Khatib : Encik Safirin

Lokasi : Masjid Nurul Ikhlas Kg Peringatan Petagas

Firman Allah : “Katakanlah, bahawa mati yang kamu lari daripadanya, pasti akan menemui kamu juga, kemudian itu kamu akan dikembalikan kepada Tuhan yang mengetahui perkara ghaib dan nyata, lalu Dia akan khabarkan kepadamu segala apa yang sudah kamu lakukan.” (S. Al-Jumu’ah: 8).

Orang yang meninggal dunia akan berpisah dengan semua harta yang dimiliki dan orang yang dikasihi di dunia. Jasadnya yang terbujur kaku akan dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dihantar ke tanah perkuburan untuk dikebumikan. Dengan itu, berhijrahlah dia ke alam barzakh sebagai tempat perhentian sementara menunggu hari dihisab dan pembalasan hari akhirat.

Mereka yang menyedari akan hakikat tersebut Dan sentiasa mengingati mati pasti sentiasa berhati-hati dalam semua tindak-tanduknya, bersifat rendah hati, ikhlas, beramal kebajikan dan zuhud di jalan Allah SWT. Harta, pangkat kebesaran, percakapan dan perasaan cintakan dunia tidak mempengaruhi sikapnya terhadap manusia lain. Dia sedar dan faham bahawa manusia sebagai makhluk ciptaan Allah akan kembali kepada-Nya dan akan dipertanggungjawabkan ke atas segala amal perbuatannya di dunia. Manusia harus sedar bahawa hanya tingkatan takwa yang membezakan kedudukan manusia di sisi Allah SWT.

Lantas, dia tidak takut jatuh papa dan miskin untuk berinfaq di jalan Allah demi meringankan penderitaan hidup orang lain. Jawatan atau pangkat kebesaran dimanfaatkannya untuk kemasalahatan masyarakat dan ummah, dan bukannya untuk menyusahkan hidup rakyat. Segala kelebihan dan keistimewaan yang dimiliki digunakan sebaik-baiknya untuk mensejahterakan hidup masyarakat.

Mengingati mati juga memberi ketenangan dan menyuburkan keinsafan diri. Ini dijelaskan oleh Rasulullah  dalam sabdanya yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan  kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (HR Al-Bazzar dan Al-Baihaqi)

Dalam pada itu, sebahagian ulama berpendapat bahawa sesiapa yang banyak mengingati mati maka dia akan mengutamakan tiga perkara. Tiga perkara yang dimaksudkan itu ialah menyegerakan taubat dan tidak mengulangi perbuatan mungkar, hatinya berasa tenang apabila menghadapi sebarang masalah, dan mudah serta rajin beribadat sepanjang masa.