Saya mengambil kesempatan untuk meninjau-ninjau Pesta Buku Kota Kinabalu 2012 di Kompleks Suria pada petang jumaat, dalam keadaan orang yang tidak ramai. Entah begitukah suasananya setiap hari atau kerana jumaat adalah hari bekerja. Suasana lapang itu bagaimanapun memudahkan orang seperti saya yang biasa meninjau lama-lama di sesebuah gerai buku.

Hanya sebuah buku yang saya bawa balik iaitu berkenaan dengan pengucapan awam yang saya rasakan masih lemah dan perlu pembaikan. Kebiasaannya, kaedah saya untuk membeli satu-satu buku ialah dengan melihat penulis atau tajuk. Jika berdasarkan penulis, jika penulis yang pernah saya baca hasil tangan mereka sebelum itu dan saya selesa dengan tulisan mereka yang terdahulu, buku yang berikutnya pun akan saya beli.

Sementara ada buku yang saya beli berdasarkan tajuk yang menarik perhatian walaupun penulisnya tidak terkenal. Sebahagiannya saya lihat juga isi kandungan atau senarai rujukan, kata penghantar atau kesimpulan sebelum membuat keputusan membeli. Sebenarnya banyak buku yang menarik perhatian tetapi sebahagiannya sudah ada dalam koleksi. Ada beberapa buku ilmiah yang saya cari tetapi tiada pula dalam senarai di gerai-gerai berkenaan.

Walaubagaimanapun cabaran yang telah dialami sebelum, semasa dan selepasnya, penganjur Pesta Buku ini boleh dipuji atas kesungguhan mengadakan program seumpama ini demi menanamkan minat membaca kepada khalayak seterusnya menjadi warga yang berilmu pengetahuan. Tahniah kepada penganjur dan pengunjung yang memulakan sesuatu yang baik ini.