Tuan Haji Abdul Hamid Mat Zin, pengerusi Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah yang saya hormati seorang yang ceria apabila dapat berbual panjang khususnya tentang pengimarahan masjid dan isu semasa yang berlegar dalam masyarakat. Sesekali beliau kelihatan tegas apabila terdapat isu yang perlu diselesaikan, apatah lagi berhadapan dengan orang ramai yang tidak peduli dengan majlis ilmu.

Beliau seorang polis pencen yang sarat dengan pengalaman bertugas di pelbagai lokasi termasuk ke Sarawak satu ketika dahulu. Pernah beliau bercerita sebelum ini bahawa sepanjang perkhidmatan sebagai anggota keselamatan, tidak pernah mengundi atau melihat kertas undi berkenaan pun. Tetapi apabila ditanya tentang haknya sebagai pengundi, dikatakan kertas beliau sudah dipangkahkan orang lain bagi pihaknya.

Beberapa bulan lepas, kecoh juga orang kampung apabila beliau dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung. Namun beberapa ketika beliau pulih dan kembali memakmurkan masjid. Malam itu isterinya meluahkan perasaan agar suaminya diberi peluang berehat dan tidak lagi diberi mandat sebagai pengerusi cukup sekadar jamaah biasa kerana sebagai isteri dia melihat suaminya dalam usia lanjut sudah kelihatan letih dan perlu diberi peluang orang muda memimpin pentadbiran masjid. Terpulanglah kepada jawatankuasa yang ada untuk memikirkan.

Atas peluang berziarah ke rumah beliau, saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan dapat berbual dengan orang yang baik dan berpengalaman.