Catatan lewat (aktiviti akhir Ramadhan)

Sebenarnya ketika rumah ini masih dihuni oleh Cikgu Abdul Hamid Abu Bakar, saya seringkali juga berziarah ke sini. Tapi sejak beliau berpindah ke Semenanjung lebih setahun lepas, ini kali pertama saya datang semula dengan rumah yang sudah berubah wajah dengan menempatkan beberapa anak yatim hasil usaha AJK Rumah Anak Yatim as-Sakinah di Taman Pantai Lok Kawi, Kinarut.

Ketika saya dan anak – Abdul Hadi datang ke sini 2-3 hari sebelum hari raya, anak-anak yatim yang masih tinggal membuat persiapan akhir untuk kembali ke kampung halaman masing-masing, dengan diambil oleh waris mereka masing-masing. Saya dimaklumkan oleh Tuan Haji Fairuz Abdullah selaku timbalan pengerusi JK rumah ini menjelaskan sepanjang Ramadhan ini anak-anak yatim sibuk memenuhi undangan dan menerima tetamu pelbagai pihak khususnya berbuka puasa, menerima sumbangan dan sebagainya.

Begitu juga katanya anak-anak yatim sudah mula menerima undangan berhari raya. Namun seperti saya juga, Tuan Haji Fairuz berharap agar kepedulian umat terhadap anak-anak yatim ini tidak terhenti setakat Ramadhan dan Syawal sahaja. Mudah-mudahan semua AJK yang terlibat bersabar dalam mengurus anak-anak yatim. Insya Allah ganjaran besar menanti jika benar dan ikhlas.