bertaraf masjid daerah di Putatan apatah lagi apabila Putatan mula dinaiktaraf sebagai daerah penuh dan tidak lagi bernaung di bawah daerah Penampang. Timbul beberapa lokasi cadangan untuk menempatkan masjid daerah. Bahkan TYT sebelum ini Tun Ahmadshah pernah mencadangkan Masjid al-Hilal sebelum diroboh dan dibina semula (yang baru sekarang) dijadikan sebagai masjid daerah.

Masjid yang ada sekarang telah dibina pada tahun 2010 dan mula digunakan pada akhir Julai 2011. Bangunan utamanya telah siap dan digunakan sepenuhnya khususnya untuk solat fardhu, solat tarawih termasuk di dewan di aras bawah untuk program ceramah, kursus dan sebagainya. Hanya kawasan perkarangannya, sesudah setahun masih belum diaspal sepenuhnya. Bahkan ada kenyataan pembinaan fasa ke-2 yang sepatutnya bermula awal tahun ini belum kelihatan lagi.

Fasa kedua berkenaan dengan kos RM4 juta akan merangkumi sekolah agama, bazar, rumah imam dan kemudahan yang lain. Semoga pihak berkuasa akan melihat lebih serius dan tegas berkenaan hal ini. Berkenaan aktiviti pengimarahan, setinggi tahniah atas program setakat ini dan diharap dapat dipertingkatkan khususnya kuliah-kuliah maghrib dan ceramah bulanan.