9 September, kami sekeluarga hanya keluar berhari raya di Rumah Anak Yatim as-Sakinah di Taman Pantai Lok Kawi, Kinarut. Ini catatan ketiga tentang RAY as-Sakinah di blog ini. Alhamdulillah, menurut beberapa orang kuat pengusaha dan penyantun anak yatim di sini, sambutan kehadiran tetamu yang datang bersilih ganti melonjak lebih dua kali ganda. Sehingga kami datang, ketika itu menurut Tuan Haji Fairuz sudah 500-600 tetamu yang datang.

Saya kira pengalaman ini cukup menarik untuk ramai orang khususnya bagi yang mahu mengambil teladan dan berada dalam keluarga yang sempurna – punya ibu bapa dan ahli keluarga. Contohnya anak-anak kami sendiri sangat teruja dan bersemangat apabila saya mengatakan hendak beraya bersama anak-anak yatim. Tujuannya mudah, iaitu bersifat kasih sayang kepada mereka yang tiada ibu atau bapa atau kedua-duanya; sekaligus anak-anak dididik dengan pengalaman bererti ini agar mensyukuri nikmat beribu bapa. Demikianlah yang saya nyatakan kepada anak-anak.

Sokonglah RAY as-Sakinah ini dengan kita menyantuni mereka, menghulur bantuan sekadar yang termampu, mudah-mudahan amal yang kecil itu diterima sebagai kebaikan di dunia dan akhirat. Tahniah kepada Tuan Haji Samin Ongki, Tuan Haji Fairuz serta seluruh penggerak RAY as-Sakinah serta mereka yang peduli tentang kemaslahatan anak-anak penghuni di sini.