Di sebuah pekan kecil, yang termasuk sebahagian laluan utama kepulauan Borneo ada sebuah masjid bernama Masjid Nurul Iman Pekan Weston, lebih 100 km dari Bandaraya Kota Kinabalu. Weston berasal dari dua kalimah iaitu west yang merujuk nama seorang pegawai British bernama AJ West dan ton berasal dari perkataan town yang akhirnya menjadi sebutan ton bagi penduduk setempat. (Rujuk wikipedia).

Sesuatu yang saya sukai di masjid yang berusia 20 tahun ini ialah beberapa papan penuh informasi yang diletakkan di dinding luar masjid. Lengkap dengan senarai JK, senarai pengasas masjid, perasmi, aktiviti, risalah-risalah dan seumpamanya. Saya kira dalam bab ini JK biro penerangan dan yang berkaitan memang buat kerja khususnya untuk tatapan pengunjung dan pengimarah masjid apatah lagi orang yang bermusafir.

Sesuatu yang terdetik di hati saya ialah kalaulah kami boleh membantu untuk mengadakan ceramah bulanan di masjid ini dan beberapa masjid lain yang berdekatan untuk mengimarahkan aktiviti keilmuan untuk remaja, kaum ibu, dan seluruh jamaah. Semoga masjid ini terus makmur dengan aktiviti yang diridhai oleh Allah SWT.